KUALA LUMPUR: Pembaca berita popular RTM dan pelakon, Wan Chik Daud, 80, menghembuskan nafas terakhir akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk kanser payu dara di kediamannya di Lembah Keramat, di sini, jam 10 pagi tadi.
Selain penyakit kanser payu dara tahap empat, balu kepada Allahyarham M Rajoli itu turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lumpuh.
Berita pemergiannya disahkan pembantunya, Fauziah Abd Rahman kepada BH Online.
Fauziah berkata, Wan Chik meninggal dunia atas pangkuannya, pagi ini.
"Hanya kami berdua berada dalam rumah. Sudah menjadi rutin saya akan menyiapkan arwah dan memberinya susu serta makan, setiap pagi.
"Bagaimanapun, saya melihat keadaannya agak berlainan. Arwah hanya merenung jauh dan nafasnya berbunyi lain macam.
"Melihatkan perubahannya, saya terus mengajarnya mengucap. Bagaimanapun, nafasnya terhenti tidak lama kemudian. Saya segera memanggil jiran dan menghubungi ambulans.
"Arwah disahkan sudah tiada oleh pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan," katanya kepada BH Online.
Dalam Kenangan...Allahyarham Wan Chik Daud bersama suaminya, Allahyarham M Rajoli yang meninggal dunia pada 2010. |
Dua tahun lalu, Allahyarham dilaporkan mengalami serangan angin ahmar ringan selepas pemergian Allahyarham M Rajoli pada 2010.
Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata. Dua daripadanya menetap di Amerika Syarikat dan Singapura, manakala dua lagi di Kuala Lumpur.
Wan Chik pernah berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Do Re Mi ketika zaman kegemilangan Studio Merdeka di Kuala Lumpur.
Selepas itu, arwah meneruskan kerjaya bersama RTM hingga bersara.
Ketika ini, jenazahnya Allahyarham masih berada rumah dan dijangka dikebumikan, petang ini. - BH
No comments
Post a Comment