SEMPORNA: Pemangku Ketua Umno Semporna, Nasir Sakaran berkata, “Daripada 489 cawangan Umno di sini, 22 ketua cawangannya keluar parti, tidak menjadi titik kekalahan untuk Umno kerana banyak ahlinya masih bersama parti,” katanya ketika berucap pada program perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan Umno di Semporna, hari ini.
Nasir berkata, anggota-anggota pembangkang itu bekas pemenang kerusi masing-masing di Semporna tetapi yang memenangkan mereka adalah BN.
“Kerana majoriti yang memberikan sokongan kepada ‘orang’ berkenaan ini adalah kita ahli Umno dan BN, dulu dia menang oleh kerana rakyat, bukan sebab dia menang kerana diri sendiri, dan rakyat yang menyokong ‘orang’ ini masih lagi bersama kita dalam BN,” katanya.
Sementara itu, Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang berkata BN mampu menang pada pilihan raya umum (PRU) kali ini kerana semangat penduduk di Semporna adalah mengenang budi kepada parti yang membantu serta membela rakyat, dan perkara itu pernah tercatat sewaktu zaman USNO.
“Walaupun pada satu ketika ada pemimpin (merujuk pemimpin dalam Parti Warisan Sabah) claim ‘dia’ ada jasa pada penduduk Semporna tetapi dia lupa itu sewaktu dia dalam kerajaan dan memegang jawatan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan angota-anggota Umno di Semporna agar tegas dalam pendirian perjuangan politik dan tidak keliru serta mencampur aduk antara hubungan kekeluargaan dengan parti.
Keluarga tetap keluarga tetapi apabila dalam perjuangan parti politik khususnya mempunyai hubungan dengan individu yang tidak lagi bersama Umno, maka selaku anggota Umno perlu tegas, katanya.
No comments
Post a Comment