NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rohingya: Kisah terkini dari bumi Arakan - PASRelief (Bahagian 2)

Catatan Perjalanan Misi PASRelief Ke Kem Pelarian Muslim Rohingya, Cox's Bazaar, Bangladesh.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal Dhaka, kami bergegas ke pelepasan domestik kerana selang masa hanya 1 jam 40 minit dengan waktu penerbangan ke Cox's Bazaar. Pemeriksaan imigresen agak ketat di negara ini, beratur hampir sejam. Semua dokumen sempurna, sama seperti teknik melepasi imigresen dalam misi sebelumnya.



Sebaik tiba, Ustaz Mohammd Aayaz Arman, daripada At-Taawun Lil-Amal Al-Insaniah (Coorporation For Humanitarian Activities - CHA) siap menunggu. Kami terus ke penginapan untuk solat dan meletakkan bagasi. Perjalanan masuk ke kawasan pelarian dimulakan pada jam 5:00 petang waktu tempatan.


Walaupun jarak ke Thankhali hanya 30km, perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit. Pada waktu ini jalan amat sibuk dengan kenderaan dan orang ramai. Melewati Ramu, Ukhiya, Kutupalong, Balokhali dan Thankhali. Dihujung jalan mati ini adalah Teknaf, penamat semenanjung tajam, dibelah oleh Sungai Naf memisahkan Bangladesh dengan Myanmar.

Sepanjang 30 kilometer, pemandangan di kiri kanan jalan adalah manusia berstatus pelarian, tanpa status kewarganegaraan. Mereka bukan mangsa medan perang, mereka mangsa kezaliman genocide terancang, kini melarat tanpa negara. Beza mereka dengan pelarian Palestin dan Syiria ada di situ.

Merwka mengatur langkah bersama keluarga masing-masing mengandar karung guni, ada yang menghala ke depan, ada yang mengarah ke belakang.

Yang kepenatan berjalan tanpa destinasi, berhenti melabuhkan punggung dan melepas berat beban di bahu dalam kelompok yang berkhemah di kaki lima jalan, suasana bingit, suara mereka bersimpang siur. Sambil mencangkung, pandangan mereka yang tua dan uzur, terpaku pada kenderaan yang lalu lalang, penuh berharap. Selintas mata bertemu, rasa 'bersalah keinsanan' segera menikam- tajam menusuk ke takungan belas kasihan.

Yang masih mampu berdiri, menerpa ke kenderaan yang bergerak perlahan di jalan sesak itu mengetok dinding sambil menghulurkan tangan. Bersama bayi dikendongan ibu, lelaki dewasa dan kanak-kanak memaut bingkai cermin, meminta bantuan.




Terpaan itulah menjadikan laluan ini terlalu perlahan. Hon daripada deretan lori, kereta, motosikal roda tiga, dan pacuan empat roda uzur membingitkan suasana yang makin gelap dijamah malam sini.

Saya meminta pemandu berhenti supaya tidak membahayakan mereka yang bergayut, terutama bayi di kendongan ibu-ibu yang berkejaran. Dia menolak kerana faktor keselamatan, lagipun, destinasi kem pelarian baru di Thankhali masih jauh di depan.

Kami hanya mampu menyorokkan pandangan, malu dengan diri sendiri, rasa lemah diuji Allah swt untuk memandang mata dan wajah lesu wanita separuh umur, kanak-kanak, ibu muda mengendong bayi. Terpaksa memandang wanita tua dan lelaki berwajah kusam menanggung kepayahan, mengepalai keluarga menyambung nyawa di bumi asing.




Wajah-wajah saudara Muslim Rohingya itu menjengah di bingkai cermin kereta, raut lesu dimamah derita, dizalimi Myanmar laknatullah. Sambil tergamam, kami hanya mampu menyebut Ya Allah! Ya Allah! Laahawlawala quwwatailla billah, berulang ulang. Hati kamipun seperti dipalu bertalu-talu, remok dengan suasana itu. Celakalah Myanmar, celakalah Myanmar, celakalah Myanmar!

Sepanjang jalan dari Kutupalong ke Thankali dipenuhi deretan manusia, yang mundar mandir, yang berkhemah, beralas tikar maupun beralas tanah tanpa atap. Ada juga yang sedang memacak buluh-buluh pendek menjadi tiang khemah, diterangi lilin dan cahaya lampu kenderaan bertali arus.

Sambil mengedarkan kupon untuk penerima agihan pakej makanan PASRelief pada esok pagi, kami menyapa beberapa kumpulan pelarian, yang sedang berbincang sesama sendiri, sedang memasang khemah dan yang sudah lena terperosok berhimpit-himpit dalam khemah plastik setinggi empat kaki.

Anak-anak kecil terbaring berderetan, lena tanpa pakaian sempurna di ribaan, berbungkus dalam pelukan ibu maupun dialas tikar buruk. Panas siang dan sejuk malam, bahaya kenderaan yang lalu lalang mungkin terbabas, tiada dalam pertimbangan. Tiga kaki di hadapan khemah adalah jalan raya, sekaki di belakang mereka sawah padi.

Ramai ibu-ibu masih mengendong bayi sambil mengeheret tangan anak-anak mereka ke sana ke mari mencari teduhan di lokasi yang sesak. Ada yang tercari-cari jejak suami yang hilang dalam gelap malam itu, meninjau tapak untuk berlabuh. Anak mereka ramai, keluarga mereka besar. Enam hingga lapan orang anak adalah normal, semuanya memaut baju ibu melangkah mencari arah tuju.

Seorang ibu mendukung bayinya yang tidak berpakaian, mencelah ke depan saya ketika kami sedang berkomunikasi dengan sekelompok pelarian, mengadu anaknya demam, diminta saya menjamahnya. Belakang dan kepala bayinya dipenuhi bintik ruam, nampak jelas dalam suluhan flash telefon Hj Awang Salahuddin. Kepala bayinya panas garing. Hati saya segera sebu, teringat anak-anak kita dalam selimut tebal di rumah. Jika begitu keadaannya, kita sudah bergegas ke klinik. Berbelanja apa saja demi anak.

Di daerah tanpa arah ini, tidak ada apa dapat dilakukan, demam itu entah apa sudahnya. Dia meminta bantuan, saya segera menghulurkan dua lembar wang kertas yang saya tidak tahu nilainya. Dia pun berlalu, wajahnya nampak lega.

Deretan manusia yang mengandar peralatan di bahu, mengeret anak-anak dalam samar cahaya lampu kenderaan berselisih di sepanjang jalan, tidak putus-putus. Agihan kupon dibuat 400 sahaja, 50 keping lagi kami simpan untuk kecemasan waktu agihan esok.

Menulis catatan ini memang sukar. Ayat-ayat panjang menjadikan catatan ini berlarutan. Memendekkan tulisan akan menghilangkan gambaran suasana sebenar. Walaupun panjang, catatan ini tidak dapat menterjemahkan pandangan mata, rasa hati dan kebuntuan fikiran, walaupun sekadar separuh, saya catatkan jua sebagai perkongsian pengalaman.

Selebihnya saya mengharapkan Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief terus menerima sumbangan para pembaca (Maybank 5640 7061 1352). BANTULAH! MEREKANYA SEMUA SAUDARA KITA.

Berasaskan pengalaman sukarelawan daripada CHA, agihan bantuan makanan terpaksa dilakukan sebaik selesai solat subuh esok untuk mengelak soal selidik polis di check point (mereka belum mula bertugas), kesesakan jalan, terpaan pelarian yang diluar kawalan dan untuk memudahkan penerima kupon beratur, ketika yang lain masih belum hilang mengantuk. Agihan terpilih akan menimbulkan kecewa kepada yang hanya memandang tetapi tidak menerima.

Memang benar, agihan wajib dibuat di awal pagi. Walaupun dengan edaran kupon, suasana agihan amat menyayat hati.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
Bersama:
Mohd Shahir Abu Hassan
Hj Awang Salahuddin Hashim
Cox's Bazaar
Bangladesh
12 September 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo