Setelah berpenat-lelah mengarang, seseorang penulis itu tentulah tidak mahu artikelnya basi tidak dijamah pembaca.Tajuk sesebuah artikel akhbar, majalah atau web banyak memainkan peranan dalam mempengaruhi pembaca untuk membaca kandungan artikel tersebut. Tajuk yang berkesan akan melariskan artikel itu. Sebaliknya, tajuk yang hambar atau mengelirukan akan mengakibatkan artikel diabaikan sahaja oleh pembaca walaupun kandungannya hebat.
Setelah berpenat-lelah mengarang, seseorang penulis itu tentulah tidak mahu artikelnya basi tidak dijamah pembaca. Maka dia seharusnya memperuntukkan sedikit masa lagi untuk memikirkan tajuk yang akan mengangkat artikelnya di mata pembaca.
Berikut adalah sedikit panduan yang telah disesuaikan dari laman web "Wonderful World of Words" terbitan Profesor Malcom Gibson, seorang pakar dalam bidang kewartawanan.
Kaedah terbaik menulis tajuk yang berkesan adalah dengan memastikan ianya ringkas dan tepat. Gunakan ayat aktif dan elakkan ayat pasif. Penggunaan kata kerja yang baik juga membantu meningkatkan keberkesanan tajuk itu.
Setiap tajuk dimulakan dengan huruf besar dan kebiasaannya diikuti dengan perkataan berhuruf kecil. Jangan gunakan huruf besar bagi setiap perkataan kecuali jika perkataan itu berada selepas colon iaitu simbol ":".
Gunakan simbol bagi nombor dan bukannya perkataan. Contohnya, "3 terbunuh dalam kemalangan".
Penggunaan Tanda Bacaan
Tanda ' (single quote) digunakan untuk memetik kata-kata. Contohnya 'Banjir fenomena alam'.
Tanda : (colon) digunakan untuk menggantikan perkataan "berkata". Contohnya, Rahman: 'Banjir fenomena alam'.
Tanda ; (semi colon) digunakan untuk memisahkan dua frasa yang penting. Contohnya, Rahman: 'Banjir fenomena alam; bersiap hadapi kemungkinan'
Tanda , (comma) digunakan untuk menggantikan perkataan "dan". Contohnya, Rahman arah penyelamat bersiap sedia, bertindak pantas apabila diperlukan.
Tanda , (comma) juga digunakan untuk menggantikan perkataan "tetapi". Contohnya, Penyelamat terus mencari, arus deras halang operasi.
Di samping pemilihan perkataan dan penggunaan tanda bacaan yang sesuai, irama juga memainkan peranan untuk menarik perhatian pembaca. Contohnya, kita boleh menterjemahkan petikan "One small step for a man, one giant leap for mankind" kepada beberapa versi antaranya,
"Satu langkah kecil untuk manusia, satu lompatan gergasi untuk umat manusia" atau,
"Langkah kecil seorang lelaki, lompatan gergasi bagi manusia" dan lain-lain.
Ayat petikan di atas terdiri dari dua frasa. Versi yang terbaik sepatutnya akan menghasilkan rentak irama yang serupa bagi kedua-dua frasa tersebut apabila dibaca.
Rujukan: https://web.ku.edu/~edit/heads.html