NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelajar wajib ambil sarapan

Pengambilan sarapan secara konsisten boleh meningkatkan prestasi yang lebih baik tidak kira dalam proses pembelajaran mahupun kokurikulum.
Umpama sebuah kereta yang memerlukan minyak petrol untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi lain, begitu juga tubuh manusia yang memerlukan sarapan untuk mendapatkan tenaga bagi menjalankan tugas seharian.

Amalan itu sering diberikan penekanan bagi membolehkan tubuh badan manusia ini sentiasa bertenaga dalam melakukan aktiviti seharian. Seorang Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aditya Adimiah Darwis pernah berkata pengabaian pelajar terhadap sarapan pagi boleh menyebabkan kelemahan otak.

Ini kerana katanya, pengambilan sarapan secara konsisten boleh meningkatkan prestasi yang lebih baik tidak kira dalam proses pembelajaran mahupun kokurikulum berbanding mereka yang gagal mengambil sarapan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengambilan sarapan adalah penting bagi mengelakkan perut kosong, tekanan, ketidakseimbangan berat badan dan ketidakseimbangan gula dalam darah selain mengurangkan serangan penyakit kronik.

Apa yang diperkatakan oleh doktor ini adalah dari sudut perbuatan tetapi agak malang juga apabila trend pelajar enggan mengambil sarapan pagi meningkat dari sehari ke sehari. Antara faktor pelajar gagal menjadikan sebagai rutin adalah disebabkan kelas bermula pukul 8 pagi.

Bahkan ada satu istilah yang sering digunakan oleh para pelajar iaitu brunch iaitu mereka sarapan pagi dan makan tengah hari sekali gus. Sebenarnya amalan seperti ini tidak digalakkan kerana bertentangan dengan sistem pemakanan seharian.

Secara kebiasaannya kita dikehendaki mengambil sarapan kemudian makan tengah hari dan makan malam. Kita tidak boleh sesekali mengelak daripada mengambil sarapan kerana akhirnya boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Faktor masa (kelas 8 pagi) bukan satu bentuk penghalang daripada kita mengambil sarapan. Seorang pakar pernah menyarankan, sarapan boleh diambil dengan hanya sekeping roti dan susu ataupun tiga biji kurma bersama susu.

SITI FATIMAH JAMALUDDIN

Universiti Putra Malaysia

http://www.utusan.com.my/rencana/forum/pelajar-wajib-ambil-sarapan-1.419679


© all rights reserved
made with by templateszoo