Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi persoal ketepatan angka defisit fiskal negara



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan ketepatan angka defisit fiskal negara dengan alasan bahawa bayaran balik cukai yang tidak dibayar sejak 2020 telah memesongkan kedudukan kewangan sebenar negara.

Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, ia kerana amalan perakaunan tunai yang diguna pakai kerajaan menyebabkan hasil termasuk cukai terlebih kutip diisytiharkan sebagai pendapatan meskipun wang itu seharusnya dipulangkan semula kepada pembayar cukai.

"Sebenarnya kalau kita pulangkan balik dan bayar seperti yang sepatutnya, defisit (negara) kita tidak menurun. Defisit kita untuk tahun 2024 sebenarnya antara 5.8 ke 6 peratus berbanding dengan yang dibentangkan sebanyak 4.1 peratus.

“Ini sangat besar kesannya kerana persoalan utama kenapa tak bayar balik cukai ini. Adakah ini satu kelalaian? Lebih berbahaya (ia berkaitan) tatakelola kewangan negara,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Rafizi berkata, ekoran keadaan tersebut, hasil kerajaan kelihatan terlebih nyata iaitu misalnya hasil 2024 sebanyak RM322 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 termasuk RM33.3 bilion sebenarnya bukan milik kerajaan.

"Kegagalan melunaskan bayaran balik cukai bukan sahaja menjejaskan keadilan kepada pembayar cukai tetapi berisiko mencetuskan persepsi pengurangan defisit fiskal dicapai melalui penangguhan pembayaran wang rakyat.

"Jadi saya mahu Kementerian Kewangan membentangkan secara telus kedudukan sebenar defisit fiskal negara dengan mengambil kira tunggakan bayaran balik cukai termasuk pecahan penerima dan tempoh tunggakan,” ujarnya.

Rafizi menambah, ketelusan itu penting supaya naratif ekonomi negara kekal berintegriti dan selari dengan realiti sebenar yang dirasai rakyat.

Menurutnya, walaupun kerajaan menampilkan naratif kejayaan pengukuhan ekonomi dan penurunan defisit fiskal secara berperingkat, hakikatnya jumlah cukai terlebih kutip yang belum dipulangkan meningkat mendadak sejak 2020.

"Berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, komitmen bayaran balik cukai meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM21.8 bilion (2021), RM25.7 bilion (2022), RM25.5 bilion (2023) dan melonjak kepada RM33.3 bilion pada 2024.

"Mengapa Kementerian Kewangan sejak 2020 hingga kini termasuk di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dan Perikatan Nasional (PN) gagal memulangkan cukai terlebih kutip kepada rakyat dan syarikat sehingga tunggakan melonjak kepada RM33.3 bilion dalam tempoh empat tahun iaitu peningkatan sebanyak 128 peratus," dakwanya.

Beliau turut mempersoalkan pengumuman peruntukan RM4 bilion oleh kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah bagi melunaskan sebahagian bayaran balik cukai sedangkan jumlah sebenar tunggakan jauh lebih besar dan masih belum dijelaskan secara terperinci kepada Parlimen.

"Saya sebenarnya ternanti-nanti analisis lanjutan kerana pengumuman itu sebenarnya ada kesan yang besar pada persoalan tatakelola kewangan negara.

"Tetapi sehingga kini (analisis itu masih tiada). Sebab itu saya ambil peluang hari ini untuk bentangkan terus dan lontarkan persoalan itu kepada dewan untuk dijawab oleh Kementerian Kewangan pada masa penggulungan nanti," katanya.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Laporan Bloomberg dedah peranan Putrajaya beri nyawa kepada firma lelaki Bangladesh terpalit tuduhan pemerdagangan manusia



Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa memainkan "peranan penting" bersama sebuah syarikat milik seorang lelaki Bangladesh yang diberi lampu hijau merekrut berjuta-juta pekerja asing, menimbulkan persoalan mengenai kewujudan kartel pemerdagangan manusia yang mengaut untung besar daripada keluarga miskin, kebanyakannya hilang wang simpanan seumur hidup demi melangsaikan "yuran sindiket" selepas dijanjikan pekerjaan yang tidak pernah wujud, menurut laporan Bloomberg baru-baru ini.

Siasatan selama 10 bulan akhbar kewangan itu membabitkan dakwaan rasuah di peringkat tinggi dalam proses pengambilan pekerja asing melibatkan Bestinet, syarikat yang diasaskan oleh Aminul Islam, lelaki keturunan Bangladesh yang kini warganegara Malaysia.

Dokumen yang dilihat Bloomberg menyatakan bahawa syarikat-syarikat diasaskan Amin, yang kini bergelar Datuk Seri, telah mengaut keuntungan lebih daripada AS$100 juta (RM400 juta) dalam tempoh 10 tahun yang lalu, iaitu sejak Bestinet pertama kali dianugerahkan kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit untuk menguruskan visa pekerja asing di Malaysia.

Laporan itu memetik mereka yang mengenali Amin sebagai berkata beliau menjalinkan hubungan dengan Zahid serta "melantik beberapa bekas pegawai kanan kerajaan ke dalam lembaga pengarah syarikat-syarikatnya".

Bestinet menjadi tumpuan pada 2015, apabila Kementerian Dalam Negeri di bawah Zahid melantiknya mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Ia kemudian terpalit kontroversi termasuk mengenai kenaikan mendadak yuran sehingga lebih 1,500%.

Keputusan menganugerahkan jawatan itu kepada Bestinet dibuat walaupun Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebelum itu menyifatkan sistem pengambilan pekerja secara dalam talian yang ditawarkan Amin tidak berupaya melindungi pekerja asing pendatang daripada yuran yang tinggi, menurut Bloomberg.

Antara yang mencetuskan kemarahan mengenai kontrak tersebut adalah semua arahan pengambilan pekerja hanya akan melibatkan 10 daripada lebih 1,000 agensi Bangladesh, syarat yang dipaksa ke atas kerajaan Bangladesh.

Aminul Islam and Ahmad Zahid Hamidi.
Aminul Islam and Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid ketika itu mengumumkan Malaysia akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh. Namun, pengkritik berkata ramai yang tiba di negara ini mendapati mereka ditipu, sehingga terpaksa bersembunyi atau menghilangkan diri kerana bimbang status mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Selepas perubahan kerajaan pada 2018, Bestinet digantung atas dakwaan eksploitasi pekerja asing dari Nepal. Walau bagaimanapun, pada 2019, menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegaran, mengumumkan kontrak Bestinet akan diteruskan selepas menolak tuduhan terhadapnya.

Tiba sebagai pekerja, pulang sebagai jenazah

Bloomberg mengimbas kisah menyayat hati melibatkan seorang pekerja asing, Shofiqul Islam.

Shofiqul merupakan petani Bangladesh yang meminjam untuk membayar yuran pengambilan pekerja sebanyak AS$4,400 (RM17,600) selepas dijanjikan pekerjaan dalam sektor pembinaan.

Harapannya cuma supaya dapat pulang ke kampung halamannya dengan masa depan yang lebih baik untuk dua anaknya yang masih kecil.

"Yuran AS$4,400 yang dibayar Shofiqul bersamaan dengan seorang rakyat Amerika  membayar AS$140,000 untuk mendapatkan pekerjaan," kata laporan Bloomberg dalam membuat perbandingan nilai yang dibayar Shofiqul.

Setibanya di KLIA, wakil majikannya, Petrazehra Bhd, menjemputnya dan menghantarnya ke sebuah bangunan usang, sebelum menghilangkan diri.

Menurut Bloomberg, Petrazehra ialah syarikat milik seorang bernama Muhaimin Mohd Fadhilah. Walaupun tiada pendapatan direkodkan dalam tempoh dua tahun sebelumnya, ia menerima kelulusan merekrut 1,500 warga Bangladesh. 

Muhaimin tidak menjawab pertanyaan Bloomberg.

Beberapa bulan selepas tiba di Malaysia, Shofiqul kekal menganggur, sementara keluarganya dibebani hutang, manakala tempoh visanya telah tamat. Dia juga tidak boleh mencari pekerjaan lain kerana akan melanggar peraturan Malaysia yang melarang pekerja asing sepertinya daripada bertukar majikan sehingga mereka selesai melangsaikan hutang.

"Pilihan yang ada ialah menunggu majikannya, Petrazehra Bhd, untuk menyediakan pekerjaan itu, atau menghilangkan diri menjalani kehidupan sebagai pekerja tanpa izin di Malaysia," tambah laporan itu.

Dalam keadaan terdesak itu, Shofiqul jatuh sakit dan meninggal dunia pada awal 2024, jenazahnya dihantar pulang ke kampungnya. 

Selepas hilang semua wangnya, isteri dan dua anak perempuannya terpaksa berpindah, dan sehingga kini bergelut membayar hutang yuran pengambilan pekerja.

'Semua orang dapat bahagiannya'

Bloomberg berkata nasib Shofiqul merupakan sesuatu yang dialami beribu-ribu pekerja asing lain.

Ia memetik pegawai kanan kerajaan semasa dan terdahulu yang berkata keuntungan lumayan membawa masuk pekerja asing berkemahiran rendah menggalakkan beberapa syarikat "mengambil pekerja secara berlebihan atau menjanjikan pekerjaan palsu".

"Yuran pengambilan pekerja mendanai sistem ini. Semua orang mendapat bahagiannya, dan pekerja pula membayar."

Daripada disiasat SPRM kepada 'NFA'

Tidak lama sebelum mengambil alih kerajaan dengan slogan reformasi dan janji menghapuskan rasuah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa siasatan terhadap Bestinet dan proses pengambilan pekerja asing.

"Pernah saya suarakan di Parlimen sebagai perhambaan moden di mana pekerja diperas sementara pedagang dan ejen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar," katanya pada Jun 2022.

Pada bulan berikutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap Bestinet.

Lebih dua tahun kemudian, pada September 2024, SPRM mengisytiharkan "NFA" atau tiada tindakan lanjut terhadap Bestinet, tidak lama selepas syarikat itu diberikan lanjutan enam tahun oleh pentadbiran Anwar.

Bloomberg memetik dua sumber yang mengatakan keputusan itu adalah hasil daripada Amin "memanfaatkan rangkaiannya".

Azam Baki.
Azam Baki.

"Dia hadir di SPRM untuk bercakap dengan ketuanya, Azam Baki," kata laporan itu, memetik dua orang yang tidak mahu dinamakan kerana bimbang dikenakan tindakan.

"Siasatan suruhanjaya itu digugurkan," tambah laporan itu, yang turut menyatakan penafian Amin bahawa beliau bertemu Azam.

Laporan itu memetik sumber bahawa Amin "meminta pegawai tertinggi untuk melobi Anwar bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Bestinet".

"Zahid... secara peribadi mendesak perdana menteri... Pada akhir mesyuarat Kabinet pada awal 2024, Anwar membuat pengumuman yang mengejutkan: Bestinet akan diberikan lanjutan."

Lanjutan itu menyaksikan kerajaan akan membayar lebih tinggi bagi setiap ePass (permit kerja dalam talian sementara), daripada RM100 sebelum ini kepada RM215, yang berpotensi memberikan syarikat itu sekurang-kurangnya RM3.2 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.

Perjanjian tersebut dikritik oleh badan pemantau Parlimen, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut Bloomberg, Anwar, Zahid, Amin dan Kementerian Dalam Negeri tidak memberi respons kepada pertanyaan mengenai dakwaan yang dilaporkan.


Sumber | MalaysiaNow 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Calon Pengerusi PN bukan Presiden Pas – Takiyuddin



KUALA LUMPUR – Pas memuktamadkan pencalonan seorang individu yang bukan presiden parti itu sebagai calon bagi mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat serta Jawatankuasa Harian Pas Pusat.

“Dia bukan Presiden Pas,” katanya ringkas dalam sidang media di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Namun, Takiyuddin enggan mendedahkan nama berkenaan ketika ditanya mengenai identiti calon yang diputuskan.

“Calonnya adalah calon yang dinamakan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bahawa parti itu kekal menerajui gabungan pembangkang susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut Abdul Hadi, resolusi Muktamar Pas sebelum ini telah meluluskan usul supaya Pas menerajui gabungan tersebut.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul berhubung calon pengganti jawatan Pengerusi PN, dengan antara nama yang disebut termasuk Abdul Hadi sendiri serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Jumaat lalu mengeluarkan notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.

Berdasarkan notis berkenaan, mesyuarat itu akan memilih pengerusi mesyuarat dalam kalangan Timbalan Pengerusi PN, selaras Fasal 8.3(II)(b) Perlembagaan gabungan tersebut.

Mesyuarat yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam di Ibu Pejabat Gerakan, di sini, turut akan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebelum melantik individu baharu sebagai Pengerusi PN. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Amanah Johor gila kuasa, kata Setiausaha UMNO Johor



JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) yang terus menuntut pembahagian kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka disifatkan sebagai gilakan kerusi dan kuasa.

Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Amanah yang terus menerus membangkitkan perkara tersebut jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar mereka bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.

Sejak tahun lalu hingga ke hari ini, isu yang sama terus diulang. Skripnya tidak berubah, tuntut kerusi secara terbuka, tekan rakan dalam Kerajaan Perpaduan melalui media, kemudian disusuli ugutan pertandingan tiga penjuru.

“Politik sempit ini mencerminkan sikap gila kuasa yang akhirnya merugikan rakyat Johor,” ujar Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau di sini hari ini.

Beliau berkata, hakikatnya, perkara itu bukan isu baharu kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pimpinan Amanah Johor dengan jelas dan secara terbuka menyatakan bahawa prinsip penyandang tidak terpakai di Johor.

Jelasnya, ini kerana Pakatan Harapan (PH) kata mereka dianggap pembangkang selain menyuarakan rasa kurang senang apabila tiada seorang pun Exco Johor dilantik daripada kalangan mereka.

Dakwanya, kenyataan itu membuktikan pendirian Amanah sejak awal lagi berasaskan mengejar jawatan semata-mata, bukan berpaksikan mandat rakyat.

Beliau menegaskan, agihan kerusi PRN bukan soal desakan awam atau tekanan politik, sebaliknya keputusan kepimpinan tertinggi di peringkat Pusat dan negeri.

Keputusan tersebut kata Abdul Halem, dibuat secara berhemah dan berlandaskan kepentingan rakyat Johor.

“Mereka paling lantang menuntut kerusi tetapi khidmat kepada rakyat dipandang remeh. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan harta pusaka mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ia tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar politik secara terbuka, apatah lagi dengan ugutan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Realitinya kata beliau, Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini atas mandat jelas daripada rakyat dalam PRN lalu.

Keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar dan keberkesanan pentadbiran agar fokus kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan, katanya.

“Prestasi serta penerimaan rakyat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada mesti menjadi asas utama dalam sebarang pertimbangan.

“Rakyat Johor menilai wakil rakyat berdasarkan prestasi kerja mereka termasuk kekerapan turun padang, menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan kawasan,” katanya.

Menurutnya, ugutan pertandingan tiga penjuru bukan tanda keberanian politik, sebaliknya mencerminkan kegagalan memahami kehendak rakyat.

Rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan fokus bekerja untuk mereka, bukan kerajaan yang sibuk dengan politik tuntutan kerusi.

“Nasihat kami jelas dan tegas kepada Parti Amanah, fokuslah kepada kerja dan khidmat kepada rakyat, bukan perebutan kuasa.

“Kerajaan Negeri Johor sedang bekerja dan terus berusaha membela nasib rakyat. Jangan menggugat kestabilan ini hanya kerana gilakan kerusi dan kuasa semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad meminta supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.

Sambil menegaskan keputusan pucuk pimpinan Amanah bergantung kepada pendirian UMNO dan BN, bekas Menteri Wilayah itu menyatakan agihan kerusi berkenaan selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan PRN Melaka diadakan pada tahun ini, sementara PRN Johor pula perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027 mengambil tempoh permulaan sidang DUN negeri itu yang bermula pada April 2022.

Kedudukan semasa kerusi DUN di Melaka menyaksikan 21 DUN dimiliki BN, sementara selebihnya PH dan Perikatan Nasional (PN).

Bagi DUN Johor pula, BN menguasainya di 40 kerusi daripada 56 DUN yang ada pada PRN 2022 lalu.- MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pakar Virologi sokong ladang babi berpusat Bukit Tagar



  • Profesor Perubatan Virologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Prof Dr Lam Sai Kit menegaskan bahawa pendekatan penternakan moden dan berpusat mampu mengurangkan risiko wabak penyakit haiwan serta melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.
  • “Penternakan babi berpusat memberi kelebihan besar dari sudut biosekuriti terkawal, rawatan sisa yang piawai, pengawasan veterinar yang sistematik serta keupayaan tindak balas pantas sekiranya berlaku wabak, berbanding ladang berselerak yang sukar diselaras dan dipantau,” kata Dr Lam kepada media CodeBlue.

KUALA LUMPUR — Pakar virologi terkemuka, Prof Dr Lam Sai Kit, menyatakan sokongan terhadap projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, sambil menegaskan bahawa pendekatan penternakan moden dan berpusat mampu mengurangkan risiko wabak penyakit haiwan serta melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

Profesor Perubatan Virologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya itu berkata, Malaysia sememangnya sedang menggalakkan peralihan kepada modern pig farming (MPF) dan kawasan penternakan babi (PFA) yang menggunakan sistem tertutup, rawatan sisa sifar pelepasan, pemantauan veterinar berpusat serta penzonan jauh daripada kawasan perumahan dan habitat hidupan liar, walaupun pelaksanaannya masih tidak sekata antara negeri.

“Penternakan babi berpusat memberi kelebihan besar dari sudut biosekuriti terkawal, rawatan sisa yang piawai, pengawasan veterinar yang sistematik serta keupayaan tindak balas pantas sekiranya berlaku wabak, berbanding ladang berselerak yang sukar diselaras dan dipantau,” kata Dr Lam kepada mediaCodeBlue.

Beliau mengimbas wabak virus Nipah pada 1998–1999, ketika mengetuai pasukan penyiasatan Universiti Malaya yang menemui virus tersebut, yang mengakibatkan lebih sejuta babi dilupuskan dan 109 kematian manusia akibat ensefalitis virus.

Katanya, penularan ketika itu berpunca daripada ladang kecil dan sederhana yang terbuka, berhampiran kebun buah serta habitat kelawar, selain kelemahan kawalan pergerakan dan pengawasan penyakit.

“Virus Nipah bukanlah penyakit babi, sebaliknya virus bawaan kelawar yang menggunakan babi sebagai ‘pembawa’ dalam wabak lalu,” jelas beliau.

Tegasnya, ladang moden yang tertutup, kalis kelawar dan dipantau rapi mampu mengurangkan risiko penularan zoonotik, malah saiz ladang yang besar tidak semestinya membawa wabak lebih besar kerana ladang berpusat lebih mudah dikawal dan diasingkan.

Beliau berkata model Bukit Tagar merangkumi infrastruktur biosekuriti bersepadu seperti zon pengasingan haiwan baharu dan sakit, makmal berpusat untuk saringan rutin, perkongsian data masa nyata serta sistem pelaporan dan pengesanan ternakan yang lebih telus, sekali gus menghadkan interaksi dengan hidupan liar dan membolehkan pengesanan awal penyakit.

Selain risiko penyakit zoonotik, Dr Lam menekankan bahawa penternakan babi sering dikaitkan dengan isu bukan zoonotik seperti pencemaran air sisa, bau, kualiti udara serta kawalan vektor.

Menurutnya, pemusatan ladang dapat mengurangkan aliran sisa ke sungai dan air bawah tanah, menurunkan pelepasan bau, memperbaiki kawalan lalat dan tikus serta memastikan zon penampan dan pemantauan air yang lebih berkesan.

Mengulas wabak demam babi Afrika (ASF) di Selangor dan Pulau Pinang tahun lalu, Dr Lam berkata model berpusat seperti Bukit Tagar membolehkan kawalan akses lebih ketat, penjarakan zon yang terancang, protokol biosekuriti seragam serta pemantauan bersepadu, sekali gus menyokong pendekatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) “kesan satu, lupus semua” bagi membendung penularan dengan pantas.

Walaupun mengakui kos peralihan kepada ladang berpusat menjadi cabaran besar khususnya kepada penternak kecil dan sederhana, Dr Lam menegaskan bahawa pemusatan adalah laluan perlu ke arah penternakan babi yang mampan dan selamat.

Beliau menekankan keperluan sokongan dasar dan kewangan berterusan serta libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan, memandangkan ribuan kehidupan dan mata pencarian bergantung kepada industri penternakan babi di negara ini.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

TikTok diambil alih tokoh Pro-Israel, Pengguna berpindah ke platform UpScrolled



  • Pengguna TikTok dilaporkan mula beralih ke sebuah platform media sosial baharu, UpScrolled, susulan pengumuman pengambilalihan operasi TikTok di Amerika Syarikat oleh sekutu Presiden Donald Trump yang juga tokoh pro-Israel, Larry Ellison.
  • Pengaruh media sosial terkenal, Guy Christensen, yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di TikTok, mendakwa pengguna platform itu kini “melarikan diri” ke UpScrolled, sebuah aplikasi yang diasaskan oleh seorang rakyat Palestin dan menjanjikan tiada penapisan serta bebas pengaruh bilionair.

WASHINGTON— Pengguna TikTok dilaporkan mula beralih ke sebuah platform media sosial baharu, UpScrolled, susulan pengumuman pengambilalihan operasi TikTok di Amerika Syarikat oleh sekutu Presiden Donald Trump yang juga tokoh pro-Israel, Larry Ellison, menurut laporan media antarabangsa.

Perkembangan itu tercetus selepas TikTok mengumumkan perjanjian bernilai AS$14 bilion untuk menubuhkan entiti baharu di Amerika Syarikat bagi mengelakkan larangan operasi, sekali gus menyerahkan kawalan algoritma dan operasi tempatan kepada konsortium pelabur yang diterajui syarikat teknologi Oracle, yang diasaskan Ellison.

Pengaruh media sosial terkenal, Guy Christensen, yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di TikTok, mendakwa pengguna platform itu kini “melarikan diri” ke UpScrolled, sebuah aplikasi yang diasaskan oleh seorang rakyat Palestin dan menjanjikan tiada penapisan serta bebas pengaruh bilionair.

Menurutnya, aplikasi itu telah tersenarai dalam 15 aplikasi paling banyak dimuat turun baru-baru ini.

Di bawah perjanjian tersebut, tiga pelabur utama iaitu Oracle, firma ekuiti persendirian Silver Lake dan syarikat pelaburan berpangkalan di Abu Dhabi, MGX masing-masing memegang 15 peratus kepentingan dalam usaha sama baharu TikTok di AS, sekali gus memberi pengaruh besar terhadap dasar kandungan platform berkenaan.

TikTok sebelum ini dilihat memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan perang di Gaza, khususnya dalam memaparkan penderitaan rakyat Palestin kepada ratusan juta pengguna global.

Namun, pengkritik mendakwa pengambilalihan itu berpotensi membuka ruang kepada penapisan kandungan yang kritikal terhadap Israel.

Larry Ellison dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Israel dan pernah menyumbang AS$16.6 juta kepada Friends of the Israel Defense Forces pada 2017, selain dikenali sebagai penyokong kuat kerajaan Israel.

Beberapa pemerhati turut membangkitkan kebimbangan bahawa kawalan baharu ini boleh menjejaskan kebebasan bersuara di TikTok.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini secara terbuka menyifatkan penjualan TikTok sebagai “sangat bererti” dan melihat kawalan media sosial sebagai sebahagian daripada medan strategik peperangan maklumat, terutamanya dalam membentuk persepsi global terhadap konflik di Gaza.

Susulan kebimbangan itu, semakin ramai aktivis dan pengguna media sosial dilaporkan menyertai UpScrolled, yang diasaskan Issam Hijazi, seorang teknolog Palestin-Jordan-Australia, sebagai alternatif kepada platform arus perdana seperti TikTok, X dan Instagram.

Menurut laman webnya, UpScrolled menekankan kebebasan bersuara, ketelusan dan keadilan, termasuk menolak algoritma tersembunyi, shadowbanning dan penindasan kandungan secara tidak adil. Idea penubuhannya muncul pada akhir 2023 selepas Hijazi mendakwa kandungan pro-Palestin semakin disisihkan di platform media sosial sedia ada.

Hijazi menegaskan UpScrolled dibangunkan untuk memastikan suara berkaitan Palestin dan isu kemanusiaan global tidak dipadam atau dipinggirkan, sekali gus mencerminkan kebimbangan yang semakin meluas terhadap peranan pemilikan korporat besar dalam mengawal naratif awam di media sosial.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Had umur 16 tahun untuk media sosial dijangka dikuatkuasakan Julai



  • Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.
  • Langkah itu, katanya, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
  • “Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya.

KULAI – Pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian, dijangka dikuatkuasakan seawal Julai ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.

Langkah itu, katanya, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.

“Di bawah OnSA, kami telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Sekarang ini, kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mencari cara paling baik, berkesan, dan selamat bagi melaksanakan pengesahan umur. Buat masa ini, ia masih berada di peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform.

“Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini, hari ini.

Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.

Ditanya mengenai isu buli siber terhadap pemain badminton negara, Toh Ee Wei, Teo berkata beliau masih belum menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sama ada terdapat sebarang aduan berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai program hari ini, Teo berkata Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

Di Johor, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata seramai 586,153 murid menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta.

“Untuk daerah Kulai sahaja, terdapat 58,264 murid dengan sumbangan yang telah disalurkan kepada daerah ini berjumlah RM8.7 juta. Hari ini, kami hadir ke SK Putra Utama untuk menyerahkan bantuan secara simbolik kepada ibu bapa terpilih,” katanya. – BERNAMA





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tiada keperluan untuk cadangan rangka kerja ‘pet-friendly mall’



  • ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berhubung cadangan untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka satu rangka kerja atau garis panduan berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor.
  • “Dalam konteks ini, sebarang usaha untuk menormalisasikan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup yang melibatkan premis makanan tidak boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya perlu ditimbang dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan halal, serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam selaku kumpulan majoriti rakyat Selangor,” katanya dalam satu hantarandi Facebook.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk merangka satu “rangka kerja” baharu berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor disifatkan sebagai tiada keperluan dan tidak wajar, malah berpotensi bercanggah dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada serta prinsip asas Islam sebagai agama Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berhubung cadangan untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka satu rangka kerja atau garis panduan berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor.

Beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan dasar awam di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta nilai asas kenegaraan yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Peruntukan ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan asas perlembagaan yang mewajibkan semua dasar dan tindakan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, mengambil kira kepentingan agama Islam, hukum syarak, serta sensitiviti umat Islam.

“Dalam konteks ini, sebarang usaha untuk menormalisasikan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup yang melibatkan premis makanan tidak boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya perlu ditimbang dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan halal, serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam selaku kumpulan majoriti rakyat Selangor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Nurul Syazwani turut mengingatkan bahawa Rukun Negara, khususnya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan, menuntut agar setiap dasar awam menghormati norma masyarakat, adat, agama dan sensitiviti awam dalam ruang bersama.

“Dalam masyarakat majmuk seperti Selangor, kesopanan dan kesusilaan bukan bermaksud menghapuskan batas, tetapi memastikan kebebasan sesuatu kelompok tidak menjejaskan hak, keselesaan dan kepercayaan kelompok lain terutamanya apabila melibatkan isu makanan, kebersihan dan agama,” tegasnya.

Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengesahkan larangan membawa haiwan ke premis makanan masih berkuat kuasa berdasarkan undang-undang bertulis.

“Larangan ini adalah berdasarkan Peraturan 8(1)(c), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSJ) 2007. 

“Ia bukan garis panduan fleksibel yang boleh diketepikan melalui perbincangan dasar,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam maklum balas rasmi kepadanya menyatakan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup memberi implikasi serius terhadap pematuhan Standard Halal Malaysia MS 1500:2019 serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Sementara itu, jelasnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula memaklumkan isu tersebut dipandang serius kerana melibatkan hukum syarak, kebersihan dan sensitiviti umat Islam, dan telah dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan pandangan hukum.

Sehubungan itu, Nurul Syazwani menegaskan bahawa kedudukan undang-undang berhubung kehadiran haiwan peliharaan di premis tertutup di Selangor khususnya yang melibatkan makanan dan ruang awam adalah jelas, muktamad dan berkuat kuasa.

“Prinsip Islam sebagai agama Persekutuan, nilai Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara, serta peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan standard halal tidak boleh diketepikan melalui cadangan dasar baharu atau naratif liberalisasi gaya hidup.

“Sehubungan itu, cadangan untuk merangka satu “rangka kerja” baharu berkaitan konsep pet-friendly mall adalah tiada keperluan dan tidak wajar, memandangkan ia bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada, berpotensi menimbulkan kekeliruan penguatkuasaan, serta boleh menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap pematuhan syariah dan halal,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Selangor seharusnya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara konsisten dan tegas, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara demi menjaga kepentingan awam, keharmonian masyarakat majmuk serta kedaulatan undang-undang di negeri itu. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo