NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Adib: Segerakan Pendakwaan


oleh:Dr Muhammad Fathi Yusof
29 September 2019

(Temubual dengan Mingguan Malaysia)

Soalan 1. Apa peringkat seterusnya selepas inkues dikeluarkan?

Peranan Mahkamah Kononer adalah untuk menentukan punca kematian sebagaimana yang diperuntukan dalam Bahagian XXXII Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593). Dalam kes Muhammad Adib Mohd Kassim ini, mahkamah putuskan bahawa kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah.

Dalam hal ini, Mahkamah Koroner perlu melaporkan dapatan inkues kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut iaitu pendakwaan. Pihak Peguam Negara perlu melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Perlembagaan untuk membuat pendakwaan dalam kes-kes jenayah. Keputusan Mahkamah Koroner yang dilaksanakan melalui proses yang adil, telus dan komprehensif perlu disusuli dengan pendakwaan. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.





Jika siasatan belum lengkap, maka pihak polis bertanggungjawab untuk melengkapkan siasatan. Ia termasuklah mengenalpasti serta bertindak ke atas individu-individu yang terlibat, serta mengumpulkan segala bukti yang diperlukan. Ia perlu dilaksanakan dengan cepat, cekap dan menyeluruh.

2. Adakah ia akan mengambil masa yang lama untuk mendakwa pesalah-pesalah yang memukul Adib sehingga mati.



Kes ini dah lama berlaku. Pihak polis pun sebenarnya telah lama menjalankan siasatan. Saya percaya ia sepatutnya tidak berlanjutan lama lagi selepas ada keputusan inkues ini. Sekarang bola di kaki Peguam Negara, dan rakyat sedang menyaksikan dan menunggu.

Kita tahu bahawa Peguam Negara telah membuat silap bila membuat kesimpulan awal berkaitan punca kematian Adib pada waktu Mahkamah Koroner belum menyelesaikan inkues. Kesilapan itu kini di bawa ke Mahkamah dan menjadi satu kes dakwaan menghina mahkamah. Kita berharap ia diselesaikan dengan adil dan berwibawa ‘without fear or favour’ walau pun ia melibatkan dakwaan ke atas Peguam Negara sendiri.

Tetapi kita tidak mahu polemik itu melambatkan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah dalam kes Adib ini. Jika pihak Peguam Negara lambat bertindak, ia akan dilihat sebagai satu kecuaian dan kelemahan yang ketara. Sebagai satu pilihan jalan keluar, elok juga difikirkan kemungkinan Peguam Negara mengambil cuti atau meletakkan jawatan bagi membolehkan kes Adib dapat berjalan dengan lancar dan segera.

3. Adakah pihak polis atau pendakwa raya akan mengalami kesulitan untuk mendakwa suspek-suspek? Campur tangan pihak berkepentingan politik sebagai contoh.

Keputusan Mahkamah Koroner sangat jelas. Perlu diingat ia dilakukan secara komprehensif selama 41 hari melibatkan 30 orang saksi. Dari sudut perundangan, pendakwaan perlu dilakukan segera. Saya tidak nampak wujud kesulitan dari sudut teknikal kerana siasatan telah bermula lama dan saya percaya pihak polis sudah ada nama-nama orang yang disyaki melakukan jenayah itu.

Dalam hal sistem keadilan negara, orang politik tidak boleh campur tangan. Biar institusi polis, pendakwaan dan mahkamah menjalankan tugas mereka secara profesional. Ini yang rakyat mahukan.

4. Sebagai tenaga akademik perundangan, bagaimana Dr. Fathi melihat perkembangan kes Adib?

Kes Adib ini menjadi tumpuan kerana banyak faktor. Pertamanya, ia berkaitan satu insiden rusuhan di Kuil Maha Mariamman pada tahun lepas yang menjadi tumpuan seluruh negara.

Kedua, Adib ialah seorang anggota bomba yang berkhidmat untuk membantu menyelamatkan nyawa rakyat dalam kes kebakaran dan seumpamanya. Pembunuhan seorang anggota penyelamat seperti beliau adalah satu yang amat menyedihkan.

Ketiga, kelambatan dalam pendakwaan ke atas mereka yang disyaki melakukan jenayah dalam kes Adib menimbulkan keresahan rakyat. Polemik punca kematian Adib menjadi lebih hangat dengan kenyataan Peguam Negara pada saat inkues sedang berjalan.

5. Apa harapan Dr. Fathi terhadap sistem perundangan negara pada waktu ini?

Kita mahu kes ini dikendalikan secara profesional. Keputusan Mahkamah Koroner memberikan satu nafas baru agar kes ini dapat diselesaikan dengan adil dan telus. Keadilan amat penting untuk memadamkan keresahan. Keresahan yang dibiarkan merebak boleh mencetuskan pelbagai andaian dan persepsi negatif seterusnya boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Kita mengharapkan rakyat tidak cepat melatah. Usah heret isu ini dengan soal perbezaan kaum. Semua orang tanpa mengira kaum inginkan keadilan dan pembelaan. Yang salah tetap salah, dan perlu dibawa ke muka pengadilan. Diharap kes ini segera ditangani tanpa dilengah-lengahkan, dan dapat diselesaikan tanpa menjejaskan keharmonian negara tercinta ini.

Sumber: https://www.facebook.com/fathiyusof/posts/10214590642336639

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo