NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

28 NGO Islam galakkan ahli hadir himpunan Akta 355


Ini adalah soal agama, bukan soal politik, sesiapa yang membuat usaha untuk memperkasakan Islam, kita akan memberi sokongan sepenuhnya tanpa berbelah bagi -Ayahanda Zulkifli Hasan,  Pengasas Pertubuhan Putra Malaysia, 


MUHAMMAD ARIF ISMAIL | 15 Januari 2017.

KOTA BHARU: Sebanyak 28 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bernaung di bawah Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia menggalakkan ahlinya hadir Himpunan Akta 355.

Pengasas Pertubuhan Putra Malaysia, Ayahanda Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong perhimpunan mega yang bakal diadakan pada 18 Februari depan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau tidak menggalakkan setiap ahli terlibat dengan perhimpunan yang tiada kaitan dengan usaha untuk memartabatkan agama Islam di negara ini.

"Kita menyekat ahli kita daripada terlibat dengan perhimpunan Bersih baru-baru ini sama ada pihak baju kuning atau baju merah.

"Kalau ahli kita hendak terlibat secara peribadi, kita tidak halang. Tetapi perhimpunan berkaitan Akta 355, kita galakkan ahli terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah tokoh-tokoh NGO Islam peringkat kebangsaan dan majlis penyampaian watikah kali kedua bagi 2017.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Tengku Iskandar Ibni Almarhum Tengku Ahmad Panglima Raja kepada 12 penerima dari seluruh negara.

Pertubuhan Putra Malaysia merupakan tuan rumah pada majlis yang diadakan di Hotel Grandriver View di sini malam tadi, turut dihadiri anggota-anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Datuk Dr Ramli Mamat.

Zulkifli menambah pihaknya menyokong usaha Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika pertama kali membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 ke Dewan Rakyat.

Sokongan itu, katanya dilihat mampu memartabatkan institusi kehakiman syariah di negara ini dan ia tidak ada kaitan sama sekali dengan orang bukan Islam.

"Ini adalah soal agama, bukan soal politik, sesiapa yang membuat usaha untuk memperkasakan Islam, kita akan memberi sokongan sepenuhnya tanpa berbelah bagi," katanya. - HARAKAHDAILY
© all rights reserved
made with by templateszoo