Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kuala Kubu Baharu: Ramasamy cadang PN letak calon India, tarik sokongan orang India

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata, PN perlu meluaskan daya tarikannya melangkaui pengundi Melayu.


PETALING JAYA: Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menggesa Perikatan Nasional (PN) agar meletakkan calon berbangsa India pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Ramasamy, yang menerajui Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, PN perlu mewujudkan tanggapan positif terhadapnya dalam kalangan golongan bukan Melayu, terutamanya yang berbangsa India, untuk meluaskan tarikannya melangkaui pengundi Melayu.

“Sebelum PRK (Kuala Kubu Baharu) pada 11 Mei, pemimpin PN harus tampil untuk menangani beberapa keraguan orang bukan Melayu berhubung pembangkang.

“Mereka harus menekankan keterangkuman kaum dalam pendekatan mereka terhadap politik negara,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lepas, Ramasamy berkata, Urimai akan menasihati pengundi agar tidak menyokong calon DAP Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu ekoran rasa tidak puas hati atas layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Beliau berkata, tugas utama Urimai adalah untuk “memberikan pengajaran yang menyakitkan kepada kerajaan Madani pimpinan PH.”

Katanya, kekecewaan semakin meningkat dalam kalangan pengundi India susulan janji yang tidak ditepati dan penghinaan yang dirasakan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, PN harus menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada komuniti itu dengan meletakkan calon India untuk mewakilinya pada pilihan raya.

Katanya, perkara ini juga patut dilakukan memandangkan kaum India ialah golongan “paling kurang beruntung”.

“Langkah PN meletakkan calon India akan memberikan impak yang begitu penting terhadap politik negara secara amnya, dan masyarakat India khususnya,” katanya.

“Adakah PN bersedia merangkum politik negara dengan melibatkan diri dengan masyarakat India?”

Tambahnya, walaupun PN menikmati sokongan Melayu yang ketara, gabungan itu tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada masyarakat bukan Melayu, terutamanya disebabkan oleh ketidakpercayaan terhadap PAS dan kebimbangan mengenai ekstremisme.

“PRK Kuala Kubu Baharu memberikan peluang terbaik kepada PN untuk mendekatkan diri dengan golongan bukan Melayu, khususnya kaum India,” katanya.

DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor diwakili oleh Adun berbangsa Cina sejak 2004. Penyandang kerusi itu sepanjang tiga penggal lepas ialah Lee Kee Hiong daripada DAP, yang meninggal dunia akibat kanser baru-baru ini.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK KKB: Ini soal maruah MCA, Wee tetap pendirian tak bantu kempen

Presiden Wee Ka Siong tetap dengan pendirian untuk tidak melibatkan MCA dengan kempen PRK Kuala Kubu Baharu, sekiranya calon bertanding bukan daripada BN.


PETALING JAYA: Presiden Wee Ka Siong tetap dengan pendirian tidak akan melibatkan MCA dengan kempen PRK Kuala Kubu Baharu, yang dijangka akan mempertaruhkan calon DAP.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming, yang berharap Barisan Nasional ‘membalas jasa’ Pakatan Harapan kerana memenangkan calon Umno pada PRK Pelangai tahun lepas.

Wee menarik perhatian kepada komen Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam audio siar Keluar Sekejap pada 5 April lepas, yang dipapar berkata MCA “parti tauke” dan tidak mementingkan kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Cina.

“Amboi bukan main angkuh lagi ungkapan setiausaha agung DAP ini. Selepas seronok bantai, caci, maki hamun MCA sekarang nak suruh MCA bantu DAP berkempen? Apa kamu ingat MCA ini tak ada maruah atau tak ada perasaan ke?” katanya dalam satu video di Facebook.

Wee berkata ahli MCA terguris dengan penghinaan pemimpin DAP. “Ini soal maruah parti saya,” katanya, mengingatkan bahawa MCA telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat sejak 1949.

“Eh masa bercakap kamu tak ingat dunia, hentam MCA tak tentu arah dengan pelbagai tuduhan liar, siap maki hamun dengan penuh kebencian. Sekarang mahu MCA berjiwa besar?” katanya.

“Masa diperlukan pijak semut tak mati, bila tak diperlukan diperlaku, diludah, dikahak sesuka hati. Sudahlah.”

Wee turut mengingatkan rakan-rakannya dalam BN bahawa MCA menjadi sasaran DAP selama ini.

“Jangan lupa selama ini, parti itu hanya bertanding di kawasan-kawasan yang ditandingi MCA atas tiket BN.

“Adakah saudara masih ingat parti itu tidak berapa lama yang lalu menuduh MCA bersekongkol dengan ‘penyamun’, malah MCA pernah dianggap pengkhianat masyarakat Cina kerana tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama dan gagal memansuhkan sistem kuota Bumiputera.”

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi jatuh pada 11 Mei, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Ketika DAP bersiap sedia untuk mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu dari kemaraan Perikatan Nasional, MCA mengumumkan ia tidak akan terlibat dengan kempen jika calon bukan daripada Barisan Nasional.


Sumber | FMT Malaysia 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK KKB: DAP senarai pendek 10 calon

Calon bagi PRK KKB akan dimuktamad pada mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan malam ini, menurut Pengarah PRK PH, Ng Sze Han. (Gambar Bernama)


SHAH ALAM: Sepuluh nama calon berpotensi disenarai pendek oleh DAP, dan individu yang terpilih untuk bertanding PRK Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan diumumkan esok.

Pengarah PRK Pakatan Harapan (PH), Ng Sze Han, berkata calon yang dipilih akan dimuktamad pada mesyuarat kepimpinan tertinggi pakatan itu yang dijadualkan berlangsung malam ini.

“DAP mempunyai senarai panjang mereka yang layak bertanding dan daripada 10 individu yang disenarai pendek, terdapat calon daripada kaum Melayu selain Cina dan India.

“Malam ini, kepimpinan tertinggi akan memutuskan calon paling sesuai dan diyakini dapat menyambung legasi khidmat cemerlang mendiang Lee Kee Hiong yang menjadi wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal,” katanya pada majlis Aidilfitri anjuran media Selangor.

Mengakui setiap pilihan raya mempunyai risiko dan cabaran tersendiri, Ng berkata pemilihan calon yang betul akan memudahkan gerak kerja kempen dalam usaha mengekalkan pencapaian PH, khususnya DAP, di kerusi itu.

“PRK ini bukan kempen DAP dan PH sahaja tetapi ia pilihan raya yang menyaksikan kita berkempen atas nama kerajaan perpaduan yang turut didukung UMNO… dengan gabungan kekuatan serta pengalaman yang dimiliki, kita yakin akan mendapat sokongan daripada penduduk dan juga pengundi,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lepas iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November), dan Parlimen Kemaman (Disember).



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Mustapha ganti Sangkar ketua PKR Sabah?

Majoriti pimpinan PKR Sabah didakwa menyokong Mustapha Sakmud menggantikan Sangkar Rasam sebagai ketua negeri pada pertemuan dengan Presiden Anwar Ibrahim, Sabtu lalu.


PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka memutuskan kemelut pimpinan parti itu di Sabah dalam masa terdekat, dengan spekulasi bertiup kencang ketuanya Sangkar Rasam bakal digantikan pemimpin baharu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Yahya Mat Sahri, berkata perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan MPP pusat kelmarin, sehari selepas Anwar bermesyuarat dengan pimpinan PKR Sabah.

Namun, katanya perkara itu tidak diputuskan memandangkan kuasa untuk melantik ketua PKR negeri di tangan presiden.

“Pada perkiraan saya perubahan pucuk pimpinan di peringkat Sabah mungkin berlaku, namun ini kuasa presiden yang akan buat keputusan selepas mendengar pandangan PKR Sabah.

“Kita tunggu keputusan akan diumumkan presiden nanti,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, sumber memberitahu FMT majoriti pimpinan PKR Sabah menyokong pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud yang juga ketua PKR Kota Belud dalam pertemuan dengan Anwar.

“Ini bagi melancarkan gerak kerja sebelum masuk PRN, sekarang sukar untuk kita putuskan kerjasama kerana parti di Sabah enggan berunding dengan Sangkar,” kata pemimpin PKR Sabah enggan dinamakan itu.

Sebelum ini, Ketua Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew yang juga daripada PKR turut menyokong Mustapha dilantik menggantikan Sangkar.

Baru-baru ini, 15 daripada 26 ketua bahagian diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar berundur secara terhormat atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.

Sazalye dilaporkan berkata, mereka menyuarakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui akuan berkanun.

Sangkar kemudian menolak gesaan meletak jawatan dengan berkata, kritikan terhadap kepimpinannya menjejaskan gerak kerja parti menjelang PRN dan menggesa ahli tidak membuang masa kerana pergolakan dalaman PKR Sabah bukan julung kali berlaku.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tiba masa UMNO kerja dan balas budi DAP



GERIK — DAP berharap UMNO dapat bekerja keras untuk membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, langkah itu boleh dianggap sebagai membalas jasa Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang memenangkan calon UMNO sewaktu PRK DUN Pelangai, di Pahang pada Oktober tahun lalu.

Katanya, DAP berhempas-pulas menjalankan kempen di kawasan pengundi Cina agar memilih calon UMNO dan hasilnya BN meraih 98 peratus undi Cina, rekod yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Justeru diharapkan budi dan semangat yang sama dapat ditonjolkan pada PRK Kuala Kubu Bharu nanti iaitu agar BN khususnya UMNO dapat melakukan perkara serupa berikutan calon pada PRK itu nanti dari DAP.

“Sekiranya semangat ini kita sudah tonjolkan di Pelangai maka ia dapat ditunjukkan juga di Kuala Kubu Bharu. Sebagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO sehingga menang, UMNO juga akan buat yang sama, iaitu buat baik untuk balas budi,” kata Ketua Whip Parlimen DAP itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, di sini, hari ini sempena lawatan kerjanya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP, berkata pihaknya berterima kasih susulan komitmen tidak berbelah bagi yang diberikan oleh Presiden serta Timbalan Presiden UMNO menyeru agar parti komponen BN perlu membantu calon dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei nanti.

Katanya, begitu juga dengan MIC yang semalam dilapor turut menyatakan komitmen serupa untuk berkempen bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK 11 Mei nanti.

“MIC sudah berikan komitmen untuk berkempen yang mana ini sudah disahkan oleh Perdana Menteri semalam apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menelefon beliau dan memberikan akujanji MIC untuk turun berkempen mewakili kerajaan perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai tindakan MIC dan MCA yang dikatakan tidak turun berkempen pada PRK itu sekiranya kerusi berkenaan tidak ditandingi calon dari parti komponen BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

— BebasNews






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

UMNO mungkin bagi laluan kepada calon DAP, PN ada peluang rampas KKB, kata Harumaini



KUALA LUMPUR – Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk mencipta sejarah menumbangkan calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu boleh direalisasikan jika wujud satu gabungan blok mega antara semua parti pembangkang.

Ketua Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Selangor, Harumaini Omar berkata, jika PN tidak bersifat inklusif dan hanya tertumpu kepada kelompok sedia ada, peluang kemenangan mungkin tidak kesampaian.

“PN memberikan bayangan mampu meletakkan calon untuk memenangi PRK DUN Kuala Kubu Bharu walaupun prestasi mereka di Selangor tidak setanding kemenangan bergaya di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dalam PRN15.

“PN mungkin boleh mengambil ibrah daripada sejarah PH hanya berjaya membentuk kerajaan selepas melalui fasa evolusi blok parti.

“Daripada Barisan Alternatif (BA) kepada Pakatan Rakyat (PR) dan kemudiannya kepada PH dan seterusnya dengan gabungan bersama BN,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Dalam PRN15 pada Ogos tahun lepas, PN menang dua dari tiga kerusi dalam Parlimen Hulu Selangor, masing-masing DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Kuala Kubu Bharu merupakan satu-satunya kerusi dimenangi PH di bawah Parlimen Hulu Selangor setelah penyandangnya mendiang Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi itu selama tiga penggal.

Harumaini berkata, UMNO berkemungkinan besar memberikan laluan mudah kepada DAP untuk meletakkan calon bagi mewakili gandingan PH-BN meskipun 46 peratus pengundi berdaftar di DUN Kuala Kubu Bharu adalah Melayu.

“Susulan pengumuman PRK yang akan berlangsung tidak lama lagi, tiba-tiba Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.21 juta bagi menambah baik infrastruktur awam demi kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

“Dengan kekuatan luar biasa gabungan jentera PH-BN dan peruntukan dana yang besar pada ketika PH-BN menerajui Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, tidak mustahil PH-BN menang selesa di dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu dengan calon daripada DAP,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK KKB: AMK tekad dekati belia



KUALA KUBU BHARU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memastikan jentera akar umbi di DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) berada di tahap yang baik untuk Pilihanraya Kecil (PRK) akan datang.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, AMK akan berkampung di beberapa kawasan sepanjang tempoh kempen dan memberi fokus untuk mendekati golongan belia.

“Seperti pilihanraya sebelumnya, kempen kali ini akan digerakkan sendiri oleh sayap pemuda tanpa bergantung kepada jentera kerajaan.

“Kami turut memanggil jentera sokongan dari seluruh negara untuk turun membantu dalam kempen PRK KKB ini.

“Dengan kekuatan akar umbi yang telah bersedia, kami yakin dapat mengekalkan kemenangan di DUN KKB,” katanya.

AMK juga akan menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja penerangan seperti pembangunan dan isu setempat selain menyentuh soal perpaduan masyarakat, kepesatan ekonomi dan inisiatif Kerajaan Madani untuk menangkal segala propaganda pembangkang.

“Kami yakin golongan belia di sini mampu menjadi kelompok generasi yang rasional, berpengetahuan, demokratik dan matang dalam mendepani suasana politik yang semakin runcing.

“Aspek kesederhanaan adalah elemen penting untuk kita mendepani semua isu yang berbangkit untuk kita tangani dengan cermai, harmoni selain melatari semangat perpaduan yang sama,” jelasnya lagi.

Menjelang PRK itu, Ketua AMK Negeri Selangor, Izuan Kassim telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.06 KKB dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berlangsung pada 20 April lalu. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

MIPP sertai gabungan PN



KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penerimaan masuk Parti Rakyat India Malaysia atau Malaysian Indian People’s Party (MIPP) sebagai parti anggota yang baharu semalam, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“PN amat berbesar hati untuk mengumumkan penerimaan masuk Parti Rakyat India Malaysia atau Malaysian Indian People’s Party (MIPP) sebagai parti anggota yang baharu bagi mengukuhkan lagi Parti Perikatan Nasional sebagai wadah perjuangan untuk segenap lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada 22 April 2024 yang dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan hal berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu dan isu-isu semasa.

“Mesyuarat juga telah membincangkan persiapan bagi berdepan dengan PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan mengarahkan jentera pilihan raya digerakkan sepenuhnya dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi di Kuala Kubu Bharu khususnya.

“PN akan terus konsisten menjadi suara yang menjuarai nasib rakyat dan membela ketidakpuasan hati rakyat terhadap prestasi Kerajaan Persekutuan yang semakin mengecewakan,” kata Hamzah. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo