NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KECUAIAN HOSPITAL PUNCA BAYI LIMA HARI DICULIK

Akibat kecuaian kakitangan hospital yang tidak mematuhi sepenuhnya proses discaj untuk mengenal pasti identiti ibu bapa.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan penculikan bayi berusia lima hari dari Hospital Tanah Merah (HTM), Kelantan, Selasa lalu, berlaku akibat kecuaian kakitangannya yang tidak mematuhi sepenuhnya proses discaj sedia ada.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Ahmad, berkata siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan pihak Hospital Tanah Merah mendapati staf dan pengawal keselamatan bertugas tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengenal pasti identiti ibu bapa ketika discaj.
“Perkara ini tidak bertepatan dengan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil1/2007: Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, yang menggariskan prosedur bagi memastikan keselamatan bayi di wad terjamin, tiada kehilangan atau penukaran bayi berlaku sepanjang bayi berada di hospital.
“Pihak hospital perlu memastikan mana-mana ibu dan bayinya yang baru lahir diberikan pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain (bracelet) bersesuaian, yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi.
“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta-merta kepada pihak hospital terbabit bagi mengelakkan hal yang sama daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham menegaskan, tanda pengenalan diri perlu disemak terutama ketika pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin atau wad.
Katanya, pihak kementerian memandang serius insiden terpencil itu dan berpendirian bahawa ia tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital, sama ada hospital kerajaan atau swasta.
Beliau menjelaskan, kejadian di HTM itu berlaku pada waktu melawat sebelah petang yang mana terdapat ramai pelawat di kawasan wad.
Bagaimanapun, dengan tindakan pantas pihak polis, bayi berkenaan sudah dijumpai pada malam sama. Polis turut menahan reman suspek yang membawa keluar bayi itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo