KUALA LUMPUR – Lagu 'Malaysia Berjaya' tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga apabila memerhati situasi dan kemelut politik yang berlaku mengenai pelantikan Ketua Menteri Sabah dan yang terbaru Menteri Besar Perlis.
Manakan tidak, lirik lagu itu ada menyebut `Dari Perlis sampailah ke Sabah kita sudah merdeka' adalah bait-bait yang penting, membabitkan kedua-dua buah negeri yang satunya popular dengan nama `Negeri di Bawah Bayu' dan satu lagi 'Indera Kayangan' yang popular dengan mangga spesis Harum Manisnya.
Bak kata pepatah Inggeris saiz adalah tidak penting sangat tepat dengan situasi yang berlaku dengan Perlis, sebuah negeri kecil yang hanya mempunyai tiga kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN), kini berdepan krisis besar dalam pelantikan menteri besar.
Persoalan mula timbul apabila 12 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), di mana semua negeri sudah melantik menteri besar dan ketua menteri masing-masing malah barisan exco kerajaan negeri pun sudah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan dan Yang di-Pertua Negeri masing-masing, namun Perlis dilihat masih belum dapat menyelesaikan pelantikan jawatan utama berkenaan.
Pada 12 Mei, selepas tiga hari PRU14 selesai, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis,Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, adik kandung beliau sendiri, dicadangkan sebagai menteri besar yang baharu dan upacara mengangkat sumpah akan ditentukan oleh pihak Istana.
Bagaimanapun, seakan-akan tidak bersetuju, keesokan harinya pada satu majlis rasmi di Kangar, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menegaskan bahawa pelantikan menteri besar akan dibuat berpandukan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan tidak akan dibuat untuk memenuhi kepentingan seseorang individu atau puak tertentu.
"Keputusan yang akan saya buat nanti adalah atas nama rakyat," titah baginda pada majlis berkenaan yang sedar bahawa rakyat dalam kegelisahan kerana jawatan ketua eskekutif negeri itu masih belum dipenuhi.
Akhirnya, hari ini, Datuk Seri Azlan Man, ADUN kawasan Bintong, dilantik semula sebagai menteri besar dan berlangsung majlis mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin, selepas 15 hari rakyat tertunggu-tunggu hari yang bersejarah berkenaan memberi gambaran krisis sudah berakhir.
Tetapi persoalan besar timbul kembali apabila sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis itu, lantas menerbitkan kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin walaupun jemputan sudah dibuat dua hari sebelumnya dan mereka dikhabarkan ke Kuala Lumpur untuk bertemu Shahidan.
Shahidan pada sebelah petangnya kemudian membuat sidang media di Kuala Lumpur dihadiri kesemua sembilan ADUN tersebut untuk menyatakan bantahan atas pelantikan Azlan bagi penggal kedua.
Sambil menyatakan Azlan tidak sepatutnya memegang jawatan itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti, Shahidan dalam sidang media itu berkata beliau dan ADUN lain meminta diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Perlis yang didakwa menunggu perkhidmatan mereka.
Dalam sidang media yang menyaksikan Shahidan bertalu-talu ditanyakan soalan daripada wartawan, beliau turut merayu kepada Tuanku Syed Sirajuddin agar tidak campur tangan dalam pelantikan menteri besar.
Tuanku Syed Sirajuddin dalam titahnya hari ini juga selepas majlis berkenaan menzahirkan rasa dukacita dengan keadaan politik di negeri itu.
Titah baginda, sehingga semalam, baginda mempunyai dua nama dalam senarai pendek untuk dilantik menteri besar iaitu Azlan dan adik Shahidan, iaitu Datuk Ismail Kassim.
Namun baginda bimbang untuk memilih Ismail kerana baginda tidak mahu memilih menteri besar yang menjadi boneka dan dikawal oleh 'kuasa luar'.
Baginda bertitah individu yang dilantik sebagai menteri besar bersumpah menyimpan rahsia-rahsia dan jika Ismail dilantik sebagai menteri besar, beliau akan membocorkan rahsia itu kepada abangnya Shahidan.
Pemberita di Kangar bersiap sedia menemui Azlan, bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pernah berkhidmat di Wisma Putra sebelum bertanding kali pertama pada PRU13 lepas, namun hampa kerana tidak ada kenyataan yang mahu dikeluarkannya hari ini berikutan perkembangan terbaru itu.
Sebenarnya, kemelut pembentukan kerajaan negeri di Perlis bukan kali pertama berlaku. Pada 2008, Shahidan, yang merupakan ADUN bagi Tambun Tulang untuk penggal keempat, telah menemui Tuanku Syed Sirajuddin berhubung pelantikan menteri besar.
Difahamkan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya menghantar surat cadangan, bukannya surat tauliah bagi melantik Shahidan.
Bagaimanapun, majlis angkat sumpah pada 17 Mac 2008 menyaksikan Datuk Dr Md Isa Sabu, yang didakwa dari `kem' Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, pemimpin kanan UMNO Perlis, akhirnya dipilih menerajui negeri itu, menyebabkan Shahidan serta para penyokongnya tidak berpuas hati.
Kini kemelut itu kembali selepas PRU14.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, yang mengulas isu berkenaan, berkata pelantikan Azlan sah di sisi undang-undang kerana Raja Perlis telah beri perkenan untuk melantik beliau sebagai menteri besar dan beliau telahpun mengangkat sumpah.
"Pelantikan (menteri besar) adalah hak Raja dan Tuanku dah buat keputusan untuk perkenan lantikan Azlan. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, mereka perlu buktikan Azlan tidak ada sokongan melalui undi tidak percaya," katanya.
Pada PRU14 , 9 Mei lalu, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Semoga pengakhiran pemilihan anggota pentadbiran negeri itu berakhir dan bertukar menjadi kenangan manis, semanis mangga harum manis yang pernah dilaporkan bernilai sehingga mencecah harga RM100 sekilogram! – BERNAMA
No comments
Post a Comment