Kajian menunjukkan purata pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah 10 hingga 20 buku setahun, namun masih kurang jika dibandingkan dengan jumlah di negara maju lain iaitu lebih 40 buku setahun.
KUALA LUMPUR: Seramai 49 juta pengunjung dicatatkan mengunjungi perpustakaan di seluruh negara tahun lepas yang melibatkan lebih 13,000 perpustakaan sama ada awam, desa, jabatan kerajaan dan institusi pengajian awam dan swasta.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad berkata angka tersebut menunjukkan peningkatan yakni membuktikan sifat membaca yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Selain daripada pengunjung fizikal, pengunjung maya juga mencatatkan penambahan dengan lebih daripada tiga juta pengunjung dan ia melepasi sasaran PNM bagi jumlah pengunjung maya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Belajar Membaca Kaedah Ekspres-i di PNM pada Sabtu.
Katanya kajian menunjukkan purata pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia kini adalah 10 hingga 20 buku setahun, namun masih kurang jika dibandingkan dengan jumlah di negara maju lain iaitu lebih 40 buku setahun.
“Sehubungan itu PNM mengendalikan pelbagai program bagi menarik minat orang ramai membaca antaranya pertandingan peminjam dan pembaca buku terbanyak,” katanya.
Sementara itu penulis dan pengasas Buku Belajar Membaca Kaedah Ekspres-i, Norli Madlan, 40, dari Kuala Terengganu berkata buku itu lebih menggunakan kaedah pengecaman suku kata dan sesuai digunakan bagi kanak-kanak yang mula bercakap seawal dua atau tiga tahun.
“Mereka tidak perlu mengenal huruf atau mengetahui sebutan fonetik, hanya sebut bunyi perkataan dengan bantuan teknik imaginasi dan lenggok bunyi,” katanya. Satu set yang mengandungi empat buah buku dijual pada harga RM55 di Semenanjung dan RM60 di Sabah dan Sarawak dan mereka yang berminat boleh membeli set tersebut melalui laman blog http://bacaekspres-i.blogspot.my/.
— BERNAMA