Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan Tangau suruh Dr Akmal desak China mohon maaf dianggap dungu



KUALA LUMPUR – Cadangan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau supaya Dr. Muhammad Akmal Saleh mendesak China memohon maaf berhubung isu stoking tertera kalimah Allah disifatkan sebagai dungu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Tangau seolah-olah tidak mempunyai idea yang bernas untuk membela KK Mart.

“Selain Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau ada pula kumpulan 40 individu kononnya wakil suara awam menyelar tindakan boikot kedai KK Mart.

“Baru mereka tahu kuasa pengguna orang Islam. Kesannya cukup berat. Sebab itu isu stoking pamer kalimah Allah cuba dialih pada isu ekonomi.

“Tetapi cadangan MP Tuaran agar Dr Akmal desak Kerajaan China minta maaf lagi dungu. Dia macam mati akal untuk membela KK Mart,” kata Mohd. Puad.

Tambahnya, rakyat tidak naif dengan naratif pihak yang membela pasar raya berkenaan dengan mempersoalkan tindakan pemulauan walaupan pihak pengurusan telah meminta maaf selain akan didakwa di mahkamah.

Mohd. Puad berkata, rakyat menyedari banyak pihak telah disaman dan didenda namun kejadian menghina agama terus berulang ini kerana mereka mampu untuk melunaskan bayaran.

“Mereka sanggup bayar denda yang mahal. Tetapi mereka akan terus berniaga dan melanggar peraturan berulang kali.

“Sebab itu rumah urut, pub, kelab malam tidak kesah didenda banyak kali dengan denda tinggi. Mereka tidak serik dan akan buat lagi.

“Mereka hanya tutup kedai jika pelanggan lari dan boikot. Sebab itu boikot KK Mart adalah pengajaran besar,” katanya.

Mohd. Puad berkata, pihak berkenaan boleh terus membela pasar raya berkenaan namun mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang orang lain melakukan pemulauan.

Tangau sebelum ini menyelar reaksi tidak seimbang Dr. Akmal mendepani kontroversi stoking tertera kalimah Allah sambil menyindir supaya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menuntut permohonan maaf daripada China.

Mengulas kempen Dr Akmal berhubung gesaan boikot KK Mart di seluruh negara, Tangau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu sepatutnya mendesak duta China ke Malaysia dipanggil berkait kontroversi berkenaan.

Sambil menyeru kepada tindakan lebih seimbang, bekas presiden UPKO berkata, penarikan pantas produk itu oleh KK Mart perlu diambil kira, disusuli permohonan maaf.- MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tangguh pendaftaran PADU, selesaikan dulu isu berbangkit – Majlis Belia



KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menangguhkan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga beberapa isu berbangkit diselesaikan.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan pendaftaran PADU kerana telah wujud beberapa integrasi data melalui pelbagai agensi kerajaan.

“Sejak dilancarkan pada Januari lalu, sebanyak 35.1 peratus atau hanya 7.7 juta pendaftaran direkodkan dan jika ambil kira kepada angka terkini, masih jauh untuk mencapai sasaran yang diletakkan kerajaan iaitu 29 juta penduduk menjelang 31 Mac yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Kami melihat usaha pengintegrasian data secara berpusat ini merupakan satu inisiatif baik kerana ia dapat menjamin usaha ke arah pendigitalisasian sistem pentadbiran negara yang dapat melicinkan urusan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar dengan lebih berkesan.

“Hakikatnya masih ramai dalam kalangan rakyat sebenarnya tidak memahami dengan mendalam mengenai kepentingan sistem PADU ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Izzat, kerajaan perlu bersifat lebih terbuka dalam menerima cadangan untuk menangguhkan pendaftaran PADU bagi memberi ruang kepada penjelasan tentang kepentingannya dan beberapa persoalan besar seperti kelemahan akta, keselamatan platform dan kekurangan program ‘outreach’ .

Tambahnya, kerajaan juga perlu meningkatkan usaha-usaha penerangan dan komunikasi secara terus melalui semua agensi tentang kepentingan pendaftaran sistem PADU. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Suspek ugut Dr Akmal ditembak mati ditahan polis



MELAKA – Polis menahan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata ugutan bahawa Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh akan dibunuh kerana kelantangannya dalam isu KK Mart berkaitan stoking kalimah Allah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 68 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Kandang petang tadi selepas menerima laporan polis daripada pengadu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang 20 Mac lalu apabila pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar suspek iaitu pemilik bengkel kereta di Bukit Duyong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Dr Akmal berhubung isu KK Mart.

“Suspek telah memberitahu ‘Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr. Akmal Salleh) banyak lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati’.

“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki itu sebelum membuat laporan polis pagi tadi kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata ugutannya dan bimbang keselamatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu,” katanya.

Mengulas lanjut Christopher berkata, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian merupakan sebuah pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki kereta secara bersendirian bersebelahan rumah suspek.

“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Akmal Saleh mengenai isu KK Mart,” katanya.

Tambahnya, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ugutan.

Terdahulu, media melaporkan Dr Akmal dimaklumkan mengenai ugutan bunuh terhadapnya selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke program rasminya hari ini.

Lelaki itu mendakwa terdengar satu perbualan lisan di sebuah kedai yang mengatakan jika Ketua Pemuda UMNO itu terus bercakap tentang KK Mart berkaitan isu stoking kalimah Allah, dia pasti ditembak mati satu hari nanti.

Susulan itu, Dr Akmal membuat laporan polis laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, petang tadi.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Dr Akmal adalah antara pemimpin kerajaan yang lantang menyuarakan pandangan Pemuda UMNO termasuk melancarkan gerakan memboikot kedai serbaneka 24 jam itu atas tindakan biadabnya itu. – MalaysiaGazette




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Diugut bunuh: Saya takkan berganjak walau seinci – Dr Akmal



JASIN – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan tidak akan berganjak walaupun seinci di sebalik ugutan bunuh terhadapnya susulan kelantangan dalam isu kalimah Allah pada stoking baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menganggap ia adalah perkara biasa dan adat berjuang dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

“Ini tidak akan mematahkan semangat atau memberi kesan terhadap apa yang saya rasakan betul untuk dipertahankan kerana ia bukanlah isu politik dan perkauman.

“Ia adalah isu bagaimana kita umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela agama kita daripada dihina.

“Walaupun dengan ugutan yang ada ini, saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kami,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan beliau dimaklumkan mengenai ugutan bunuh terhadapnya selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke program rasminya hari ini.

Lelaki itu mendakwa terdengar satu perbualan lisan di sebuah kedai yang mengatakan jika Ketua Pemuda UMNO itu terus bercakap tentang KK Mart berkaitan isu stoking kalimah Allah, dia pasti ditembak mati satu hari nanti.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan itu.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Dr Akmal adalah antara pemimpin kerajaan yang lantang menyuarakan pandangan Pemuda UMNO termasuk melancarkan gerakan memboikot kedai serbaneka 24 jam itu atas tindakan biadabnya itu. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Al-Quran jelas bak permata, semangatnya indah – Will Smith



Will Smith mengaku dirinya sangat teruja dengan betapa jelas dan indahnya al-Quran dalam memahami hubung kait kisah-kisah di dalam kitab suci umat Islam itu.

Pelakon berusia 56 tahun yang terkenal dengan persembahannya dalam filem “I Am Legend” dan “The Pursuit of Happiness” itu berkongsi pengalamannya dalam temu bual podcast Big Time bersama wartawan Mesir, Amr Adeeb di Riyadh, Arab Saudi pada Disember tahun lalu.

“Saya suka betapa mudahnya ia, Quran itu sangat jelas, jelas bak permata, sukar untuk melangkah pergi darinya dengan salah faham,” kata Will.

“Walaupun tetap akan ada manusia yang akan salah faham..,” celah Amr.

“Ya saya tahu, sudah namanya bermain dengan perkataan, tetapi semangatnya sangat-sangat indah, jelas,” balas Will.

Will mengaku memahami beberapa perkara baru berkaitan Nabi Ibrahim dengan nabi-nabi yang merupakan zuriatnya di dalam al-Quran.

“Saya dah baca semua kitab suci agama Abrahamic, saya terkejut bagaimana semuanya seperti satu cerita, dari Torah, ke Bible, dan melalui Quran. 

“Saya tak pernah faham hubungannya, dan untuk pertama kalinya, saya lihat hubungannya.

“Saya tak pernah faham sepenuhnya bahawa Abraham (Ibrahim) ayahnya kemudian ia terbahagi kepada Isaac (Ishak) dan Ishmael (Ismail). Dan indahnya mendapat pemahaman lengkap yang sebegitu,” kata pelakon itu.

Antara soalan terawal diterima mengenai pembacaannya, Will secara spontan mengaku terkejut dengan jumlah pengulangan nama salah seorang nabi di dalam al-Quran. 

Secara tepatnya, jumlah nama nabi berkenaan disebut sebanyak 136 kali di dalam al-Quran.

“Saya terkejut betapa banyaknya Moses disebut. Ya, ini benar. Ya, Musa, ia menarik, melalui Quran, saya (rasa) berhubung dengan kisah Moses dan pengalamannya,” kata Will Smith. – The Merdeka Times


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Georgia draf undang-undang baharu banteras LGBT



  • Parti pemerintah Georgia pada Isnin memperkenalkan rang undang-undang bagi menyekat hak golongan LGBT negara itu.
  • Langkah itu menurut pihak pembangkang dilihat sebagai cubaan meningkatkan populariti menjelang pilihan raya negara konservatif Caucasus Selatan itu yang juga merupakan calon keahlian Kesatuan Eropah (EU).
  • Draf undang-undang itu akan mengharamkan perubahan jantina, pengambilan anak angkat oleh pasangan sejenis dan melarang “pertemuan bertujuan mempopularkan keluarga sesama jantina atau hubungan intim”, demikian menurut ringkasan diterbitkan parti Georgian Dream.

Parti pemerintah Georgia pada Isnin memperkenalkan rang undang-undang bagi menyekat hak golongan LGBT negara itu.

Langkah itu menurut pihak pembangkang dilihat sebagai cubaan meningkatkan populariti menjelang pilihan raya negara konservatif Caucasus Selatan itu yang juga merupakan calon keahlian Kesatuan Eropah (EU).

Draf undang-undang itu akan mengharamkan perubahan jantina, pengambilan anak angkat oleh pasangan sejenis dan melarang “pertemuan bertujuan mempopularkan keluarga sesama jantina atau hubungan intim”, demikian menurut ringkasan diterbitkan parti Georgian Dream dipetik Daily Mail.

Ketua kaukus parlimen dan penggerak di sebalik rang undang-undang itu, Mamuka Mdinaradze berkata ia diperlukan untuk melindungi “nilai kekeluargaan dan generasi masa depan kita” daripada apa disebutnya sebagai “nilai pseudo-liberal” (nilai liberal palsu).

Georgian Dream mendahului parti lain dalam pilihan raya tetapi mula kehilangan sokongan sejak 2020 apabila ia memenangi majoriti kecil parlimen. 

Mdinaradze dalam taklimat beliau memaklumkan rang undang-undang itu berkemungkinan diluluskan hanya selepas pilihan raya. – The Merdeka Times



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tangguh pendaftaran PADU, masih banyak isu jaminan keselamatan data tidak dijelaskan



  • Pendaftaran dan kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dihentikan sementara waktu bagi memberi ruang untuk kerajaan meneliti semula pelaksanaan sistem itu supaya mencapai matlamatnya.
  • Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata masih banyak persoalan terutama dalam aspek jaminan keselamatan maklumat orang ramai tidak dijelaskan secara telus sehingga menimbulkan polemik.
  • “Kita tidak persoalkan atau nafikan kepakaran pasukan keselamatan siber kerajaan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan sebagainya, tetapi kenapa jaminan keselamatan itu hanya dikeluarkan Kementerian Ekonomi bukan agensi bertanggungjawab ini? 
  • “Menurut kenyataan Menteri Ekonomi, PADU mengambil data dari pelbagai agensi dan jabatan lain, ini membentuk satu tarikan kepada penjenayah siber kerana elemen data terkumpul itu sangat strategik termasuk maklumat perbankan pengguna.
  • “Sekiranya data ini bocor atau dieksploitasi untuk tujuan yang salah di kemudian hari, siapa yang harus dipertanggungjawabkan kerana Akta Keselamatan Siber baru sahaja dalam proses pembentangan di Parlimen hari ini,” katanya dipetik Harian Metro di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika mengulas kewajaran kerajaan menangguhkan pendaftaran dan kemas kini PADU sehingga semua isu berbangkit dan persoalan rakyat terjawab.

KUALA LUMPUR — Pendaftaran dan kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dihentikan sementara waktu bagi memberi ruang untuk kerajaan meneliti semula pelaksanaan sistem itu supaya mencapai matlamatnya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata masih banyak persoalan terutama dalam aspek jaminan keselamatan maklumat orang ramai tidak dijelaskan secara telus sehingga menimbulkan polemik.

“Kita tidak persoalkan atau nafikan kepakaran pasukan keselamatan siber kerajaan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan sebagainya, tetapi kenapa jaminan keselamatan itu hanya dikeluarkan Kementerian Ekonomi bukan agensi bertanggungjawab ini? 

“Ada banyak faktor selain isu campur tangan politik dan kes penggodaman data agensi kerajaan, jawapan Kementerian Ekonomi juga tidak konsisten terhadap keselamatan data kerajaan sendiri yang memberikan multi persepsi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Menurut kenyataan Menteri Ekonomi, PADU mengambil data dari pelbagai agensi dan jabatan lain, ini membentuk satu tarikan kepada penjenayah siber kerana elemen data terkumpul itu sangat strategik termasuk maklumat perbankan pengguna.

“Sekiranya data ini bocor atau dieksploitasi untuk tujuan yang salah di kemudian hari, siapa yang harus dipertanggungjawabkan kerana Akta Keselamatan Siber baru sahaja dalam proses pembentangan di Parlimen hari ini,” katanya dipetik Harian Metro di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kewajaran kerajaan menangguhkan pendaftaran dan kemas kini PADU sehingga semua isu berbangkit dan persoalan rakyat terjawab.

Mengulas lanjut, beliau berkata sudah sampai masa kerajaan duduk semeja pemegang taruh terutama pihak industri bagi meneliti semula dan memperbaiki kelemahan pelaksanaan sistem itu bagi mencapai matlamat subsidi bersasar.

“Sampai dua kerajaan negeri pun memberikan reaksi agak tidak baik sedangkan awal-awal lagi perlu adakan libat urus dengan pemegang taruh dan beri peluang kepada pihak lain yang sepatutnya memberikan pandangan lebih jelas tentang sistem ini.

“Jadi, wajar Kementerian Ekonomi memikirkan semula perkara ini kerana implikasinya akan memberikan impak negatif rakyat secara majoriti terhadap sistem ini dan akhirnya secara tidak langsung kepada kerajaan kita sendiri,” katanya.

Semalam, media melaporkan selepas Sarawak, kini Sabah juga mahu Kementerian Ekonomi menghentikan sementara pendaftaran PADU dan membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata beliau mengambil berat gesaan Kerajaan Persekutuan untuk pendaftaran menyeluruh sistem PADU, terutama apabila maklumat peribadi menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Sebagai negara kelapan di dunia yang paling banyak ‘pelanggaran’ data, saya fikir PADU adalah perkara terakhir yang kerajaan perlu perkenalkan pada masa ini.

“Sejarah menunjukkan tiada sistem data yang tidak dapat ditembusi, malah pangkalan data peribadi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat baru-baru ini digodam,” katanya dipetik Berita Harian. — The Merdeka Times


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Berita gembira buat ahli PAS




KUALA LUMPUR
: Berita gembira kepada seluruh ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bakal mendapat sebuah kompleks di bawah PAS Pusat sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, kompleks yang akan dibina tidak lama lagi di atas tapak seluas lima ekar yang berdekatan dengan kawasan Lembah Kelang bakal menjadi satu mercu tanda kebanggaan kita semua.

“Bagi tanah yang bernilai RM5 juta ini, pihak pengurusan pembinaan telah melunaskan pembayaran RM100,000 dan berbaki RM400,000 perlu dibayar selepas bulan Ramadan kelak.” 

“Di sana juga, kita akan mendirikan dewan untuk melaksanakan program-program parti dan banyak lagi kemudahan-kemudahan yang akan dibina di sana,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kupon Setiap Ahli PAS RM10 untuk Pembinaan Kompleks PAS Pusat, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad yang masing-masing selaku Penaung dan Pengerusi Pembinaan Kompleks PAS Pusat berkenaan.

Sehubungan itu, Idris yang merupakan Pengerusi Pungutan Dana Kompleks PAS Pusat itu memohon agar semua ahli PAS tidak berasa keberatan untuk menginfaq bagi menjayakan pembinaan kompleks ini. 

“Bersama-sama Ahli Jawatankuasa Pembinaan Kompleks Pas Pusat, kita telah memutuskan bagi memastikan setiap ahli PAS dapat menderma RM10 sempena Ramadan al-Mubarak ini,” pesannya.

Beliau juga yakin dan percaya dengan semangat daripada semua ahli PAS, dengan menyasarkan 500,000 orang daripadanya akan mencapai sasaran bagi melunaskan baki bayaran.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan saya menyeru saudara semua cintakan kepada perjuangan bagi menjayakan misi kita ini. 

“Semoga Allah SWT memberikan kemudahan dan keberkatan bagi menjayakan cita-cita kita bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

MDPP rancang sedia jeti bot ke Pulau Perhentian di Tok Bali



PASIR PUTEH: Kerajaan negeri akan menaik taraf laluan pejalan kaki di Terusan Semerak dan membina landskap bagi menceriakan pembangunan Tok Bali.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kawasan itu sudah siap dibina infrastruktur asas termasuk surau, tandas dan wakaf.

Bagaimanapun, katanya kemudahan itu agak terbiar dan tidak diselenggara dengan baik akibat vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.

“Perancangan baru di tebing Terusan Semerak akan mengembalikan dataran itu menjadi tempat tumpuan keluarga terutamanya pada waktu petang dan hujung minggu.

“Selain itu mampu menjadi daya tarikan kepada pemancing terutamanya perancangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) untuk mengadakan perkhidmatan jeti bot ke Pulau Perhentian sekiranya dilulus Jabatan Laut,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau meninjau pembangunan di Pantai Bisikan Bayu.

Hadir sama Ketua Jajahan Pasir Puteh Ahmad Adlee Yasin, ADUN Semerak, Norsham Sulaiman, bekas wakil rakyat Wan Hassan Wan Ibrahim dan wakil-wakil agensi kerajaan.

Oleh itu Hilmi berharap orang ramai menjaga kebersihan bagi mempopularkan semula kawasan pelancongan tersebut. – HARAKAHDAILY 26/3/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sedut hasil minyak Terengganu, disuruh hidup tanpa royalti



KUALA TERENGGANU: “Kalau PAS pandai mentadbir, buktikan Terengganu boleh hidup tanpa royalti minyak.” Itu antara ungkapan pihak tertentu.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, Kerajaan Pusat menyedut hasil minyak Terengganu melalui syarikat-syarikat minyak sebagai sumber hasil utama negara tetapi negeri ini pula disuruh hidup tanpa royalti.

Menurutnya, ketika perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri telah menyerahkan banyak perkara kepada bidang kuasa pentadbiran Persekutuan.

Ini, ujarnya bukan sebab negeri-negeri tidak pandai mengurus hasil kekayaan bumi masing-masing.

Beliau menjelaskan, dalam perjanjian Persekutuan Malaysia, hasil khazanah dalam perut bumi dan lautan serta hasil-hasil cukai, negeri-negeri telah lepaskan kepada Kerajaan Persekutuan.

Ini, katanya kerana bidang kuasa negeri hanya agama, tanah dan air.

Tambahnya, sebagai timbal balas atas penyerahan kuasa negeri kepada pusat, maka perjanjian menetapkan pusat kena menyalurkan dana, duit dan segala bentuk kewangan.

Katanya lagi, ia bukan sebab ehsan pusat atau murah hati Perdana Menteri.

“Sama ada kerajaan negeri pandai cari duit atau tak ada duit, hak negeri adalah menerima dana daripada pusat sebagaimana perjanjian,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman sosialnya.

Menurutnya, Terengganu pula takdirnya kaya dengan hasil petroleum di mana Allah mengurniakan minyak untuk rakyat.

Beliau menjelaskan lagi, kerana perjanjian Persekutuan Malaysia, Terengganu menyerahkan hasil petroleumnya kepada pusat berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Katanya, hasil keuntungan petroleum daripada syarikat-syarikat minyak diserah kepada pusat.

“Selepas Terengganu serahkan kepada pusat, kita disuruh cari duit sendiri tanpa bergantung kepada duit hasil minyak?” tambahnya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

SST: Apa formula kekang kesan rantaian ekonomi




KUALA LUMPUR:
 Kerajaan digesa memberikan formula untuk mengekang kesan rantaian ekonomi secara umum yang dihadapi oleh rakyat kesan kenaikan peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan 1 Mac lepas.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, contohnya pada bulan puasa ini rungutan yang amat ketara daripada peniaga-peniaga pasar Ramadan yang mereka bukan sahaja kerugian malahan tidak dapat membayar modal kos sewa.

“Ini kesan daripada yang dapat dilihat di hadapan mata kita sendiri. Saya ingin mendapat penjelasan secara tuntas dan juga secara jelas daripada pihak kerajaan impak daripada kenaikan SST yang dikuatkuasakan 1 Mac yang lalu.

“Kita melihat tidak dapat dinafikan bahawa tekanan yang dihadapi oleh rakyat nampaknya amat besar, terutamanya kesan negatif dari segi daya beli pengguna itu sendiri yang akibatnya akan melemahkan dan akan mempengaruhi aktiviti ekonomi secara keseluruhannya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa, jika secara spesifik berkenaan pasar Ramadan yang beliau dapat lawati empat hingga ke lima tempat iaitu kos sewa itu terlalu tinggi.

“Tidak juga dapat dinafikan Yang Berhormat Kota Bharu tahu bahawa kadang-kadang ada syarikat-syarikat besar yang ambil kesempatan. Kita ada pilihan (untuk) tidak berbuat apa-apa.

Tambahnya, beliau bersetuju untuk kerajaan terus pantau tetapi jika secara khusus perniagaan pasar Ramadan bahawa kebanyakan yang mengeluh ialah kerana kadar sewa yang tinggi.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang meminta Perdana Menteri menyatakan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai SST dari enam kepada lapan peratus dan berapa jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baru bagi tahun 2024. – HARAKAHDAILY 26/3/2024





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo