Sejarah Dr Mahathir dan sistem Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy, sudah mencorakkan satu kisah hidup yang sudah tidak baik dan tidak harmoni.
KIRIMAN PEMBACA
Dua tiga minggu lepas, heboh tentang seorang bekas Perdana Menteri, tidak diberi kerusi di majlis Pertabalan Yang di-Pertua Agong dengan maksud, tidak dijemput untuk menghadiri majlis tersebut. Ini mungkin menjadi satu tamparan besar kepada Tun atas perkara yang menimpa beliau.
Masakan tidak, beliau antara orang berpengaruh di Malaysia bahkan sewaktu pemerintahannya, beliau amat dikenali oleh barat dengan jolokan nama Diktator Asia dan seorang pemimpin Asia yang Anti-Jews. Seorang pemimpin yang agak digeruni oleh barat dan media barat sering memusuhi beliau suatu ketika dahulu.
Namun begitu, saya tidak terkejut dengan apa yang berlaku. Dan tidak pula menghentam pihak yang tidak menjemput Tun untuk hadir ke Majlis itu. Oleh sebab itu, apabila membuka isu ini bersama-sama teman di dalam sebuah group WhatsApp, saya memulakan dengan nostalgia perbentangan Rang Undang-undang akta Perlembagaan (Pindaan) 1993. Perbentangan yang telah disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat.
Seorang pelajar undang-undang amat ma'ruf tentang sejarah ini. Sebuah pindaan yang dibentangkan untuk mengurangkan hak keistimewaan Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Agong atau disebut sebagai Sovereign Immunity.
1983, telah wujud satu pindaan terhadap bidang kuasa YDPA tentang perkenan baginda terhadap Rang Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Yang memaktubkan bahawa, baginda YDPA perlu memperkenan segala RUU yang diluluskan oleh Parlimen. Jika YDPA tidak mahu menandatangani atau memperkenankan RUU tersebut, dalam tempoh 30 hari RUU tu akan termaktub sebagai akta. Namun begitu, pindaan itu menurut Tun Mahathir masih tidak dilaksanakan secara menyeluruh lalu membawa RUU untuk meminda akta perlembagaan pada 1993.
Bagi Dr Mahathir, hak keistimewaan atau kekebalan Raja dan YDPA hanyalah suatu lesen untuk golongan ini menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Beliau merasakan kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal — satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Menurut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri — `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`.
Sejarah Dr Mahathir dan sistem Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy, sudah mencorakkan satu kisah hidup yang sudah tidak baik dan tidak harmoni.
Sistem Raja Berpelembagaan adalah suatu keistimewaan yang wujud dalam sistem demokrasi negara kita berbanding negara-negara lain. Cuba bayangkan jika suatu hari nanti, seorang diktator menjadi Perdana Menteri, bukankah YDPA dan Raja-raja Melayu yang akan menyeimbangkannya. Kekebalan raja masih menjadi kekuatan untuk menghalang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara.
Berikutan isu golongan Raja tidak boleh didakwa dan boleh menyebabkan golongan ini boleh membunuh dan melakukan jenayah sesuka hati, sebenarnya Akta Perlembagaan dalam Perkara 182 telah memperuntukkan sebuah Mahkamah Khas yang boleh membicarakan kesalahan-kesalahan yang dilaksanakan oleh golongan Raja dan Kaum Kerabat.
Jika mengikuti kronologi politik negara kita bermula awal tahun ini, 2016, kita melihat pendirian Tun diwaktu pemerintahannya sudah berubah 360°. Dahulunya memusuhi Anwar Ibrahim, hari ini menjadi teman seperjuangan kembali. Dahulunya, memenjarakan Mohamad Sabu, hari ini sudah berada sepentas dengan beliau.
Awal tahun ini juga, berikutan kelulusan Parlimen terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara 2012, Tun dan Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bersama memohon dengan kekebalan yang wujud pada YDPA untuk menghentikan akta ini daripada ianya dilaksanakan. Sedangkan dua-dua pemimpin inilah yang memusuhi kekebalan YDPA dan Raja-raja Melayu pada 1993 dahulunya.
Hari ini, Sultan Kelantan akan ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Agong. Jika mahu dilihat baik sesebuah negara itu, maka pilihlah kepimpinan yang baik memerintah negara itu. Kata para cendikiawan, untuk mengubah kebobrokan tubuh jasad, ianya mesti bermula daripada otak/kepala. Jika otak/kepala sudah diracuni, maka tubuh juga akan diracuni. Sebuah perbendaharaan kata yang luas maksudnya.
PRU 14 kelak memberi peluang kepada rakyat untuk memilih calon Perdana Menteri daripada parti mana untuk digandingkan dengan Sultan Muhammad bagi melicinkan pentadbiran negara. Bagi saya, tiada satu pun parti yang lebih tinggi kredibiliti, wibawanya melainkan PAS. Maka, undilah PAS untuk perubahan kita di masa hadapan.
(Attapawi)
13 Disember 2016