Kita akan lihat video serta gambar yang dikongsi oleh individu itu dan akan memanggil pemandu terbabit untuk disoal siasat
MUAR, 26 Dis (Bernama) -- Polis akan menyiasat rakaman pemandu sebuah bas ekspres di sini yang dipercayai menggunakan telefon bimbit serta merokok ketika memandu di Plaza Tol Tangkak dari Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ASP Suhaimi Ahmad berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu termasuk meneliti rakaman video yang dimuat naik oleh individu yang merakam kejadian tersebut.
"Kita akan lihat video serta gambar yang dikongsi oleh individu itu dan akan memanggil pemandu terbabit untuk disoal siasat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.