NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keruntuhan Gerakan Liberalisme Antarabangsa

Gerakan Liberalisme sedang jatuh merundum. Zaman ideologi liberalisme di hujung tanduk. Masyarakat dunia sudah mula menolak fahaman ini.
DUNIA LIBERALISME TANPA AMERIKA: KERUNTUHAN GERAKAN LIBERALISME ANTARABANGSA
Kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika sangat mengejutkan rakyat Amerika dan seluruh penghuni dunia. Ia menandakan kemunculan Nasionalis Konservatif yang diperjuangkan oleh Parti Republican, dan Nasionalis Populis yang diperjuangkan oleh Trump.
Sebelum pentadbiran Barrack Obama, Nasionalisme sangat kuat dengan mempertahankan hak-hak penduduk warganegara, mempertahankan sistem kenegaraan yang tegas agar menjaga keharmonian, dan mempertahankan kedaulatan negara yang membabitkan persempadanan kukuh agar menghalang penduduk luar merampas keistimewaan penduduk tempatan.
Idea sebegini sangat popular di Eropah sejak sebelum perang dunia lagi. Bahkan ia merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Eropah yang meruntuhkan Empayar Rom yang telah menjangkau usia lebih seribu tahun. Ia juga merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Arab yang meruntuhkan Khilafah Othmaniyyah yang telah menjangkau usia lebih tujuh ratus tahun.
Namun, idea Nasionalisme ini mula pudar di zaman Millenium terutamanya apabila Obama menjawat jawatan Presiden Amerika. Di era pentadbiran beliau, ideologi Liberalisme merupakan perjuangan utama. Bukan sahaja hak minoriti kulit hitam dipertahankan, hak wanita dan hak LGBT mendapat tempat dalam undang-undang negara.
Golongan Nasionalis Amerika dalam Parti Republican melihat Obama sebagai pejuang bangsa kulit hitam dan LGBT. Begitu juga, Nasionalis Amerika melihat Hillary Clinton sebagai pejuang hak asasi manusia, pejuang wanita dan minoriti Immigrant. Oleh demikian, permulaan serangan Trump terhadap Clinton sangat membabitkan Perlembagaan Kedua (Second Constitution) yang membicarakan kebebasan (liberty).
Bagi Clinton, kebebasan ini sangat luas sehingga memberi hak kepada setiap individu memilih dan bertanggungjawab terhadap pilihannya. Contohnya, wanita diberi kelonggaran untuk menggugurkan anak dalam kandungan dengan pilihan ibunya.
Manakala Trump melihat kebebasan ini hendaklah selari dengan semangat Nasionalisme iaitu jikalau kebebasan bercanggah dari hasrat negara, kebebasan tersebut perlu disekat. Oleh itu, seorang wanita tidak disaran menggugurkan anak. Malah, ibu bapa yang mempunyai lebih dua orang anak diberi keistimewaan dan diberi pelepasan cukai pendapatan.
Kekalahan Clinton bermakna kekalahan Parti Demokrat dan legasi Obama. Ia juga bermakna berakhirnya kepimpinan utama Liberal Antarabangsa yang menuntut agar masyarakat seluruh dunia berpaksikan hak asasi manusia. Perkembangan ini sangat mengejutkan. Oleh demikian, pada tanggal 16 November 2016, Obama melawat Canselor Angela Merkel yang merupakan peneraju Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan kesinambungan
gerakan Liberalisme Antarabangsa.
Kepimpinan Canselor Merkel dianggap satu-satunya harapan gerakan Liberalisme Antarabangsa meneruskan agendanya. Beliau bukan sahaja dilihat wakil negara maju Jerman yang mempunyai eksport yang tinggi, malah berpotensi menyekat kebangkitan Nasionalis Populis yang semakin berkembang di Eropah.
EU sedang berhadapan tuntutan rakyat Britain agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan Brexit yang dilihat timbul dari semangat Nasionalisme Populis. Begitu juga, EU sedang berhadapan tuntutan Parti Nasionalis Perancis agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan FREXIT. Malah, ideologi Nasionalis ini sedang berkembang di negara-negara Eropah yang lain seperti Austria, Denmark, Netherlands, Finland dan Sweden.
Justeru, masa depan kepimpinan utama gerakan Liberalisme Antarabangsa perlu bertukar tangan dari Amerika kepada EU dan lebih khusus Merkel dan negaranya Jerman. Merkel perlu merancang tanpa Amerika dan Britain. Situasi ini sangat berat kerana empat kuasa Veto iaitu Amerika, Britain, Rusia dan China merupakan negara Nasionalis. Hanya tinggal Perancis sahaja yang bergantung dengan EU untuk memperjuangkan Liberalisme.
Ini menunjukkan gerakan Liberalisme sedang jatuh merundum. Barangkali, zaman Liberalisme akan berakhir. Zaman ideologi liberalisme di hujung tanduk. Malah, pendokong-pendokong Liberalisme perlu sedar bahawa masyarakat dunia sudah mula menolak fahaman ini. Seterusnya, perjuangan ultras hak asasi manusia dan ultras LGBT akan berakhir sebagaimana nasib ideologi Sosialisme dan Komunisme.
Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo