PETALING JAYA: Kumpulan “dwipartisan” yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hanya akan menjadi “ancaman sebenar” kepada PAS di Kelantan, jika ia mendapat sokongan Umno, kata penganalisis.
“Jika ia hanya Tengku Razaleigh sendiri, maka PAS tidak perlu terlalu risau,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengenai pembentukan sebuah kumpulan dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan.
Beliau berkata, jika Umno bekerjasama dengan kumpulan itu, ia mempunyai peluang lebih baik untuk menjatuhkan PAS berbanding ia berusaha sendiri.
“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar di Kelantan. Jadi, jika beliau boleh meyakinkan Umno untuk bekerjasama dengan Amanah hanya di Kelantan, maka kumpulan ini akan menjadi sangat berpengaruh bukan hanya dalam masyarakat sivil, tetapi dari segi politik juga,” katanya.
Khamis lalu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, dilaporkan akan memimpin kumpulan itu. Ia terbuka bukan hanya kepada parti politik, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO). Ini menyusul pertemuan Tengku Razaleigh dengan pemimpin Amanah Kelantan selepas majlis berbuka puasa baru-baru ini.
James Chin dari University of Tasmania pula kurang optimis mengenai peluang kumpulan itu menyingkirkan PAS di Kelantan dan menyifatkan ia hanya “platform untuk Tengku Razaleigh mendapatkan semula pengaruhnya”.
“Walaupun beliau kekal berpengaruh di Gua Musang, beliau telah hilang sebahagian besar pengaruhnya di Kelantan secara keseluruhannya. Kebanyakan orang menganggap zamannya sudah berlalu,” katanya kepada FMT.
“Saya tidak nampak sesiapa yang menumbangkan PAS, tetapi jika ia akan ditumbangkan, ia perlu dilakukan Umno dan bukan orang lain.”
Beliau berkata, Umno bagaimanapun tidak dapat menarik perhatian pengundi Kelantan kerana ia tidak mempunyai “calon yang tepat”.
“Umno sentiasa mempunyai masalah mencari calon atau pemimpin sesuai untuk menarik perhatian rakyat Kelantan,” katanya sambil menambah budaya politik Kelantan berbeza dengan negeri lain.
Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi pandangan sama dengan berkata, sebarang gabungan baharu yang dibentuk tidak mampu mencetuskan gelombang dalam landskap politik Kelantan pada pilihan raya umum ke-15.
Katanya, Amanah sebagai kumpulan serpihan PAS, perjalanannya masih jauh untuk mendapatkan sokongan rakyat Kelantan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment