TASEK GELUGOR, 16 Ogos -- Sungai Perai yang dahulunya terkenal dengan sungai yang tercemar akibat menjadi lokasi tumpuan pembuangan sisa toksik daripada individu dan industri kilang yang tidak bertanggungjawab, kini telah dibangunkan sebagai antara lokasi agropelancongan di Pulau Pinang.
Menerusi projek 'Agrotourism Tasek Gelugor', pengunjung berpeluang menikmati pengalaman menyusuri Sungai Perai di samping melihat sendiri rutin harian penduduk kampung di sepanjang sungai berkenaan dalam mencari rezeki seperti nelayan, pesawah, petani, penternak dan peniaga.
Menurut bekas Pengerusi Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Pulau Pinang, Fauzi Yakob projek itu telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan kini diusahakan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Labuh Banting, Kampung Air Itam Dalam dan Kampung Pengkalan Machang.
"Pengunjung akan didedahkan dengan spesies tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing sungai yang terbahagi kepada tiga zon iaitu zon pokok nipah, zon pokok putat dan zon pokok ketapang.
“Pengunjung juga melihat sendiri cara nelayan menangkap ikan dan udang, merasai sendiri proses pengambilan susu kambing, belajar membuat kuih tradisional serta mendengar pengkisahan sejarah dan asal-usul tempat ini," katanya kepada Bernama.
Bernama mengikuti program 'Volunsharing: Agro Tourism & River Cruise Info Sharing' di Seberang Perai anjuran Pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Wilayah Utara (TMWU) dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Perda baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda Mohd Asri Baharum berkata sejak tahun 2018, pihaknya telah mengenal pasti Sungai Perai dan kawasan kampung di sekitar sungai berkenaan yang berpotensi menjadi pusat tarikan agropelancongan dan pelancongan pendidikan.
Katanya, pihaknya membantu penduduk kampung dengan menubuhkan tiga koperasi utama untuk mereka menjalankan program iaitu Koperasi Nelayan Sungai Labuh Banting Pulau Pinang Berhad, Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Itam Seberang Perai Berhad dan Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang Seberang Perai Berhad.
“Kami sudah memberikan kursus kepada ahli koperasi untuk mengendalikan pelancong yang menyertai 'Agrotourism Tasek Gelugor' ini. Para nelayan yang menyertai koperasi telah mengikuti kursus jurumudi dan mempunyai lesen jurumudi pelancong supaya mereka lebih didedahkan kepada aspek keselamatan, pematuhan prosedur yang perlu dipatuhi dan sebagainya,” katanya.
Tambah Mohd Asri, usaha itu sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat yang majoritinya tergolong dalam kumpulan B40 di samping dapat membangunkan projek itu sebagai pusat kajian dan pendidikan dalam bidang ekologi, agrikultur dan akuakultur.
Jurumudi bot pelancong, Romizal Ilias, 40, berkata setakat ini sambutan yang diterima adalah menggalakkan namun memerlukan bantuan dari segi promosi terutamanya selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan sumber pendapatan penduduk kampung.
“Dalam projek ini, kami (nelayan) dilatih dan diberi lesen untuk mengendalikan para pelancong dalam river cruise (menyusuri sungai), kemudian pelancong akan dibawa ke jeti-jeti terpilih yang peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) mempromosikan produk mereka.
“Sekiranya pengunjung ingin bermalam, ada juga orang kampung yang menyediakan perkhidmatan rumah inap desa berlesen supaya pengunjung dapat merasai pengalaman hidup di kampung,” katanya.
-- BERNAMA
Sumber : https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1870744
#AgroPelancongan
#AgrotourismTasekGelugor
#SungaiPerai
No comments
Post a Comment