NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kongres Maruah Melayu: Yang Di Rancang Dan Yang Terjadi


oleh: Tun Abdul Hamid
23 10 2019
tunabdulhamid@gmail.com

http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

(Rencana ini adalah untuk orang-orang yang sanggup baca. Jika ia terlalu panjang, baca sahajalah kesimpulan di penghujunya. Jika itu pun terlalu panjang, rencana-rencana saya tidaklah sesuai untuk mereka. – Pengarang)

Pada 20 Ogos 2019, bekas-bekas ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan UMNO dan diterima masuk menjadi ahli Bersatu datang menemui saya. Tujuan mereka adalah untuk meminta saya berucap di satu bengkel anjuran mereka pada 21 September 2019. Bengkal itu (bengkel politik) adalah satu daripda lima bengkel yang akan diadakan sebelum satu kongres Melayu besar-besaran diadakan yang akan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir.

Persoalan yang pertama sekali timbul di fikiran saya ialah sama ada kongres itu bertujuan menyaingi Himpunan Perpaduan Ummah (HPU914) yang akan diadakan pada 14 September 2019 itu. Ini kerana tarikh ia akan diadakan itu begitu rapat selepas HPU914 dan Perpaduan Ummah UMNO-PAS itu tentu sekali menggugat sokongan orang Melayu terhadap Bersatu dan PH. Maka, kongres itu hendak diadakan untuk menunjuk bahawa Bersatu juga sebuah parti Melayu untuk menarik pengundi Melayu kepadanya, yang semestinya menguntungkan PH dan DAP. Saya tidak mahu menjadi alat untuk tujuan seperti itu.

Menjawab soalan-soalan saya, mereka meyakinkan saya, pada masa itu, bahawa UMNO dan PAS juga akan dijemput. Malah, di kongres itu, pemimpin-pemimpin Melayu, termasuk daripada UMNO dan PAS akan duduk bersama-sama Tun Dr. Mahathir di atas pentas.

Saya berkata kepada mereka bahawa perpaduan orang Melayu/Islam di negara ini yang meliputi UMNO-PAS-Bersatu tidak mungkin berlaku selagi Bersatu berada dalam PH bersama-sama DAP. Saya bertanya mereka sama ada Bersatu sanggup keluar daripada PH untuk menyertai Perpaduan Ummah UMNO-PAS. Mereka meyakinkan saya bahawa Bersatu sanggup berbuat demikian. Ketua kumpulan yang datang itu berulang-ulang kali berkata bahawa hati mereka masih bersama UMNO.
Saya fikir, pada masa itu, jika Perpaduan Ummah UMNO-PAS menyatukan dua kumpulan orang Melayu/Islam terbesar di negara ini dan kongres itu akan meluaskannya meliputi Bersatu, ia patut disokong. (Namun demikian, saya lebih sukakan PRU15 ditandingi oleh PH seperti komposisinya sekarang dan Perpaduan Ummah UMNO-PAS dengan harapan Bersatu dan Amanah akan kalah, selakigus mengurangkan bilangan parti Melayu/Islam.)

Maka, saya bersetuju untuk menyampaikan ucapan di bengkel itu atas dua syarat:
1. Ia akan dihadiri oleh UMNO dan PAS; dan
2. Bersatu sanggup keluar dari PH.

Beberapa minggu berlalu dan saya tidak mendengar apa-apa berita mengenainya, manakala Setiausaha Agung Pas menelifon saya menjemput saya hadir di HPU14 dan berkata banyak orang mengharapkan kehadiran saya. Saya menerima jemputan itu.
Saya bertanya kepada ketua kumpulan yang datang ke rumah saya itu mengenai bengkel berkenaan. Saya lambat menerima jawapan. Akhirnya apabila saya tidak mendapat jawapan kepada dua syarat itu dan khuatir saya akan menjadi alat Bersatu yang akan menguntungkan PH dan DAP, saya menolak jemputan itu dengan baik.
Kemudian keluar berita PAS akan hadir Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan pada 6 Oktober 2019. Mulanya, saya kurang senang dengan keputusan PAS itu. Saya khuatir, jika PAS hadir tetapi UMNO tidak hadir, maka Perpaduan Ummah UMNO-PAS yang baharu sahaja dimeterai itu, sudah nampak seperti retak, dimanupulasi Tun Dr. Mahathir.

Semakin hampir tarikhnya, semakin jelas penglibatan IPTA-IPTA berkenaan. Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan mereka hendak dilibatkan adalah kerana penganjur asal itu hendak mengelak kongres itu dituduh bermotifkan politik. Saya percaya IPTA-IPTA itu mengetahuinya. Jika demikian, mereka mereka menerimanya?

Mungkin mereka nampak ia adalah suatu kesempatan baik untuk mereka mengketengahkan pendirian mereka dalam isu-isu negara semasa untuk mendapat perhatian dan, mungkin, pelaksanaan, walaupun sebahagian daripadanya. Jika itulah sebabnya, mereka lebih cerdik.

Pemimpin-pemimpin DAP mula mengkitik kongres itu dan Tun Dr Mahathir. Kritikan terhadap kongres itu adalah atas alasan lama dan sama seperti yang diberi terhadap perpaduan ummah UMNO-PAS dan sebarang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu/Islam: rasis, pelampau Islam dan sebagainya. Dr. Ramasamy, Timbalan Presiden DAP mengatakan ia adalah suatu uaha untuk merapatkan Tun Dr. Mahathir dengan PAS. (Kenyataan itu dibuat sebelum UMNO membuat keputusan untuk menyertainya.)

Lim Kit Siang mempersoalkan penglibatan IPTA-IPTA itu.

“Adakah empat universiti awam ini sanggup menganjurkan Kongres Maruah Cina Malaysia, Kongres Maruah India Malaysia, Kongres Maruah Kadazan Malaysia, Kongres Maruah Dayak Malaysia, Kongres Maruah Orang Asli Malaysia dan yang paling penting, Kongres Maruah Rakyat Malaysia?
“Martabat bagi rakyat Malaysia adalah jika setiap kumpulan etnik dan agama di Malaysia menikmati maruah masing-masing – yang selari dengan prinsip asas dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara,” kata Kit Siang dalam kenyataan yang diedarkan pada Jumaat.’

Kemudian UMNO membuat keputuan akan menghadiri kongres itu. Bagi saya, keputusan UMNO itu sekaligus meletakkan Tun Dr. Mahathir bersama-sama UMNO dan PAS dan merenggangkannya dan Bersatu daripada PH, yang tentu sekali tidak menyenangkan sekutunya dalam PH, terutama sekali DAP.

Tiba 6 Oktober 2019. Ada laporan mengatakan lebih kurang 5,000 orang hadir. Ada yang mengatakan 10,000 tetapi menambah bahawa kebanyakannya adalah palajar-pelajar IPTA. Fakta bahawa kebanyakan yang hadir itu adalah pelajar-pelajar IPTA disokong oleh seorang sahabat saya yang hadir dan kenyataan Yap Wen Qing, Naib Presiden Kesatuan Pelajar Universiti yang menuduh bahawa asrama-asrama pelajar diarah menyumbang sebilangan pelajar Melayu untuk menghadiri kongres itu dan juga berita bahawa lebih 100 orang pelajar yang menghadiri kongres itu terkena keracunan makanan kerana memakan nasi lemak yang disediakan di kongres itu.

Dalam ucapannya, Tun Dr. Mahathir mengulangi kritikanya terhadap orang Melayu. Di samping itu katanya:

“Kita harus ingat bahawa dahulu Semenanjung ini adalah milik orang Melayu, dia dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu, itulah nama Semenanjung ini, tetapi hari ini kita dapati kita terpaksa kongsi dengan orang lain… Di zaman belum kita merdeka, pihak British yang memerintah negara kita pada masa itu membawa masuk orang asing dengan ramainya dan Raja-Raja kita berpendapat bahawa mereka ini adalah orang asing dan apabila habis tugas mereka, mereka akan kembali ke tanah air mereka, tetapi ini tidak jadi kenyataan, orang asing berasa selesa dengan negara kita dan mereka ingin tinggal di sini, nak tak nak pun kita terpaksa terima, kalau tidak kita tidak akan capai kemerdekaan.”
Tun Dr Mahathir telah dikecam hebat oleh pemimpin-pemimpin DAP. Ahli , Mohan Ramasamy memanggilnya “Bapak Racist”, “Sudah Nyanyuk” dan “Mana Maruah Kamu”.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat, Ronnie Liu Tian Khiew, menulis “Kami bukan lagi orang asing”, “Kata kata macam ni sakitkan hati kami”, “Lain kali tolong pakai otak sebelum membuka mulut”. Kritikan terbuka Ronald Liu terhadap Tun Dr Mahathir dan kenyataan bahawa tanpa Bersatu pun, PH masih mempunyai majoriti dan boleh menubuh kerajaan (The Star online 22 Oktober 2019) dan reaksi terhadapnya oleh pemimpin-pemimpin Bersatu menunjukkan keretakan itu telah menjadi semakin teruk.Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, menulis “betul-betul suatu penghinaan dan tidak sepatutnya”, ” tidak sepatutnya dikatakan” dan “sangat sensitif dan mengancam keharmonian kaum di negara ini”. (Terjemahan saya).

Pertama, perhatikan bahasa yang digunakan oleh Mohan Ramasamy dan Ronnie Liew itu. Itulah budaya mereka.

Kedua, saya tidak fikir mereka membaca ucapan Tun Dr Mahathir. Jika mereka membacanya, mereka sepatutnya tahu bahawa Tun Dr. Mahathir bukan bercakap mengenai mereka, tetapi orang-orang yang di bawa oleh British masuk ke Semenanjung Tanah Melayu semasa pemerintahannya. Memang mereka dipanggil “orang asing”. Itu fakta sejarah.

Malah, Tunku Abdul Rahman Putra dalam kenyataannya dalam The Straits Times Tahun 1957, berkata “All aliens who have been resident for 10 years can become citizens, if they sincerely desire it.” (“Semua orang asing yang telah bermastautin selama 10 tahun boleh menjadi warga negara, jika mereka benar-benar menginginkannya.”)

Tun Dr. Mahathir merasakan perlu untuk menafikan kritikan terhadap kongres itu. Katanya:
‘“Kita tak kecam orang Cina dan India, tetapi nak kecam orang Melayu kenapa jadi begini,” katanya pada sidang media di akhir Kongres Maruah Melayu di sini.

‘Beliau berkata, kongres itu juga tidak ada kaitan dengan politik kerana ia dihadiri semua pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan parti politik.

‘“Mereka hadir sebagai Melayu dan nak tahu apa jadi maruah Melayu dan nak pulih maruah.”’ (BH Online 06 10 2019)

Ucapan yang paling menjadi kontroversial adalah ucapan Naib Canselor Universiti Malaya, Dr. Abdul Rahim Hashim. Mari kita baca dan faham dahulu apa yang beliau ucapkan. (Saya perturunkan bahagian yang berkenaan sahaja):

“ ‘Setahun yang lalu berlakunya peralihan tampuk kepimpinan negara, maka lahirlah harapan orang Melayu untuk melihat masa depan yang lebih terjamin. Malangnya, peralihan ini disulami perpecahan politik Melayu sehingga menghilangkan dominasi politik Melayu.

Lebih parah lagi selepas 62 tahun menikmati kemerdekaan, ekonomi orang Melayu masih ibarat melukut di tepi gantang. Kuiti korporat Melayu Bumiputera sekadar 23.4% manakala bukan Bumiputera memegang 34.8% dan ekuiti asing 37.2%. Ini menunjukkan sasaran Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai. Bukan itu sahaja, jurang pendapatan isi rumah juga semakin melebar dengan jumlah pendapatan Melayu Bumiputera 3.5 kali ganda lebih rendah berbanding kaum Cina bagi purata Malaysia pada tahun 2016.

Dunia pendidikan pula semakin mencabar. Pendidikan kebangsaan disaingi oleh pendidikan berasaskan kaum. Bahasa Melayu bukan lagi tonggak sehinggakan falsafah pendidikan kebangsaan tercabar. Malahan akhir-akhir ini hak keistimewaan Melayu, agama Islam, institusi Raja mulai dipersoalkan satu per satu.

Bukankah kuasa politik itu seharusnya milik kita?

Bukankah hasil mahsul negara ini sepatutnya memakmurkan kita?

Bukankah pendidikan itu boleh menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia?

Bukankah hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya sudah selesai?

Justeru itulah, berdasarkan persoalan-persoalan yang dibangkitkan, Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya bersama dengan Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi MARA bergabung tenaga bagi meneliti kegusaran dan keresahan orang Melayu Bumiputera.’ ”

Esoknya (7 Oktober 2019), Malaysiakini melaporkan bahawa Yap Wen Qing, Naib Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Malaya mengecam Dr. Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya kerana membuat kenyataan yang bersifat perkauman di kongres tersebut.

“Beliau menyeru Rahim untuk meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan meletak jawatan kerana beliau tidak menyelesaikan masalah di kampus UM.

“Yap mendakwa bahawa, di kongres itu, Rahim berkata peralihan kuasa pada 9 Mei 2018 (dari BN ke Pakatan Harapan) telah menghapuskan penguasaan politik Melayu sementara hak istimewa orang Melayu juga dipersoalkan.

“Rahim juga dikatakan berkata kongres itu diadakan untuk memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencabar kontrak sosial, Yap mendakwa.

” ‘Kami mengkritik naib canselor kerana membuat kenyataan rasis,…’” (Terjamahan saya).
Bayangkan seorang pelajar sudah menjadi begitu besar kepala menuntut Naib Canselornya meletak jawatan!

Dalam hidup ini, orang yang tahu sedikit mengenai sesuatu perkara, merasakan dia telah tahu segala-galanya. Tetepi, lagi banyak dia tahu, lagi banyak dia tahu apa yang dia tidak tahu.

Saya selalu menasihatkan pelajar undang-undang: Oleh sebab kursus undang-undang empat tahun, jangan fikir apabila kamu lulus tahun pertama, kamu telah tahu satu perempat daripada undang-undang; apabila lulus tahun kedua, kamu telah tahu satu perdua daripada undang-undang; apabila kamu lulus tahun ketiga, kamu telah tahu tiga perempat daripada undang-undang dan apabila kamu lulus tahun keempat, kamu telah tahu semua undang-undang. Nantilah, pada hari pertama kamu pergi ke mahkamah untuk mewakili anakguam (client) kamu, baru kamu tahu berapa banyak yang kamu tidak tahu.

Nasihat ini terpakai juga kepada pelajar-prlajar di semua jurusan. Maka, jangan besar kepala. Be humble.

Di manakah rasisnya ucapan Naib Caselor itu? Kita petik apa yang dikatakan Yap sendiri sebagai asas tuduhannya bahawa ucapan itu rasis. Seperti dilapor, dua kenyataan Naib Canselor itu dikemukakan sebagai asas tuduhan itu:

1. Yap mendakwa bahawa Dr. Abdul Rahim berkata peralihan kuasa pada 9 Mei 2018 (dari BN ke Pakatan Harapan) telah menghapuskan penguasaan politik Melayu;

2. Hak keistimewaan orang Melayu juga dipersoalkan.

3. Yap mendakwa bahawa Dr. Abdul Rahim juga berkata kongres itu diadakan untuk memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencabar kontrak sosial.

Mengenai 1, itu satu pendapat beliau berdasarkan penganalisisan fakta yang dibuat oleh beliau. Jika kenyataan itu rasis dan tidak boleh disebut, maka pensyarah di fakulti sains politik pun tidak boleh berkata demikian dalam kuliahnya. Jika kenyataan itu rasis, maka kenyataan sebaliknya bahawa peralihan kuasa itu telah menguatkan penguasaan politik Melayu, juga rasis.

Mengenai 2, ini juga satu kenyataan fakta berdasarkan pengamatan beliau. Jika berkata “ada orang mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu” itu rasis, tidakkah orang yang mempersoalnya itu lebih rasis?

Jika kenyataan-kenyataan 1 dan 2 itu tidak betul, tulislah satu rencana, beri hujah-hujah dan alasan-alasan bagi menunjukkan bahawa kenyataan-kenyataan itu tidak betul. Beri hujah-hujah dan alasan-alasan bahawa seorang yang menyatakan satu fakta seperti dalam 1 dan 2 itu, rasis. Itu cara orang terpelajar respond kepda sesuatu isu.

Mengenai 3, saya membaca keseluruhan ucapan Naib Canselor itu beberapa kali. Beliau langsung tidak berkata demikian. Yang berkata demikiam ialah Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Ketua Eksekutif kongres tersebut. Jika beliau berkata kongres itu diadakan untuk memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencabar kontrak sosial sekalipun, di mana rasisnya? Itu samalah dengan berkata untuk memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencabar hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Tujuannya untuk mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan, bukan untuk merampas hak kaum lain.

Yap juga menuntut Naib Canselor itu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan meletak jawatan kerana beliau tidak menyelesaikan masalah di kampus UM.
Apa kena mengena kegagalan menyelesaikan masalah di kampus UM, jika benar pun, dengan ucapannya di kongres itu?

Biar apa pun, apa yang dilakukannya itu bukanlah cara yang sesuai untuk menyatakan tidak bersetuju dengan ucapan Naib Canselor itu. Yap adalah Timbalan Presiden Kesatuan Pelajar. Mengapa tidak menggunakan saloran kesatuan itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati kesatuan itu, jika ahli-ahli jawatankuasanya bersetuju dengan pandangannya? Dia juga seorang ahli Senat Universiti itu. Bukankah lebih sesuai dan lebih beradab (proper) untuk beliau membangkitkan isu itu di mesyuarat senat?

Pada 14 0ktober 2019, aktivis pelajar, Wong Yan Ke mempamerkan plakad yang mengandungi kata-kata “Tolak Rasis” dan “Undur VC” di atas pentas upacara konokasyen selepas menerima ijazahnya dan menjerit “Ini Tanah Malaysia”.

Pada hari yang sama, Malaysiakini melaporkan peristiwa itu sebagai “protes berani”.

Pada 17 Oktober 2019, The Star online melaporkan:

“Aktivis Pelajar Wong Yan Ke berkata protesnya terhadap Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada konvokesyen itu adalah untuk “mendemokrasikan” dan “memberi inspirasi” kepada kampus.
 “Dia berkata dia akan melakukannya sekali lagi tidak kira masalah yang dibawa oleh tindakan itu kepadanya sambil mendakwa bahawa Datuk Abdul Rahim Hashim tidak pernah bertanggungjawab kepada pelajar atau ahli akademik.” (Terjemahan saya).

Soalan: Adakah dia mendapat inspirasi daripada gerakan pro-demokrasi di Hong Kong?
Kepada Wong saya ingatkan, kamu bukan orang pertama masuk universiti dan mereka yang lebih awal dari kamu bukan kesemuanya kurang cerdik daripada kamu. Banyak di antara mereka yang radikal dan revolusionari. Tetapi umur, ilmu, pengalaman, tanggungjawab dan kebijaksanaan menjadikan mereka lebih matang hari ini.

Adalah perkara biasa bagi pelajar-pelajar yang baru membaca baberapa buah buku dan mengikuti beberapa kuliah, mahu mangubah dunia (change the world). Apabila mereka bekerja, tanpa disedari, sedikit demi sedikit (ada yang dengan serta merta) mereka mengubah diri mereka untuk menyesuaikan diri untuk hidup dalam dunia yang lebih luas. Itu lumrah alam yang seorang pelajar tentu tidak suka dengar.

Saya tidak berkata pelajar tidak boleh bersuara, tetapi biarlah sepadan dengan ilmu yang ada dan pengalaman, kematangan dan kebijaksanaan yang belum ada dan mengikut cara yang beradab, beradat dan beretika. Semua yang disebut di akhir ayat sebelum ayat ini juga perlu dipelajari, jika ia tidak diajar di rumah sekalipun.

Sehari selepas Wong melakukan protesnya (15 10 2019), Kon Hua Eng dari fakulti perakaunan telah tidak dibenarkan oleh pihak universiti daripada menerima ijazahnya di majlis konvokesyen universiti itu, kerana khuatir dia akan melakukan protes yang sama seperti Wong, sehari sebelumnya.

Kon adalah bekas presiden UM Association of New Youth. Mengikutnya, dia menduga sebab dia dihalang daripada upacara itu ialah dia telah membuat post di Facebooknya menyokong protes Wong.(The Star 15 Oktober 2019). Mengikut laporan The New Straits Times pada 19 Oktober 2019, polis simpanan menemui plakat yang dilipat dalam milikannya, sebelum dia dihalang.

Pada hari yang sama (15 Oktober 2019), The Malay Mail melaporkan bahawa pemimpin-pemimpin DAP Sosialist Youth (Dapsy) mempersoalkan sama ada Naib Canselor Universiti Malaya, Abdul Rahim Hashim mengabaikan nasihat Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk bersikap terbuka ketika berurusan dengan pelajar.

“Dapsy mengutuk tindakan Abdul Rahim Hashim yang menyalahgunakan kuasa untuk melarang pelajar siswazah Kon Hua En daripada mendapat skrolnya semasa majlis konvokesyen Universiti Malaya pagi ini.
………..
“Dari senyap apabila pelajar diserang oleh penyokong mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kepada membuat pernyataan perkauman semasa Kongres Maruah Melayu dan membuat laporan polis terhadap Wong kerana bersuara, terbukti bahawa Abdul Rahim telah gagal dalam melaksanakan tugasnya dan harus meletakkan jawatan dengan segera.” (Terjemahan saya).

Esoknya (16 Oktober 2019), The Star melaporkan bahawa Suara Rakyat Malaysia (Suaram) telah menuntut Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Abdul Rahim Hashim untuk meletakkan jawatan jika beliau tidak dapat menerima kritikan daripada pelajar atau tidak mahu menyediakan ruang yang selamat untuk pelajar terlibat dalam wacana.

“… apa-apa kritikan terhadap dasar-dasar melalui protes atau ketidakpatuhan awam adalah dijangka dan dialu-alukan, selagi ia tidak menggalakkan keganasan terhadap orang lain,” kata pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan pada Rabu (16 Okt). (Terjemahan saya).
Perhatikan Suaram mengalu-alukan tindakan ketidakpatuhan awam (civil disobedience) yang termsuk tidak mematuhi undang-undang. Misalannya ialah apa yang sedang berlaku di Hong Kong sekarang! 
Pada hari yang sama (17 Oktober 2019), the Star online melaporkan:
“Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) berkata mereka menyokong hak Wong untuk menyatakan pendapatnya, tetapi tidak bersetuju dengan platform yang digunakannya.
“Mereka mengatakan bahawa protes itu telah mencemarkan majlis itu kepada orang lain, tetapi mungkin didorong oleh komuniti pelajar yang sudah tidak berpuas hati dengan tindakan Naib Canselor UM.” (Terjemahan saya).
Saya bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh PKAUM seperti dalam perenggan pertama laporan itu. Saya bersetuju ia telah mencemarkan majlis itu, tetapi, jika betul pun ia didorong oleh komuniti pelajar yang sudah tidak berpuas hati dengan tindakan Naib Canselor UM, ia bukanlah justifikasi bagi perbuatan itu.

Seterusnya, Setiausaha PKAUM, Dr Noraishah Mydin Haji Abdul Aziz berkata “Naib Cancelor itu gagal untuk menggalakkan toleransi dan perpaduan kaum di universiti dengan melibatkan diri dalam mengadakan kongres itu, dan bahawa beliau gagal untuk melepaskan diri daripada permainan ahli politik, yang tidak sesuai bagi ahli akademik.” (Terjemahan saya).

Beliau mungkin mempunyai satu hujah yang sah (valid) di sini. Tetapi, soalnya, jika ia satu hujah yang sah pun, adakah protes yang dilakukan di majlis konvokesyen itu sesuai? PKAUM sendiri mengatakan ia tidak bersetuju dengan platform yang digunakan. Itu isunya.

Setiausaha PKAUM itu seterusnya berkata:
“PKAUM bertanya di manakah the voice of reason dan tangan keadilan bagi mengurangkan kuasa naib-naib canselor yang laparkan politik yang menggunakan alat dalam organisasi mereka dan semua cara politik untuk memastikan mereka terus berkuasa, yang banyak di antara mereka tidak sesuai untuk mengisi (jawatan tersebut), dari awal lagi,…” (Terjemahan saya).
Ini ibarat membuka pekung di IPTA-IPTA. Saya tidak tahu hal sebenar. Maka saya tidak akan komen mengenai merit kenyataan itu. Tetapi, jika tuduhan itu benar pun, mengapa menunggu higga pelajar-pelajar membuat bantahan mengenai satu isu lain untuk menumpang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap naib-naib canselor? Apakah yang dilakukan oleh PKAUM mengenai isu itu selama ini?
Bantahan terhadap Naib Canselor itu adalah kerana ucapannya di kongres itu dikatakan rasis. Yap sendiri berkata “Kami mengkritik naib canselor kerana membuat kenyataan rasis,…” Demikian juga Wong. Plakad yang dipamernya tertulis “Tolak rasis”. Dia menjerit “Ini bumi Malaysia”, yang jelas merujuk kepada ucapan Tun Dr. Mahathir yang berkata:

“Kita harus ingat bahawa dahulu Semenanjung ini adalah milik orang Melayu, dia dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu, itulah nama Semenanjung ini,..”

Itu yang dibantah, bukan permainan politik Naib-Naib Canselor di IPTA-IPTA untuk dilantik dan kekal menjadi Naib Canselor. Apa yang tidak betulnya dengan apa yang dikatakan Tun Dr. Mahathir itu? Nampaknya Yap dan Wong tidak boleh dengar perkataan “Tanah Melayu” walau pun itu nama Semenanjung ini pada suatu masa dahulu, malah nama rasmi negara ini dalam Pelembagaan 1957 ialah “Persekutuan Tanah Melayu”.

Pada hari yang sama (17 Oktober 2019), The Star Online juga melaporkan:

“Pergerakan Akademik Malaysia (Gerak) berkata ia berdiri di belakang Wong Yan Ke mengenai tindakannya di majlis konvokesyen Universiti Malaya, baru-baru ini.

“Gerak berdiri tegak di belakang Wong dan hak dan kebebasannya untuk mengatakan apa yang dia katakan, walaupun (jika dia) mengatakannya dalam suasana yang selama bertahun-tahun telah diaturkan sebagai suram dan terhormat.

“Bagi mereka yang mengatakan bahawa ia adalah tempat yang salah, kami bertanya, apa lagi tempat yang lebih berkesan?” jawatankuasa eksekutif Gerak bertanya dalam satu kenyataan pada hari Khamis (17 Okt). (Terjemahan saya).

Nampaknya, Gerak hanya menitikberatkan soal hak untuk bersuara, tanpa memberi perhatian langsung kepada adab, budi bahasa dan adat resam. Adakah semuanya tidak relevan lagi? Jika demikian, tukarkanlah semula nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran.
Laporan itu juga memuatkan petikan dari Bernama yang mengatakan:

“Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa ketua pegawai penerangan Majlis Pemuda Malaysia (MYC) Wan Mohd Husni Abdullah berkata pelajar itu melanggar tradisi dan protokol upacara yang patut dihormati oleh semua pihak.

“’Tindakan pelajar itu menunjukkan kekurangan moral dan nilai sebagai orang yang berpendidikan dan melemahkan reputasi universiti itu di khalayak ramai. Penggunaan istilah ‘kebebasan bersuara’ (oleh pelajar itu) tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan perlu dilakukan melalui saluran yang betul,” katanya. (Terjemahan saya).

Katakanlah rasis atau apa pun, itu adalah pandangan hampir keseluruhan orang Melayu. Lihatlah, walaupun ia dikeluarkan oleh Bernama, berita itu hanya dilapor sebagai sampingan dan tidak diberi keutamaan langsung. Akhbar-akhbar lain mungkin tidak menyiarkannya langsung. Itulah “kebebasan akhbar”! Apatah lagi “akhbar rasis” Utusan Malaysia (akhbar-akhbar Cina tidak rasis!) telah berjaya dikuburkan. Berita-berita yang sealiran dengan akhbar-akhbar itu sahajalah yang akan diberi keutamaan. Di milenium kedua ini, itulah cara menguasai sesebuah negara.

Pada 19 Oktober 2019, The New Straits Times melaporkan bahawa Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya mengeluarkan kenyataan, antara lain, mengatakan:

“Menurut Persatuan Undang-undang itu, kebebasan bersuara dipandu mengikut parameter dan keperluan berkaitan dengan ketenteraman awam, morality, defamation dan hasutan terhadap sebarang kesalahan, tetapi perkara itu tidak dinyatakan dengan jelas di dalam undang-undang atau dasar dalaman universiti.
“Kami memahami kebimbangan universiti berkenaan dengan pandangan bahawa majlis konvokesyen rasmi mungkin tidak menjadi platform yang sesuai untuk menyatakan bantahan yang sah.
“Walau bagaimanapun, mengambil kira keadaan sekeliling berkenaan dengan kes itu, bahawa protes itu tidak mengganggu aliran dan prosedur majlis itu, bahawa ia tidak menghalang pelajar lain daripada mendapatkan skrol mereka, atau menikmati pengalaman konvokesyen.
“Ia menambah bahawa protes itu juga tidak menghasut sebarang bentuk keganasan, dengan itu menyokong hak Wong dan Kon untuk kebebasan bersuara.” (Terjemahan saya).
Soalannya ialah sama ada tunjuk perasaan seperti itu sesuai dilakukan di atas pentas majlis konvokesen semasa upacara itu sedang berjalan atau tidak, tidak kira oleh seorang atau lebih; tidak kira ia mengganggu kelancaran perjalanan malis itu atau tidak; tidak kira sama ada ia menghalang pelajar lain daripada mendapatkan skrol mereka atau tidak; tidak kira ia menghalang pelajar-pelajar lain daripada menikmati pengalaman konvokesyen atau tidak dan tidak kira sama ada ia menghasut sebarang bentuk keganasan atau tidak.

Sekali lagi, soalannya ialah sama ada perbuatan itu sesuai atau tidak dan, oleh itu, patut dilarang atau tidak. Adalah tidak munsabah membiarkan seorang atau beberapa orang melakukannya, tetapi bila sudah terlalu ramai (berapa orang?) baru hendak berkata ia tidak sesuai dan perlu dihalang. Meraka semua melakukan atau hendak melakukan perbuatan yang sama. Mengapa yang awal sesuai dan yang kemudian tidak hanya kerana banyak orang telah melakukannya?

Demikian juga dengan faktor-faktor lain yang menjadi asas pendirian persatuan undang-undang itu. Jika kita hendak tunggu kesan sesuatu perbuatan itu dalam sesuatu keadaan itu berlaku baru hendak memutuskan sama ada perbuatan itu sesuai atau tidak, kita akan terlewat sepanjang masa.

DYMM SPB Raja Permaisuri Agong menyatakan sesuatu yang amat bernas, apabila baginda berkata:
“Saya tidak bersetuju bahawa tindakan itu diambil dalam satu acara rasmi. Tidak wajar dan tidak menghormati upacara itu.

“… Dia tidak sepatutnya melakukannya pada konvokesyen … menunjukkan rasa tidak hormat! Rather unbecoming! ” (Terjemahan saya).

Perhatikan juga bagaimana, dalam peristiwa itu, media massa memainkan peranan untuk mengagung-agungkan perbuatan dua orang pelajar yang, paling kurang, tidak beradab dan menjadikan mereka wira.

Sekarang mari kita lihat resolusi-resolusi kongres itu. Walaupun, melalui seorang sahabat yang menghadiri kongres itu dan saya sendiri, kami cuba mendapat resolusi muktamad dan rasmi kongres itu, sehingga saya menyiapkan rencana ini, saya tidak berjaya mendapatnya. Mengikut sahabat saya itu, tidak seperti biasa, di akhir kongres itu tidak ada sesi plenari yang meluluskan resolusi muktamad kongres itu. Beliau hanya berjaya memperolehi dua resolusi (mengikut sahabat saya itu, yang lainnya tidak ada), iaitu resolusi kluster Agama dan Ekonomi, dan beberapa teks ucapan peserta. Maka saya terpaksa menulis rencana in berdasarkan bahan-bahan yang saya ada itu.

Dari bahan-bahan itu pun, banyaklah resolusi/cadangan yang dibuat. Rencana ini bukanlah ruang untuk memperturunkan kesemuanya, apatah lagi membincangnya. Saya juga tiada kepakaran dalam semua bidang untuk membincanya.

Saya tidak fikir resolusi-resolusi dan cadangan-cadangan itu akan dan boleh dilaksanakan oleh Kerajaan PH. Dari segi itu, kongres itu tidak boleh dikatakan berjaya. Tetapi bagi individu dan kumpulan yang mencadangkannya, mereka telah berjaya menggunakan kesempatan itu untuk menunjukkan di mana letaknya kekurangan dan kelemahan Kerajaan PH (pada pandangan mereka) dan mengketengahkan cadangan-cadangan mereka, yang jika dilaksanakan, mereka berjaya dan, jika tidak pun, mereka (terutama sekali jika mereka adalah ahli-ahli parti politik pembangkang) boleh menjadikannya modal politik, untuk mengkritik Kerajaan PH. Lebih dari itu, ia juga akan meretakkan hubungan antara Tun Dr. Mahathir dan Bersatu dengan sekutunya, terutama sekali DAP. Itu kejayaan politik kepada UMNO dan PAS.

Bagi saya pun, bukan semua resolusi itu sesuai atau boleh dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang. Lebih lagilah bagi Kerajaan PH. Tetapi dengan adanya kongres itu, Kerajaan PH telah membuka peluang kepada individu dan kumpulan, termasuk parti pembangkang melambakkan tuntutan ke atasnya yang Kerajaan PH tidak mahu atau tidak mampu melaksanakannya. Selepas itu, Kerajaan PH akan terbuka kepada kritikan kerana tidak melaksanakannya yang akan memberi political mileage kepada parti-parti pembangkang, terutama sekali UMNO dan PAS. Ia juga akan menyebabkan rasa tidak puas hati parti sekutu PH, terutama sekali DAP dan merenggangkan mereka daripada Tun Dr Mahathir dan Bersatu.
Kritikan terbuka Ronnie Liu terhadap Tun Dr Mahathir dan kenyataannya bahawa tanpa Bersatu pun, PH masih mempunyai majoriti dan boleh menubuh kerajaan (The Star Online 22 Oktober 2019) dan reaksi terhadapnya oleh pemimpin-pemimpin Bersatu menunjukkan keretakan itu telah menjadi semakin teruk.

Dalam hal ini, dari segi politik, UMNO dan PAS yang untung.

Ini amat jelas terutama sekali mengenai dua resolusi:

1. Resolusi Kluster Pendidikan yang dicadangkan oleh wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mewujudkan sekolah satu aliran melalui pemansuhan sekolah vernakular secara beransur-ansur dalam tempoh enam tahun.

2. Resolusi Kluster Agama yang di bawa oleh Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Kelantan bahawa jawatan utama kepemimpinan negara dan negeri, iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta kementerian penting seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam serta beraliran ahli Sunnah wal-Jama’ah. Begitu jugalah jawatan penting lain seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah digalas oleh muslim beraliran ahli Sunnah walJama’ah.

Mengenai 1, itu adalah yang sebaik-baiknya, demi perpaduan negara. Tidak ada negara yang membenarkan sekolah dua aliran, termasuk Singapure yang majoriti besar penduduknya adalah orang Cina. Masalahnya adalah orang Melayu yang, semasa mempunyai majority besar, tidak melakukannya kerana terlalu berlembut dan pemurah. Sekarang keadaan telah berubah. Orang yang dahulu lemah dan dikasihani telah menjadi kuat dan keras kepala dan menuntut lebih lagi hingga kita terpaksa mengalah lagi, sehinggakan sesiapa yang menyebut untuk mewujudkan sekolah satu aliran dikatakan rasis, manakala mereka yang mahukan sekolah vernakular, tidak. Malah, hari ini, mempertahankan hak orang Melayu adalah rasis. Tetapi, mempertahankan hak orang bukan Melayu dan mahukan hak Melayu tidak rasis. Itulah realitinya.

Sehari selepas kongres itu diadakan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan menyoal DAP mengapa ia berdiam diri mengenai resolusi pemansuhan sekolah vernakular secara beransur-ansur dalam tempoh enam tahun itu. Perhatikan, ia hanya lebih kurang sebulan sebelum PRK Tanjung Piai. Nyata sekali beliau ingin menarik pengundi Cina kepada MCA yang mahu calon MCA diletak di situ. Saya percaya, pengundi Cina tidak akan berpatah balik kepada MCA daripada DAP, tetapi pengundi Melayu yang merupakan majoriti mungkin tidak akan mengundi calon MCA. UMNO eloklah mengambil perhatian.
Mengenai 2, ia tidak akan dan tidak boleh dilakukan dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang. Dari segi politik pun ia tidak mungkin boleh dilakukan. Malaysia bukan Kelantan. Tetapi, seperti isu hudud dipolitikkan di Kelantan, resolusi ini juga hanya akan menjadi modal politik selagi ia akan membawa undi. Biar apa pun PAS tidak ada apa-apa untuk rugi daripada resolusi yang dicadangkan oleh wakilnya itu. Yang rugi ialah Kerajaan PH.

Kesimpulan

1. Kongres itu bermula dengan tujuan untuk menyaingi perpaduan ummah UMNO-PAS dan menarik pengundi Melayu kepada Bersatu yang akan menguntungkan PH khususnya DAP.

2. Untuk mengelak ia dituduh bermotifkan politik dan memberi kredibiliti kepadanya, IPTA-IPTA diminta menganjurnya. (Siapa yang membayar perbelanjaannya, saya tidak tahu).

3. Mungkin IPTA-IPTA itu bersesetuju untuk menganjurkan kongres itu kerana mereka nampak ia adalah suatu kesempatan baik untuk mereka mengketengahkan pendapat dan pendirian mereka dalam isu-isu negara semasa untuk mendapat perhatian dan, mungkin, pelaksanaan, walaupun sebahagian daripadanya.

4. Tun Dr Mahathir nampak seperti terheret ke dalam kongres itu, melainkan jika beliau mempunyai tujuannya yang tersendiri.

5. UMNO dam PAS membuat keputusan bijak untuk menyertainya. Kehadiran mereka meletakkan Tun Dr Mahathir lebih rapat dengan UMNO dan PAS. Ini akan menimbulkan prasangka di kalangan anggota PH, terutama sekali DAP dan PKR terhadap Tun Dr Mahathir yang akan menambahkan lagi keretakan di antara mereka.

6. Dengan kehadiran di kongres itu, UMNO dan PAS tidak rugi apa-apa. Malah mereka untung kerana menyebabkan bertambahnya keretakan hubungan Tun Dr Mhathir dengan rakan sekutu PH. Di samping itu PAS, melalui wakilnya telah berjaya memasukkan satu resolusi yang memang tidak akan dilaksanakan oleh PH, memberi modal politik percuma kepada PAS.

7. IPTA-IPTA dikritik oleh DAP, individu dan kumpulan yang dipengaruhi oleh atau sependapat dengannya kerana terlibat dalam penganjuran kongres itu. Kritikan itu adalah atas alasan kongres itu rasis. Valid atau tidak alasan itu, ia mencemarkan imej IPTA-IPTA itu yang sukar dibersihkan sepenuhnya. Keadaan mungkin berbeza jika idea kongres itu datangnya dari IPTA-IPTA itu sendiri untuk mengumpulkan para akademik dan professional untuk membincang masalah orang Melayu semasa dan mencari jalan mengatasinya.

8. Kongres itu memberi kesempatan kepada golongan pelajar, terutama sekali Cina, yang dipengaruhi atau sealiran dengan DAP mengecam Naib Canselor Universiti Malaya kerana ucapannya di kongres itu yang disifatkan sebagai rasis. Valid atau tidak alasan itu, pelajar-pelajar itu telah dijadikan wira oleh orang dan kumpulan yang sependapat dan mempunyai kepentingan yang sama dengan mereka.

9. Isunya bukan hak pelajar-pelajar itu bersuara, tetapi di mana? Semua orang bersetuju mereka ada hak bersuara. Tetapi, manusia bukan sahaja ada hak. Manusia juga ada tannggungjawab, ada adab, adat, budaya, peraturan, etika dan, sepatutnya, perasaan malu untuk melakukan sesuatu yang tidak senonoh di majlis seperti itu. Adakah semua itu tidak relevan lagi?

10. Lebih mendukacitakan ialah, kumpulan-kumpulan yang menyokong pelajar-pelajar itu, termasuk ahli-ahli politik (pembuat undang-undang) dan ahli-ahli akdemik (cerdik pandai), juga cuma mengutamakan hak bersuara seseorang tetapi tidak langsung mengambil kira factor-faktor lain yang saya sebut dalam perenggan 9, malah ada yang terang-terang mengalu-alukan ketidakpatuhan awam (civil disobedience) dari mereka.

11. Ada pula ahli akademik yang mengambil kesempatan untuk mengkritik naib-naib canselor yang, mengikutnya, tidak berkelayakan memegang jawatan itu, bermain politik untuk dilantik dan kekal di jawatan itu.

12. Kita juga dapat melihat dengan jelas peranan media masa Bahasa Inggeris (Bahasa Cina saya tidak tahu) dalam mempromosikan pelajar-pelajar itu.

13. MCA, yang mahu bertanding di Tanjung Piai menagambil kesempatan untuk menarik sokongan pengundi Cina daripada DAP. Saya tidak fikir ia akan berajaya. Sebaliknya, jika orang Melayu mengikuti perkembangan isu kongres itu, mereka mungkin tidak akan mengundi calon MCA dalam PRK Tanjung Piai. UMNO perlu ambil perhatian.

14. DAP, terutama sekali Dapsy, tentu gembira dapat mempromosi pelajar-pelajar yang fikirannya sealiran dengan mereka dalam usaha memenagi sokongan orang Cina. Tetapi, sebenarnya mereka tidak perlu berbuat apa-apa untuk mendapat sokongan orang Cina lagi, pada masa ini. Orang Cina sudah pun berada dalam genggaman mereka. Sebaliknya, DAP perlu sedar bahawa perbuatan dua pelajar itu dan sokongan tidak berbelah-baginya mungkin lebeih berkesan kepada orang Melayu daripada ceramah bersepadu UMNO-PAS ke seluruh Semenanjung untuk menolak PH kerana DAP berada di dalamnya. Saya fikir dalam PRU15, undi orang Melayu lebih penting kepada PH, khususnya PKR, Bersatu dan Amanah.

15. Bahawa keretakan antara Tun Dr. Mahathir dengan DAP dan bahawa kongres itu memburukkan lagi keadaan itu tidak boleh dinafikan. Dalam masa dua minggu sahaja selepas kongres itu diadakan, keretakan itu telah menjadi lebih teruk apabila Ronnie Liu mengkritik Tun Dr. Mahathir secara terbuka dan mengatakan bahawa tanpa Bersatu pun PH masih mempunyai majoriti dan boleh menubuh kerajaan. Apa yang menyebabkan sekutu PH masih tolerate antara satu sama lain ialah mereka masing-masing takut sekiranya mereka berpecah pada masa ini, ada kemungkinan Tun Dr. Mahathir akan memohon DYMM SPB YDP Agong membubarkan Parlimen, menyebabkan PRU 15 diadakan lebih awal dan mereka akan kalah. Maka, adalah lebih baik untuk terus berkuasa sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

16. Memandangkan di kebanyakan universiti, Canselornya yang menyampaikan skrol itu adalah DYMM Raja-Raja Melayu, DYMM Raja-Raja Permaisuri atau TYT Gobnor, perbuatan tidak beradab itu tidak boleh diterima sama sekali. Ia mesti di larang dengan hukuman yang setimpal bagi sesiapa yang melanggarnya. Janganlah suatu upacara yang beradat seperti itu dirosakkan oleh sekumpulan orang yang tidak tahu adat dan tidak beradab.

17. Saya tidak fikir resolusi-resolusi kongres itu akan dilaksanakan, tetapi kesannya yang tidak dirancang akan berpanjangan.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo