KOTA KINABALU: Pembukaan semula Parlimen dalam tempoh darurat adalah peluang bagi membuktikan dan mengembalikan kekuatannya sebagai medan suara rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut Presiden Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ia satu keperluan apatah lagi ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan, khususnya penularan wabak COVID-19 serta keadaan ekonomi negara yang semakin terjejas.
"Hentikanlah segala pergesaran ideologi politik dan perebutan kuasa bagi mencari jalan keluar dari segala kemelut yang dihadapi ketika ini tanpa mengherat rakyat yang sekian lama terbeban dengan setuasi yang melanda negara ketika ini," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.
“Keputusan ini membuktikan Tuanku mengutamakan prinsip keluruhan Perlembagaan dan ini selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat dan Negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan menyeru agar ahli Parlimen, sama ada dari pihak Kerajaan mahupun Pembangkang, mengambil peluang ini untuk kembali bersidang.
“Bahaskanlah secara serius serta objektif untuk mencari jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini," katanya.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berharap demokrasi berparlimen negara akan terus matang dan rakyat akan mendapat manfaat yang sewajarnya.
https://www.astroawani.com/berita-politik/bn-sabah-sambut-baik-titah-ydpa-benarkan-parlimen-bersidang-semasa-darurat-303562
https://www.astroawani.com/berita-politik/bn-sabah-sambut-baik-titah-ydpa-benarkan-parlimen-bersidang-semasa-darurat-303562
No comments
Post a Comment