“Pada saya Pulau Pinang perlukan sebuah parti yang bebas dari pembangkang atau BN, supaya ada semak dan imbang. Selepas 8 tahun tanpa pembangkang yang berkesan, DAP jadi ‘melampau’.”
GEORGE TOWN: Pulau Pinang perlukan pembangkang yang bebas kerana kerajaan pimpinan DAP kini semakin meyerupai BN, kata bekas ahli parti.
Roger Teoh, yang lantang mengkritik pelan induk pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), berkata ketiadaan sistem semak dan imbang yang bebas dalam kerajaan negeri mendorong beliau meletakkan keahlian DAP Bahagian Bagan baru-baru ini.
Beliau berkata: “Pada saya Pulau Pinang perlukan sebuah parti yang bebas dari pembangkang atau BN, supaya ada semak dan imbang. Selepas 8 tahun tanpa pembangkang yang berkesan, DAP jadi ‘melampau’.”
Dalam kritikan terhadap PTMP, Teoh, seorang sarjana pengajian pengangkutan di Imperial College London itu mengemukakan beberapa idea alternatif.
Kerajaan DAP bagaimanapun tidak mengambilnya secara serius.
“Apabila saya sertai DAP, saya cuma mahukan Malaysia yang lebih baik. Tetapi hari ini, DAP semakin menjadi jelmaan BN.
“Itu sudah melanggar prinsip saya dan oleh itu saya meletakkan keahlian pada Isnin,” katanya kepada FMT ketika ditemubual melalui telefon dari United Kingdom hari ini.
Roger rasa aneh permohonan menjadi ahli pada 2013 mengambil masa 6 bulan untuk diselesaikan tetapi DAP mengambil masa “kurang dari 24 jam untuk mengesahkan peletakan keahlian saya”.
Roger berkata parti pembangkang yang sedia ada pernah memainkan peranan semak dan imbang kepada DAP, tetapi tidak berkesan.
“Di Pulau Pinang, kita tak boleh harapkan Gerakan atau parti BN lain, kerana mereka bukan pembangkang yang cukup baik untuk DAP.
“Saya bukan ada cita-cita untuk memegang kuasa dalam tampuk pemerintahan, tapi saya cuma mahu mereka merangka dasar berdasarkan kajian saya,” katanya.
Beliau berkata pelan yang beliau cadangkan adalah yang terbaik untuk Pulau Pinang.
Pandangan itu berdasarkan kajian yang beliau buat di 100 bandaraya di seluruh dunia.
PTMP merupakan usaha kerajaan Pulau Pinang meringankan masalah trafik dengan memperkenalkan laluan LRT dan lebuhraya utama. Ia akan dibiaya melalui penambakan 3 pulau buatan di perairan selatan pulau itu.
Roger tidak setuju dengan pembinaan lebuhraya kerana ia tidak membantu menyelesaikan kesesakan jalan raya. Beliau berhujah pembinaan lebih banyak jalan hanya akan menyahkan inisiatif pengangkutan awam di masa depan.
Menurut beliau, pandangan itu dibentangkan secara dalaman melalui DAP, kerajaan Pulau Pinang dan badan pemikir, Penang Institute.
Pembentangan itu bagaimanapun tidak dipedulikan.
“Saya hanya terima jawapan yang mengarut. Nampaknya mereka tidak ambil pandangan saya dengan serius. Pandangan itu berdasarkan fakta yang tidak boleh disangkal.
“Malah, desertasi saya tentang dasar terbaik untuk pengangkutan mapan di bandar-bandar diberi markah tinggi oleh kolej saya.
“Dapatan kajian tesis itu dimuatkan dalam matapelajaran pengangkutan MSc di Imperial College London & Universiti College London,” tambahnya.