Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Bekas Pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman mendedahkan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi perdana menteri Pakatan Harapan (PH).
Ujarnya, ketika awal penubuhan PPBM, Muhyiddin hanya memanggil Dr Mahathir menyertai parti itu sekadar untuk menasihati bukan mahu dicalonkan ke jawatan penting seperti perdana menteri pembangkang.
“Masa awal penubuhan PPBM Muhyiddin tak setuju Tun Mahathir jadi calon perdana menteri, dia panggil masuk Tun sebagai penasihat parti. Tun sebagai bekas perdana menteri dan kehadiran Tun sebagai bonus kepada parti sebagai pengatur.
“Tak pernah ada idea nak lantik Tun sebagai perdana menteri. Muhyiddin tak mahu Tun dalam parti kerana adanya Tun dalam parti akan jadi penghalang kepada idea-idea.
“Sekarang Tun telah ‘hijack’ parti malah Pakatan Harapan sendiri untuk jawatan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Empirical Talk bersama seorang lagi bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin hari ini.
Empirical merupakan sebuah NGO bebas yang diasaskan oleh Anina, salah seorang bekas pengasas PPBM yang mengumukan keluar parti pada tahun lalu.
Kamarulazman turut memaklumkan Muhyiddin turut memasang cita-cita menjadi perdana menteri.
“Tapi kita tahu ada pihak bercita-cita nak jadi perdana menteri. Muhyiddin mungkin melihat dirinya sebagai calon perdana menteri ketika itu beliau merupakan bekas timbalan perdana menteri kalau dikira dari sudut pengalaman maka dialah yang paling sesuai.
“Mungkin dia (Muhyiddin) saya rasa semua orang pernah berada di kedudukan numbor dua akan bercita-cita untuk menjadi numbor satu, jadi ketika itu majlis pimpinan tertinggi PPBM nampak beliaulah yang layak.
“Bagaimanapun Tun mungkin mempunyai idea lain apabila dia melihat Muhyidin bukan orangnya dan mencari orang lain, kalau dia tak jumpa orang lain mungkin dia sendiri yang sepatutnya. Tapi pada usia 93 tahun adakah rakyat Malaysia ingin memperjudikan nasib rakyat hanya kerana nostalgia bekas seorang pemimpin nombor satu negara ini,” katanya.
PH menerusi konvensyen kedua mereka 7 Januari lalu mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya, manakala Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula sebagai timbalannya.
Sementara itu Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pula hanya dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8 hanya selepas pakatan itu mengusahakan pembebasannya.--Antarapos