Saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan percaya perkara ini boleh diselesaikan secara baik antara kerajaan negeri dan pimpinan PKR Kelantan.
KLANG, 23 Mei (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membuat keputusan terhadap jawatan politik yang dipegang oleh anggota PKR di negeri itu.
"Saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan percaya perkara ini boleh diselesaikan secara baik antara kerajaan negeri dan pimpinan PKR Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah program Skim Smart-Sewa di sini hari ini.
Ini susulan keputusan PKR pada 16 Mei lepas yang mengarahkan semua anggota parti itu di Kelantan yang memegang jawatan lantikan politik supaya melepaskan jawatan masing-masing berikutan keputusan PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata parti itu memberi kebebasan sepenuhnya kepada anggota PKR sama ada untuk meletak jawatan atau kekal berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Takiyuddin berkata ia terpulang kepada pemegang jawatan masing-masing walaupun mesyuarat Biro Politik PKR mengarahkan mereka supaya meletakkan jawatan.
-- BERNAMA