NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlukah Tabung Harapan Malaysia (THM) diwujudkan?

 
Kita tidak berada dalam krisis kewangan/keberhutangan serius sehingga perlu menubuhkan dana awam seperti THM. Masalah 1MDB dan syarikat lain yang menekan kewangan kerajaan tidak perlu menjadi beban rakyat menyelesaikannya.

Oleh: Dr Mahyudin Ahmad

1. Saya sebagai rakyat Malaysia cukup teruja melihat perubahan kerajaan yang baharu pasca PRU14 yang lalu. Saya yakin majoriti rakyat juga begitu. Namun keterujaan kita bertukar menjadi sedikit resah apabila Tun Mahathir mengumumkan hutang kerajaan sebanyak RM1 trilion (Walaupun yang patut diambilkira dalam penentuan saiz hutang kerajaan ialah Perkara 1 sahaja, dan Perkara 2 apabila ia sah tidak mampu diservis oleh syarikat yang berhutang itu, maknanya hutang kerajaan bukan RM1 trilion pun).

2. Susulan keresahan ini menyebabkan sebahagian rakyat mahu membantu kerajaan, lalu tular di media sosial berita beberapa orang yang mahu menderma untuk melangsaikan hutang kerajaan.

3. Kalau saya memakai topi rakyat biasa, saya akan mengiktiraf inisiatif kerajaan menubuhkan THM ini. Sudah tentu saya hargai hasrat kerajaan menyediakan saluran dana rasmi untuk rakyat menyumbang dan bersama dengan kerajaan baharu membantu melangsaikan hutangnya.

4. Namun, jika saya memakai topi seorang yang ada sedikit kefahaman dalam hal ekonomi, maka saya rasakan penubuhan THM itu TIDAK PERLU. Sebabnya adalah seperti di bawah:

a. Sekitar 97% dari hutang kerajaan (Perkara 1) adalah dari sumber dalam negara, iaitu dari KWSP, KWAP dll badan berkanun serta bank-bank domestik yang membeli bon kerajaan Malaysia. Bakinya 3% adalah dari sumber luar negara. Hakikatnya, semua pelabur institusi ini hampir pasti tidak akan mengalami situasi kewangan yang merudum teruk sehingga mereka terpaksa menebus kertas bon itu (iaitu meminta kerajaan Malaysia membayar semula hutang mereka secara sekaligus). Jadi, tiada tekanan langsung kepada kerajaan selama ia berhutang dengan badan berkanun ini.

b. Bagi kerajaan, bon itu hutang, tetapi bagi pembeli bon, ia menjadi aset. Kerajaan akan membayar interest pada pemegang bon, maka interest itu menjadi pendapatan kepada pembeli bon tadi. Pendapatan itulah yang akan diagih kepada rakyat (pencarum KWSP, pesara, penyimpan di bank) melalui dividen. Sebagai pelabur, sudah tentu badan berkanun dan bank tadi mahukan 'stream of income' dari kerajaan ini berterusan wujud. Ini kerana disebut bon kerajaan adalah 'risk-free investment' disebabkan kerajaan tidak akan sama sekali bankrap dan gagal membayar interest.

c. Kadar Debt to GDP ratio untuk Perkara 1 hanyalah 50.8% sahaja, masih lagi dalam kadar selamat. Pada 1997 sebelum krisis, kadar ini berada pada 34%. Selepas krisis, ketika kerajaan kembali mengalami bajet defisit, keberhutangan kerajaan hanya dalam jajaran purata 40% sahaja dari 1998-2008. Hanya selepas DS Najib mengambilalih kerajaan, ia meningkat lebih 50% sehingga sekarang (saya anggap beliaulah punca utama masalah hutang kerajaan yg serius).

d. Penubuhan THM memberi petunjuk kurang elok kepada dunia, semakin akan menakutkan pelabur, dan sudah pasti memberi peluru kepada pembangkang (PAS dan BN-sudah banyak gambar tin milo berkeliaran di medsos). Mengikut Tan Sri Ramon Navaratnam, bekas TKSU MOF, it is a bad precedence. Hatta ketika krisis kewangan 1998 dulu kita tidak memerlukan sumbangan dari rakyat (oklah, ketika krisis itu sudah tentu rakyat sendiri tidak berduit), tetapi hakikatnya ia tidak sampai ke tahap 'serendah' itu untuk kerajaan menerima sumbangan rakyat. (Rujuk:

e. Setelah THM diwujudkan, maka kerajaan akan bertanggungjawab pula menguruskan semua hal berkaitan dana berkenaan, keluar-masuk dana, ke mana ia dihabiskan, auditnya, dll hal berkaitan. Semua ini akan menambah tugas baru di MOF dan sudah tentu rakyat yang menderma mahu kerajaan bersikap telus dalam pengurusan dana ini. Ia juga boleh jadi satu lagi ruang untuk disalahguna pembangkang.

5. Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah memuji langkah MOF mendedahkan nilai hutang syarikat korporat (contingent liabilities, yakni Perkara 2) yang sudah tidak lagi mampu diservis oleh syarikat yang berhutang, dan akhirnya kerajaan yang perlu menservisnya. Jumlah ini ialah RM199 billion. Jika ini diambilkira dalam menentukan saiz hutang kerajaan maka jumlah hutang ini menjadi RM885 billion, dan Debt to GDP ratio 65.4% melepasi kadar selamat 55%.

6. Hal di atas inilah yang menjadi isu sekarang. Maknanya kerajaan ada tekanan dalam pengurusan kewangannya, terutamanya apabila mengambilkira RM199 billion hutang syarikat korporat ini (yg sudah sah perlu diservis kerajaan) serta pelbagai potensi bebanan kewangan dari pembatalan HSR, MRT, subsidi RON95, kehilangan cukai GST, dan segala hutang 1MDB yang sangat besar jumlahnya.

7. Soalannya, adakah dana THM ini akan digunakan untuk membantu kerajaan dalam mengurangkan tekanan kewangan seperti di poin 5 & 6 di atas? Saya tidak tahu. Dan saya rasa tidak wajar, kerana semua syarikat bermasalah menservis hutang di atas, terutamanya 1MDB itu, adalah hasil salahtadbir kerajaan terdahulu, dan kerajaan baharu bertanggungjawab memulihkan mengikut cara tersendiri tanpa menggunakan duit poket rakyat melalui THM.

8. Saya tidak rasa Council of Eminent Persons yang mencadangkan penubuhan THM. Mereka terlalu bijak dan mahir dalam hal kewangan negara untuk sampai pada sekadar cadangan tabung dana awam seperti THM ini dalam menguruskan masalah tekanan kewangan kerajaan.


9. Heboh di media sosial bahawa Korea Selatan juga pernah membuat kutipan dana awam (emas) untuk melangsaikan hutangnya. Harus diingat, dalam menangani krisis 1998 Korea Selatan telah meminjam sebanyak USD21 billion bailout package dari IMF (total pinjaman IMF+negara luar ialah USD58 billion).

10. Kegagalan membayar hutang IMF ini akan menyebabkan pengurusan ekonomi Korea Selatan boleh hilang kedaulatannya apabila ia akan dikawalselia oleh IMF. Seruan mengumpul emas rakyat Korea akhirnya berjaya melunaskan hutang IMF pada tahun 2000 dan Korea Selatan menjadi negara yang dapat pulih segera dari kesan krisis 1998, sama seperti Malaysia walaupun Malaysia tidak berhutang dengan IMF.

11. Indonesia dan Thailand turut berhutang dengan IMF dalam menguruskan negara mereka pasca krisis 1998, namun mereka mengambil masa yang lebih lama untuk pulih. Maknanya hutang dengan agensi/negara/pelabur luar agak berisiko tinggi sekiranya tidak dilangsaikan segara.

12. Sebagai kesimpulan, kita tidak berada dalam krisis kewangan/keberhutangan serius sehingga perlu menubuhkan dana awam seperti THM. Masalah 1MDB dan syarikat lain yang menekan kewangan kerajaan tidak perlu menjadi beban rakyat menyelesaikannya.

13. Jadi, saya secara peribadi TIDAK menyokong penubuhan THM. Namun saya memuji hasrat murni rakyat Malaysia mahu menyumbang kepada kerajaan. Tahniah untuk anda semua!

Nota: Oh ya, kos RM40 juta tayangan bolasepak Piala Dunia tidak berbangkit langsung kerana pulangan dari tayangan itu sudah lebih dari cukup untuk menampung kosnya. Tak perlulah isu ini dijadikan modal picisan memburukkan penubuhan THM. Gambar tin milo juga tak perlu disebarkan.

Wallahu'alam.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo