BANGI, 3 Rejab 1440H, Ahad – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman berkata, perbuatan segelintir pihak yang mencemari perhimpunan Women's March di ibu negara semalam, dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai mencabar agama Islam dan undang-undang negara.
Katanya, jelas gaya hidup tersebut tidak diterima di negara ini, namun masih ada pihak yang berdegil dan memperjuangkannya.
"Dulu kita adakan kempen-kempen dengan tujuan bertolak ansur dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan, tetapi mereka masih tidak terima malah kini mencabar kita," katanya.
"Saya berharap ada tindakan yang dapat diambil dan jika mereka masih terus mencabar, maka tindakan undang-undang perlu dikenakan," katanya yang hadir dalam Forum Pemuda Al-Fateh bersama Mufti di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, pada masa sama usaha akan terus diadakan untuk memberi dakwah kepada golongan itu dan menerima mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan dengan tangan terbuka.
Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Utama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor yang turut hadir bersama berkata, Islam telah menetapkan hak masing-masing.
"Jika kita ikut acuan yang diajar oleh Islam, maka semua orang ada hak mereka sendiri dengan adil," katanya.
Semalam beberapa badan kerajaan termasuk Women's Aid Organization dan Sisters In Islam mengadakan Women's March bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia di ibu negara, namun perarakan itu dicemari dengan penglibatan komuniti LGBT yang turut melaungkan, "jangan kacau LGBT" dan "hidup LGBT".
Selain itu, pihak polis pula berkata, perhimpunan yang dihadiri lebih 300 orang itu tidak mempunyai permit dan pihak penganjurnya akan dipanggil untuk diambil keterangan. – Bernama
No comments
Post a Comment