Kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit.
Kita berada dalam bencana politik gelap gelita dan mengelirukan. Berita tersebar melalui media sosial dalam ruang lingkup langit terbuka, tetapi ramai yang memperkecilkan petunjuk Al-Quran supaya bertabayyun.
Apa yang membakar bumi Aleppo dan menjadi berita hangat terkini terdengar laksana pencuri memekik perkataan “pencuri” di tengah suara orang yang mengejarnya di waktu malam gelap, memudahkan pencuri sebenar melepaskan diri sambil melaungkan perkataan pencuri.
Beberapa tahun lalu, ketika berputiknya krisis yang membakar bumi Syria kini, beberapa media negara Arab termasuk Al Jazeera paling menyerlah melaporkan penglibatan pihak perisikan Negara Arab (di antara nama yang disebut ialah Putera Bandar bin Sultan, mantan Duta Saudi di Amerika dan mantan Ketua Perisikannya) terlibat menghantar kalangan pelampau ke Syria supaya tercetusnya kekacauan.
Syria adalah negara terdekat di kalangan negara Arab yang menolak perjanjian Madrid dan Oslo bagi mewujudkan perdamaian dengan negara haram Israel tanpa peduli terhadap bumi Palestin yang dirompak dan rakyatnya yang menjadi mangsa. Iran selepas Revolusi Islam walaupun dilabelkan Syiahnya, adalah kalangan negara Islam yang menentangnya setelah membatalkan pengiktirafan terhadap Israel dan terus memutuskan hubungan biarpun diikat di zaman Shah. Iran telah mengambil manfaat daripada Syria di bawah pemerintahan Parti Baath yang berkrisis dengan Parti Baath Iraq pimpinan Saddam Husain di mana Iraq dibantu negara Barat untuk menyerang Iran dengan sokongan Negara Arab khususnya negara Teluk.
Almarhum Necmettin Erbakan mantan Perdana Menteri Turki menyokong Iran membantu perjuangan Palestin dan menasihatkan kumpulan Islam Syria supaya tidak berhadapan secara keras dengan kerajaannya kerana mendahulukan perjuangan Palestin. Almarhum juga menasihatkan Iran memajukan sains dan teknologinya di mana selepas itu berlaku gerakan membunuh saintisnya, termasuk menawan saintis yang menunaikan haji di Mekah. Kini Iran sudah dapat mencabar kuasa besar dunia dari sudut teknologinya .
Akhirnya Syria memberi kemudahan pangkalan hadapan kepada perjuangan Palestin menentang Israel. Hamas dan Tanzim Jihad yang terbesar dan paling banyak mendapat manafaat dan kemudahan di Syria. Iran menjadi penyumbang paling besar kepada Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah kumpulan Syiah di Lubnan juga mendapat kemudahan, sehingga menggagalkan operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Selatan Lubnan. Semua Negara Arab yang menyokong perjanjian damai dengan Israel secara terbuka atau rahsia tidak mendukung perjuangan di Gaza dan Selatan Lubnan.
Banyak media Timur dan Barat mendedahkan betapa krisis Syria membesar dengan bantuan senjata Barat melalui Nato di Turki di sebelah Utara dan di Selatannya Israel. Selepas itu disokong oleh kenyataan Bush, selepasnya Obama dan mereka yang berada dibawahnya. Isu Sunni dan Syiah ditiupkan supaya membakar. Selepasnya beberapa tokoh ulama rasmi dan tidak rasmi mendukung kenyataan yang membakar itu.
Kumpulan pelampau itu akhirnya dapat menawan sebahagian kawasan minyak di Iraq dan Syria, serta laluan pasaran gelap di Utara dan Selatan. Tentera Bersekutu Barat yang sudah diberi tapak pangkalan di seluruh negara Teluk yang berserban itu lebih bertarik tali untuk mengekalkan keadaan yang menguntungkan mereka dan menjamin keselamatan Israel sebagai paksi utama Gerakan Zionis dengan mempengaruhi politik, ekonomi, media dan lain-lain.
Allah tidak mengizinkan keadaan terus menjadi ancaman kepada Islam walaupun secara senyap. Kadang-kadang perubahan dilakukan oleh keadaan pertembungan di kalangan bukan Islam dan pihak zalim, apabila Islam yang lemah tidak mampu melakukan perubahan. Sepertimana sejarah Parsi Majusi menghancurkan Yahudi di Palestin yang zalim membunuh para Nabi dan ulama soleh.
Keadaan kini berubah apabila Kristian Ortodok yang dibelasah komunis Yahudi. Karl Marx bertembung dengan Kristian Katholik dan Protestan di Amerika dan Eropah bergabung dengan Zionis Yahudi yang mempertahankan Israel. Apabila krisis Ukraine menjadi titik pertembungan sehingga pesawat MAS menjadi mangsa. Peristiwa pesawat kita tenggelam laksana pelanduk yang mati di tengah gajah yang bertarung. Keadaan bertukar kepada ketegangan yang memberi tempat kepada Rusia bertapak di Tarsus Syria menjadi pangkalan tentera Rusia, satu-satunya ruang ke laut lepas. Keadaan ini mengubah neraca politik dan ketenteraan yang melemahkan Barat yang melindungi ISIS dan kumpulannya. Soalannya, di mana Negara Arab yang berlindung di belakang kuasa Barat dan Zionis?
Tekanan melalui serangan Negara Teluk ke atas Yaman di laluan ke laut Merah, diisytiharkan di Washington dengan lesen PBB tidak mencapai tujuan sehinga kini. Lawatan Pengarah Kajian Strategik Arab Saudi (Anwar Asyqi) ke Israel menunjukkan “kegelabahan” Negara Arab. Lebih gelabah lagi baru dua minggu Perdana Menteri British menjadi peserta Sidang Kemuncak Negara Teluk di Bahrain dengan resolusi menghadapi ancaman Iran, sehingga Israel dianggap tidak menjadi ancaman.
Semua perkara ini sepatutnya boleh menjadi jawapan disebalik Aleppo yang terbakar itu.
Seterusnya kenangilah sejarah kejatuhan Islam di Andalusia yang ditangguhkan beberapa abad apabila salah seorang Raja Islam di Andalusia mengejutkan semua Raja yang tidak mahu menjemput Raja Ibnu Abbad dari Morocco kerana takutkan raja itu akan merampas takhta mereka. Apabila seorang raja yang beriman itu bertitah: “Beta lebih rela menjadi gembala kambing dan unta Ibnu Abbad daripada menjadi gembala babi Raja Kristian yang datang menakluk.”
Setahu saya Iran tidak membuat kenyataan untuk mengeksport Revolusi Islam Syiahnya. Iran hanya mengajak Negara Arab yang berjiran itu bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing.
Mengapa Mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelusuk dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya? Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza.
PAS adalah Melayu Islam yang tidak mudah lupa. Ketika berlakunya Perang Teluk yang pertama 1980, apabila Saddam Husain menyerang Iran dengan bantuan negara Barat dan Negara-Negara Arab, PAS menyokong Iran, lalu kami dituduh sudah menjadi Syiah. Selepasnya Saddam berpaling tadah menyerang Kuwait, Negara-negara Arab menjemput bala tentera Amerika dan sekutunya menyerang Iraq. PAS menentang jemputan yang haram itu dan berpihak kepada menentang campur tangan asing bersama semua Parti Islam, bukan kerana sudah masuk Parti Baath bersama Saddam.
Sebabnya ialah kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
20 Rabiul Awwal 1438 | 20 Disember 2016