NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Chong Wei Menang Anugerah Pemain Terbaik Buat Kali Kelima

Chong Wei memenangi kejuaraan Siri Super Dunia kelimanya di Dubai selasa malam. Sebagai rekod, pemain berusia 34 tahun itu pernah memenangi anugerah sama pada 2009, 2010, 2011 dan 2013.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk kali kelima SElasa malam.

Chong Wei menerima anugerah itu daripada Timbalan Presiden BWF, Gustavo Salazar dalam Majlis Makan Malam Gala di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hasil daripada aksi cemerlangnya sepanjang musim ini, demikian menurut Twitter rasmi BWF: @bwfmedia.

Beliau mengetepikan beberapa calon termasuk pasangan negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, juara Olimpik, Chen Long, beregu China, Fu Haifeng-Zhang Nan dan Jan O Jorgensen dari Denmark.

Sepanjang 2016, Chong Wei memenangi kejuaraan Siri Super di Malaysia, Indonesia dan Jepun serta pingat perak Olimpik ketiganya, selain mencuba memburu gelaran Siri Super Dunia kelimanya di Dubai minggu ini.

Sebagai rekod, pemain berusia 34 tahun dari Pulau Pinang itu pernah memenangi anugerah sama pada 2009, 2010, 2011 dan 2013.

Bagi Siri Super Dunia tahun ini, Chong Wei diletakkan dalam Kumpulan B bersama pemain Korea Selatan, Son Wan-ho, Angus Ng Ka Long (Hong Kong) dan Viktor Axelsen (Denmark).

Kejohanan Siri Super Dunia yang menawarkan hadiah berjumlah US$1 juta (kira-kira RM4.4 juta) dijadualkan bermula esok hingga 18 Dis di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai.

Sementara itu, pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei dipilih menerima Anugerah Pakaian Terbaik Wanita pada majlis makan malam tersebut manakala Axelsen pula memenangi kategori lelaki.

Bekas juara wanita remaja dunia, Goh Jin Wei yang dicalonkan dalam Anugerah Eddy Choong untuk Pemain Paling Berbakat, gagal menandingi pemain China, Chen Qingchen yang dipilih sebagai pemenang.

Pasangan beregu wanita Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Wanita Terbaik manakala Pusarla V Sindhu dari India menerima Anugerah Pemain Paling Meningkat. Bagi kategori badminton para, Lucas Mazur (Perancis) dan Karin Suter-Erath (Switzerland) dinamakan Pemain Para Terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/sp/newssports.php?id=1311321
© all rights reserved
made with by templateszoo