NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk kecewa pemimpin tak kunjung tiba


Sampai pukul 3 kami tunggu pemimpin itu tetapi tidak hadir. Kami bukan nak harapkan duit dan sumbangan, tetapi cuma mahu beliau hadir meraikan program
BALING - Penduduk kampung Lanai, di sini kecewa selepas sebuah program yang diatur mereka tidak dihadiri seorang pemimpin.

Difahamkan, wakil pemimpin juga hanya hadir di sebelah petang selepas tamat program.

Penduduk, Tamizi Nadzir, 43, berkata, penduduk hadir sekitar jam 8 pagi bagi bergotong-royong membuat persiapan program tersebut.

Menurutnya, mereka bertungkus-lumus menyediakan dua khemah, tiga kawah bubur asyura dan persediaan makan tengah hari.

“Sampai pukul 3 kami tunggu pemimpin itu tetapi tidak hadir. Kami bukan nak harapkan duit dan sumbangan, tetapi cuma mahu beliau hadir meraikan program,” katanya.

Tamizi berkata, kegagalan pemimpin itu hadir termasuk wakil menyebabkan hasrat mereka meluahkan masalah tidak kesampaian.

“Walaupun hujan, penduduk masih setia menunggu, sepatutnya pemimpin tersebut menghantar wakil,” katanya .

Penduduk, Hamidah Saad, 52, berkata, golongan wanita antara yang bersusah payah menyediakan masakan untuk menjayakan program itu.

“Warga emas pun turut terlibat, ada juga yang bawa anak-anak kecil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lanai, Ahmad Omar, berkata, jemputan bersurat sudah dibuat kepada pemimpin berkenaan termasuk dihubungi dengan panggilan telefon.

“Saya sebagai Pengerusi JKKK agak kecewa dengan perkara ini, program ini sudah diatur sejak seminggu lalu, kutipan makan dan minum juga dibuat penduduk.

“Namun pihak kampung mengucapkan terima kasih kepada tiga wakil yang sudi hadir walaupun lewat,” katanya.

Sementara itu, wakil pemimpin, Fakarurazi Mohd Nor berkata, kelewatan itu disebabkan salah faham.

“Ada salah faham dari segi masa, Datuk pula ada menghadiri mesyuarat," katanya.

Menurutnya, satu program bersama rakyat dicadangkan tahun hadapan.

“Dalam program itu masyarakat boleh kemukakan masalah kepada pemimpin,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/penduduk-kecewa-pemimpin-tak-kunjung-tiba-1.574566

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo