Mengapa dikejar yang akan sirna.
Syair: Bagi Yang Alpa
Oleh: Ami Anwar
Manusia bersifat cintakan dunia
Keturunan yang ramai serta harta
Jika berada bahagialah jiwa
Perkara yang lain tak dihiraunya
Hidupnya tak lengkap tanpa wanita
Berusaha untuk mengejar cinta
Walau awalnya hidup sengsara
Bila diperoleh, terasa sempurna
Zuriat yang lahir ditatang gembira
Kerabat berkumpul penuh berbangga
Ingin dikhabarkan seisi dunia
Tentang lahirnya pewaris keluarga
Harta berupa emas permata
Menjadi igauan sinar kilaunya
Uang dipupuk setiap masa
Pabila bertambah, puasnya sukma
Wahai manusia yang kerap alpa
Mengapa dikejar yang akan sirna
Benda dunia sementara belaka
Tidak kan kekal selama-lama
Allah sahaja sentiasa bersama
AdaNya dekat, berjauhan tiada
Mengejar kasihNya mendapat redhaNya
Di dunia bahagia, di akhirat syurga