Dr Mahathir boleh menghindari diri daripada mengulangi kesilapan yang sama ini dengan memilih apa yang tidak mahu dipilih.
Sebenarnya apa yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahukan?
Jikalau difikirkan dari sudut kerusi, majoriti kerusi yang bakal ditandingi PPBM adalah kawasan majoriti Melayu, yang lazimnya ditandingi PAS bertembung dengan Umno.
Semua kerusi majoriti Cina dan campuran sudah pastinya dibolot DAP dan PKR. Kedua-dua parti ini sudah pasti akan menggenggam kerusinya secara kuku besi kerana impian ke Putrajaya sudah malap.
Oleh itu, jika PPBM sebagai parti serpihan Umno, inginkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno, mereka perlu berunding dengan PAS dan bukannya DAP mahupun PKR.
Jika hasrat utama PPBM ialah untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno, maka BN perlu ditumbangkan di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi Umno dan bukannya kawasan kerusi campuran yang ditandingi MCA, MIC mahupun Gerakan.
Musuh tradisi Umno di kerusi Melayu ini untuk berdekad lamanya ialah PAS. Malah, kegagalan Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya disebabkan kekalahan di kerusi Melayu ini yang majoritinya ditandingi PAS.
Jika PPBM ingin menumbangkan Umno, maka secara logiknya mereka lebih memerlukan PAS berbanding DAP.
Jadi apakah tujuannya PPBM melebih-lebihkan kerjasama dengan Pakatan Harapan berbanding PAS?
Keputusan pertandingan 3 penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili PPBM sebelum kelahirannya di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah membuktikan Pakatan Harapan tidak akan membawa nilai tambah kepada PPBM jika berlawan dengan Umno sambil bermusuh dengan PAS.
Yang akan membawa nilai tambah pada Bersatu hanyalah dengan bekerjasama dengan PAS sambil memastikan DAP dan PKR memberikan kerusi mereka kepada Amanah tanpa sebarang gangguan pada kerusi PAS.
Sebenarnya itulah tugas PPBM sekiranya ia ingin menjadi penyatu kepada parti pembangkang.
Jika tujuan PPBM mendampingi Pakatan Harapan adalah untuk membolehkan partinya mendapat beberapa kerusi selamat pembangkang daripada tangan DAP dan PKR supaya PPBM boleh terus hidup di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka apa yang dilakukan Dr Mahathir boleh difahami.
Jika hasrat Dr Mahathir masih tidak berubah iaitu untuk menggunakan PRU14 untuk menurunkan Najib, maka apa yang dilakukan beliau iaitu menyerang PAS dari pentas DAP dan Amanah boleh disifatkan sebagai langkah menyediakan kubur awal untuk PPBM.
Di sinilah, barangkali berlaku perbezaan pendapat terbesar antara Dr Mahathir dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di sini jugalah PPBM keliru dan nampak keliru.
Apa pun, keputusan PPBM akan menentukan nasib mereka sendiri dan Umno-BN, tapi bukan PAS.
Tapi jika mereka tersilap pilih, PPBM bakal menjadi parti yang pendek hayatnya.
Buat Dr Mahathir, barangkali sudah sedar tersilap memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersilap menaikkan Tun Abdullah Badawi dan juga Najib. Kali ini Dr Mahathir memilih DAP dan Pakatan Harapan.
Percayalah kali ini, barangkali Dr Mahathir tersilap memilih lagi terlalu tinggi.
Barangkali, Dr Mahathir boleh menghindari diri daripada mengulangi kesilapan yang sama ini dengan memilih apa yang tidak mahu dipilih.