KUALA LUMPUR: Harga murah, urusan jual beli mudah dan terdesak membina rumah idaman antara faktor mendorong ramai orang terjebak dalam urus niaga membeli lot lidi.
Malah, ada ejen hartanah yang menggunakan istilah 'lot banglo' gantikan lot lidi bagi menarik pelanggan.
Ada individu yang sanggup membuat pinjaman peribadi untuk membeli lot lidi sedangkan tanah dibeli bukan hak milik sendiri, malah geran pun tidak kelihatan kerana disimpan pihak lain dipercayai ada kaitan dengan pemilik tanah induk.
Pembeli lot lidi tidak memperoleh geran individu sebaliknya nama mereka cuma dimasukkan dalam senarai pemegang amanah 'master title' (geran asal) serta dicatatkan jumlah bahagian.
Pelabur hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad, pernah menguruskan 'suka-duka' dihadapi pelanggan yang berdepan kesukaran menjual kediaman atas lot lidi.
Beliau berkata kewujudan lot lidi kerana pemilik tanah cenderung menghasilkan keuntungan segera, dengan membuat pecahan lot di atas sebidang tanah dan dijual.
Minta wang tambahan
Katanya, ada kes di mana pemilik tanah induk meminta wang tambahan daripada pembeli konon untuk menguruskan status tanah berkenaan.
"Lot lidi adalah istilah yang digunakan oleh orang awam atau tuan tanah untuk jual lot banglo dan banyak berlaku pada tanah rizab Melayu.
"Walaupun pemilik tanah upah juruukur untuk buat pecahan lot di atas tanahnya, kebiasaannya dia tidak memohon Kebenaran Merancang (DO) kepada pihak berkuasa tempatan. Adakalanya juga dia tak upah pun dan semberono bahagikan tanah ikut suka," katanya.
Berbekalkan lot yang sudah dibahagikan itu, mereka memasang iklan tepi jalan, di kampung dan lampu isyarat - 'Tanah murah, rizab Melayu RM70,000 satu lot, lot banglo murah hanya RM80,000'.
Azizul Azli yang juga seorang Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, penjualan bangunan dan tanah lot lidi amat sukar kerana ia memerlukan salinan geran untuk berbuat demikian.
"Apabila meminta salinan geran berkenaan, jawapan diterima daripada individu itu adalah dokumen itu ada pada peguam.
"Itu belum masuk mereka (pemilik tanah induk) minta wang lagi mencecah puluhan ribu ringgit untuk tukar status tanah dan bermacam-macam lagi," katanya.
Peguam, Mahmud Abdul Jumaat menyifatkan isu membabitkan lot lidi di negara ini semakin meluas kerana masih ramai yang tidak arif mengenai undang-undang berkaitan.
Beliau berkata apabila harga yang ditawarkan murah, ia mengaburi mata pembeli tanpa melihat risiko yang bakal dihadapi
"Biasanya lot lidi ialah lot yang bersyarat pertanian. Maka seseorang tidak boleh membina rumah secara sah di atas tanah lot itu.
"Pembeli yang membina rumah di atas lot yang berstatus pertanian boleh dikenakan denda atau tanah boleh dirampas. Selain itu, memandangkan nama pembeli tiada dalam geran, maka proses jual beli tidak boleh berlaku secara sah," ujarnya.
No comments
Post a Comment