NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen mungkin dibubar awal April




KUALA LUMPUR: Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac.

Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat sekarang, selesai.

Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-14.

PM dijangka bentang usul kali pertama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.

"Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda," katanya, ketika dihubungi.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan, kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.

Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti dua pertiga.

Tiada tempoh ditetapkan untuk dapat perkenan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pula ketika dihubungi menjelaskan tiada tempoh ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

"Ianya akan dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan," katanya.

Mengenai PRU-14 beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.

Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sempadan bahagian pilihan raya baharu akan berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dan akan berakhir 5 April.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Parlimen akan dibubarkan terus sebaik Dewan Rakyat meluluskan RUU persempadanan semula kawasan pilihan raya.--BHarian












________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo