NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN P.Pinang: Kecoh lagi isu rasuah



GEORGETOWN: Sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini kecoh, selepas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) membantah tuduhan EXCO negeri yang mendakwa parti itu mengamalkan rasuah. 

EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh ketika menggulung ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang mendakwa, ketika beliau menjadi pembangkang di dalam DUN negeri, usulnya untuk menolak rasuah pernah ditolak BN yang memerintah negeri ini. 

"Saya cabar sebab saya ada bukti, bahawa usul untuk hapuskan rasuah dalam dewan ini ditolak BN pada 2004," katanya. Kenyataan Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu menimbulkan kemarahan wakil rakyat BN yang meminta beliau menghentikan tuduhan berkenaan serta memohon maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan. 

Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata, sebagai seorang EXCO berpengalaman, Boon Poh tidak menunjukkan contoh yang baik kerana membuat tuduhan melulu dan tidak berasas. 

"Hari ini banyak tindakan dikenakan kepada pelaku rasuah termasuk terhadap seorang EXCO di Johor. Kenyataan dakwa BN tidak mengambil tindakan dalam isu rasuah adalah tuduhan melampau. "Sungai Puyu sebagai EXCO yang berpengalaman dalam dewan ini berperangai buruk seperti ini (membuat tuduhan)," katanya. 

Sementara itu, Datuk Md Zain Ahmad (BN-Penaga), berkata, sekiranya Boon Poh mempunyai bukti bahawa BN parti rasuah, sepatutnya beliau perlu membuat laporan polis dan bukannya membuat tuduhan. 

"Sungai Puyu boleh membuat laporan polis jangan guna DUN sebagai (strategi) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Saya sudah meluat dengar Sungai Puyu buat tuduhan seumpama ini," katanya. 

© all rights reserved
made with by templateszoo