Di sebalik perkembangan membimbangkan di Rakhine, Suu Kyi lebih menumpukan perhatian kepada rangka lawatannya ke luar negara
YANGON – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi semakin dikecam kerana gagal menangani krisis di negeri Rakhine yang memiliki majoriti penduduk beragama Islam selepas pihak tentera dituduh merogol dan membunuh penduduk awam serta menyekat akses kepada pekerja bantuan.
Operasi tentera di Rakhine, utara Myanmar itu memburukkan lagi ketegangan antara pentadbiran awam Suu Kyi yang berusia enam bulan dengan pihak tentera. Junta tentera memerintah Myanmar selama beberapa dekad dan memiliki kuasa utama termasuk mengawal kementerian yang bertanggungjawab menangani isu keselamatan.
Seorang pegawai kanan awam berkata, komander-komander tentera enggan menyalurkan maklumat berhubung dakwaan salah laku oleh sebilangan askar sejak lebih 10 hari lalu.
Tentera Myanmar memasuki Rakhine, dekat sempadan Bangladesh selepas pemberontak membunuh sembilan anggota polis kawalan sempadan dalam serangan terancang pada 9 Oktober lalu.
Menurutnya, sejak itu, seramai lima askar dan sekurang-kurangnya 33 pemberontak terbunuh dalam pertempuran askar Myanmar dengan sebuah kumpulan yang dianggotai kira-kira 400 pejuang etnik Islam Rohingya.
Perlembagaan Myanmar memberikan kuasa penuh kepada tentera dalam isu keselamatan, namun ramai diplomat dan pekerja bantuan berkata, mereka secara peribadi kecewa kerana Suu Kyi enggan terlibat dengan lebih mendalam bagi menangani krisis itu.
Selain menjawat jawatan Menteri Luar, Suu Kyi juga menerajui kerajaan sebagai penasihat negara. Di sebalik perkembangan membimbangkan di Rakhine, Suu Kyi lebih menumpukan perhatian kepada rangka lawatannya ke luar negara.
Beliau berlepas untuk lawatan empat hari ke India dan dijadualkan melawat Jepun selama lima hari mulai semalam.
Pakar-pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendesak kerajaan Myanmar supaya menyiasat dakwaan penderaan dan salah laku tentera. Badan dunia tu juga meminta Yangon membenarkan bantuan dihantar ke Rakhine.
Suu Kyi tidak memberi jawapan secara langsung mengenai permintaan tersebut ataupun dakwaan salah laku tentera Myanmar. Penduduk dan kumpulan pejuang hak asasi sebelum ini melaporkan tentang insiden pembunuhan, rompakan dan serangan seksual oleh tentera terhadap orang awam. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4OrxUgNG1
No comments
Post a Comment