Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan bahawa dia dan barisan pemainnya langsung tidak mengetahui tindakan berkenaan. - Fail/Stadium Astro
GREGG BERHALTER memohon maaf atas tindakan 'US Soccer'di media sosial yang menyiarkan bendera Iran diubah pada saingan Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.
Begitupun, ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan bahawa dia dan barisan pemainnya langsung tidak mengetahui tindakan berkenaan.
Pertemuan Kumpulan B, Piala Dunia 2022 di antara kedua-dua pasukan yang dipengaruhi pergeseran politik itu bertambah tegang atas tindakan US Soccer dan bahang perlawanan sudah boleh terasa dalam sidang akhbar pra-perlawanan awal pagi tadi.
Berhalter berusaha untuk mengetepikan soalan seperti itu daripada dibangkitkan dengan berkata: "Apabila saya memikirkan tentang perlawanan ini, saya tahu banyak unsur lain yang mempengaruhinya.
"Bagi kami, ia adalah sebuah perlawanan bola sepak menentang pasukan yang bagus. Ia tidak lebih daripada itu.
"Ini membabitkan aksi kalah mati, kedua-dua pasukan terdesak untuk ke pusingan seterusnya. Begitulah kami melihat perlawanan ini."
Tetapi penjelasannya itu tidak sedikit pun dapat memadamkan bahang perseteruan kedua-duanya berikutan ciapan di Twitter semalam.
US Soccer memuat naik bendera Iran yang disunting tanpa lambang Republik Islam -- Tauhid -- sebagai langkah menyokong penunjuk perasaan di negara itu, di mana terdapat pergolakan sejak kematian Mahsa Amini pada September lalu -- seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditangkap kerana enggan memakai tudung.
Ciapan itu mencetuskan kemarahan di Iran termasuk media negara berkenaan, Tasnim, yang menggesa AS disingkirkan daripada Piala Dunia.
Pemain AS, Tyler Adams, turut mengundang perhatian apabila perlu diperbetulkan sebutan negara Iran di sebalik mnengatakan pasukan AS sentiasa menyokong rakyat Iran dan pasukan Iran.
Berhalter melanjutkan penjelasannya: "Kami tidak tahu apa yang US Soccer ciapkan, kakitangan kejurulatihan dan pemain tidak tahu. Fokus kami adalah kepada perlawanan ini.
“Saya bukanlah ingin bertindak tidak sopan mahupun seolah-olah tidak mengambil pusing dalam soal ini, tetapi pasukan ini telah bekerja keras sejak empat tahun lalu.
“Kami mempunyai 72 jam (untuk persediaan) menghadapi England dan kami sebenarnya hanya fokus kepada cara untuk membawa AS mara ke peringkat kalah mati kejohanan ini.
"Sudah tentu kami juga mengenangkan rakyat Iran, seluruh negara, seluruh pasukan, semua orang tetapi tumpuan kami adalah untuk perlawanan ini."
Apabila Berhalter diasak lagi mengenai ciapan itu, dia berkata: "Saya hanya boleh mengulangi bahawa pemain dan kakitangan tidak tahu apa-apa mengenai apa yang disiarkan. Kadang-kadang perkara seperti ini di luar kawalan kami.
“Kami percaya keputusan perlawanan ini bergantung kepada siapa yang lebih berusaha keras, siapa yang melakukan lebih baik di atas padang, bukannya apa yang berlaku di luar.
"Kami hanya boleh memohon maaf bagi pihak pemain dan kakitangan. Ia bukan sesuatu yang kami ingin terjebak." -- Stadium Astro
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment