Bel Trew, wartawan daripada Times, telah ditahan ketika membuat laporan di Shubra, sebuah kawasan kejiranan kelas pertengahan di Kaherah, 20 Februari lalu, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antrabangsa Kaherah beberapa jam kemudian untuk kembali ke London.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh akhbar Times, Trew menyatakan, "Tuduhan yang dibuat tidak pernah dijelaskan. Tetapi selama tujuh jam ditahan, saya dilayan dengan undang-undang tentera yang biasa digunakan terhadap suspek pengganas."
Pada masa lalu, wartawan dan media asing sering menjadi sasaran untuk ditangkap dan dipenjara. Namun begitu, penghalauan Trew telah menimbulkan kebimbangan sama ada wartawan selamat untuk membuat laporan, menjelang Pilihanraya Presiden 26 Mac ini.
Trew, 33, berpindah ke Kaherah sebelum kejatuhan Hosni Mubarak pada tahun 2011.
Semenjak Presiden Abdul Fatah Al-Sisi mengambil alih kuasa melalui rampasan kuasa pada tahun 2013, tekanan terhadap media tempatan dan asing semakin bertambah.
Sehingga Disember 2017, seramai 20 orang wartawan Mesir telah dipenjarakan.
Kumpulan yang memperjuangkan kebebasan akhbar, Reporters Without Borders menggelarkan Mesir sebagai, "Penjara wartawan terbesar di dunia" dan menduduki tempat ke 161 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar.
No comments
Post a Comment