BUKIT MERTAJAM: “Steven Koh ini nampak dia boleh menyumbang bakti kepada masyarakat di sini,” kata Abdul Rahim Mat Latip, 59, pengundi Parlimen Bukit Mertajam.
Harapannya jika calon PERIKATAN NASIONAL Steven Koh menang pada 19 November nanti dapat memperjuangkan nasib golongan nelayan sepertinya.
“Kalau Steven Koh menang, moga-moga dia boleh bantu permudahkan urusan permohonan lesen nelayan. Surat semua sudah hantar ke pejabat permohonan, tapi belum dapat apa-apa makluman,” ujarnya lagi yang ditemui Harakahdaily di kediamannya dekat Kota Permai.
Menurutnya, permohonan lesen nelayan sering dijadikan modal politik oleh pihak tertentu setiap kali menjelang musim pilihan raya.
Albert, 68, berkata masyarakat Cina secara amnya menolak pemimpin dan parti yang terlibat kes rasuah dan penyelewengan.
“Kali ini kita orang Cina tidak mahu orang rasuah. Rasuah kita tak mau,” komennya ringkas ketika turun menyokong kempen Steven Koh di Taman Keenways dekat sini.
Mohd Faiz Abdul Manap, 36, pula berkata penyandang Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim (DAP) hanya mendekati penduduk kampung cuma di musim pilihan raya.
Kata Mohd Faiz, Steven Sim yang memenangi pilihan raya dua kali berturut-turut jarang berada di kawasan Parlimennya menyebabkan rakyat sukar menemuinya untuk menyelesaikan isu yang dihadapi mereka.
“Bila pemimpin jarang ada di tempat sendiri, bila dah menang asyik naik KL, KL… jadi orang di sini susah nak jumpa dia. Kena tunggu dia balik sini satu dua minggu lagi,” luah Mohd Faiz.
Dia turut terkilan apabila anak muda seperti dipinggirkan apabila golongan ini masih berdepan isu kesukaran untuk memiliki rumah dan kemudahan lain seperti tempat untuk bersukan.
“Rumah mahal, hanya mampu tengok. Walaupun peluang pekerjaan banyak, tapi tak sepadan dengan ekonomi sekarang. Harga rumah asyik naik, gaji tak naik.
“Lagi satu dapat peruntukan pun tak bagitahu berapa untuk tahunan, kita dengar ada peruntukan tapi tak sampai pun kepada rakyat. Peruntukan itu dia guna untuk lain selalunya macam itu lah,” katanya di Taman Keenways dekat sini.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Bukit Mertajam Azmi Jamri berpendapat walaupun Bukit Mertajam membangun namun anak tempatan hanya mampu menyewa rumah daripada memilikinya.
“Ada sebuah projek pembinaan rumah pangsa yang sedang dibina dekat sini berharga RM45,000 seunit, tapi ia tetap tidak mampu menampung jumlah anak tempatan yang masih belum miliki rumah,” katanya yang ditemui di Taman Alma Jaya.
Menurutnya lagi, selain itu kawasan penempatan orang Melayu di kampung-kampung seolah disisihkan daripada kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
“Struktur jalan di kampung ini bagilah seimbang, kalau di taman (perumahan) minta jalan baru, sekejap je dapat tapi di kampung-kampung susah nak dapat.
“Bila selidik selidik kenapa kampung Melayu susah sangat nak dapat, rupanya bukan pengundi mereka,” kata Azmi.
Untuk makluman, setelah sekian lama, PAS memilih bertanding di Parlimen Bukit Mertajam dalam pilihan raya umum ke15 dengan mencalonkan Steven Koh (PAS-DHPP) atas tiket PERIKATAN NASIONAL.
Steven Koh dan calon Ah Pang (BN) mencabar penyandang Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang telah memenangi dua kali pilihan raya berturut-turut di kerusi yang disifatkan kubu kuat DAP. – HARAKAHDAILY 16/11/2022
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment