NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sampai bila rakyat tak bersalah jadi korban pemandu mabuk?




BANGI, 28 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar sikap 'lembab' Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook apabila masih gagal meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau membangkitkan perkara itu ekoran kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk kerap berlaku, tetapi masih tiada tindakan keras dikenakan.

Semalam, seorang maut, manakala dua lagi parah sejurus motosikal masing-masing dirempuh kenderaan Ford Ranger dipandu seorang lelaki.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 dan Muhammad Anas Mokti, 27, parah.

Difahamkan, saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan terhadap pemandu Ford Ranger, ia menunjukkan di tahap kawalan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, kejadian seumpama itu memaksa rakyat untuk mendesak Akta 33 dipinda, khususnya membabitkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

"Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, ramai orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah menjadi mangsa korban akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai kini.

"Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?," soalnya.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, perkara ini sangat serius selain menggesa hukuman lebih keras patut dikenakan terhadap pesalah.

"Pindaan perlu disegerakan untuk menghalang lebih banyak kes akan berlaku. Kita akan berusaha sebaik mungkin agar pindaan ini dapat dilaksanakan termasuk mendesak untuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa," katanya.

Isu pemandu mabuk masih belum mendapat perhatian Kabinet. Terdahulu, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo