NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ladang Suria Laut Sebagai Alternatif Baru Singapura



Kebiasaannya, ladang suria ditempatkan di kawasan tanah yang luas dan mendapat pancaran cahaya matahari yang baik.

Atau jika di kawasan bandar, ia akan diletakkan di bumbung bangunan atau rumah dengan tujuan menjana tenaga elektrik.

Namun di Singapura, lantaran negara kota kecil itu tidak mempunyai ruang tanah yang luas untuk ladang suria mereka, maka laut menjadi pilihan.

Singapura sudah memasang 13,000 panel suria yang dipasak pada dasar laut di kawasan perairan Selat Johor yang memisahkan Malaysia dengan Singapura.

Ladang suria ini berupaya menjana elektrik sebanyak lima megawatt, cukup untuk membekalkan elektrik kepada 1,400 buah unit rumah pangsa selama setahun.


Selain ladang suria di kawasan pesisir Selat Johor, Singapura turut membangunkan ladang sama di kawasan Takungan Air Tengeh.

Apabila projek tersebut siap akhir tahun ini, ia bakal menjadi ladang suria terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan sebesar 45 buah padang bola sepak dan mempunyai 122,000 panel suria.

Projek tersebut dijangka memenuhi permintaan tenaga untuk loji-loji rawatan air negara itu.

Walaupun dianggap sebagai negara terkecil di dunia, Singapura turut mempunyai reputasi sebagai pengeluar karbon per kapita terbesar di Asia.

Dengan isu perubahan iklim semakin kritikal dari tahun ke tahun, negara itu sedar ia harus membuat perubahan segera. Hal ini demikian kerana perubahan iklim membawa kepada pertambahan paras air laut sekaligus mengancam kedudukan Singapura.

Tidak mahu lagi dilabel sebagai pengeluar karbon terbesar Asia, Singapura melancarkan pelan kelestarian yang meliputi semua peringkat.

Ianya termasuk menanam lebih banyak pokok, mengurangkan jumlah sisa buangan yang dihantar ke tempat-tempat pelupusan dan membina lebih banyak stesen pengecasan bagi menggalakkan penggunaan kereta elektrik.

Singapura juga berharap dapat meningkatkan penggunaan tenaga suria kepada dua peratus pada 2025 dan tiga peratus pada 2030.

Bagaimanapun, idea ladang solar di kawasan perairan sudah mengundang kebimbangan tentang ketiadaan ruang.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Tenaga (ERI) dari Universiti Teknologi Nanyang Subhod Mhaisalkar mengingatkan kerajaan negara itu agar tidak terlalu gelojoh mengejar sasaran polisi kelestarian mereka.

Ianya kerana ladang-ladang sebegini boleh saja menjejaskan lokasi Singapura sebagai antara pelabuhan penting di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, ada yang merasakan sasaran yang ditetapkan Singapura sebagai tidak mencukupi.

Red Constantino dari Institut Iklim dan Kelestarian Bandaraya yang berpangkalan di Manila menyifatkan sasaran kelestarian Singapura perlu ditambah secara signifikan.

Dengan peratusan sasaran yang lebih besar, ini menunjukkan kepada semua pihak termasuk komuniti perniagaan bahawa isu kelestarian alam ialah isu yang bakal mempengaruhi kemakmuran ekonomi negara itu secara menyeluruh.

https://theoutlook.asia/ladang-suria-laut-sebagai-alternatif-baru-singapura


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo