Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM akan jumpa MIC, MCA selesai isu tak mahu berkempen

Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan empat mata bersama pemimpin utama MCA dan MIC dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi menyelesaikan perselisihan yang timbul susulan keengganan kedua-dua parti itu untuk membantu calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Ini akan mempermudahkan Perdana Menteri untuk mencari titik persamaan. Insya-Allah jika ada perbezaan pada hemat saya ia akan dapat diselesaikan dengan paling terbaik.

“MCA, MIC bersatu hati malah Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

MIC sebelum ini turut membuat keputusan yang sama dengan alasan serupa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO juga sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya telah jumpa dengan Datuk Seri Wee Ka Siong dan saya memahami situasi ketika kenyataan itu dikeluarkan. Saya akan ikhtiarkan jalan yang terbaik (MCA supaya turun berkempen),” katanya.

Beliau berkata, UMNO sentiasa menghormati parti komponen Kerajaan Perpaduan khususnya dari segi pemilihan calon Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

“Kita akan mendokong mana-mana calon atas nama Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

“Saya fikir kita harus berada dalam keadaan harmoni politik kerana kita mahu sama ada peringkat negeri atau pusat hendaklah kita selesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tak tahu ada titah adendum, PM betul-betul bodoh – Muhyiddin

Presiden Bersatu, Tan Seri Muhyiddin Yassin bercakap pada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 BERSATU di Fraser Valley Kuala kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Kerajaan perlu bertanggungjawab kerana ingkar dengan Titah Adendum pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung kebenaran Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penafian kerajaan sambil menyatakan tiada pengetahuan tentang kewujudan adendum itu menyerlahkan kebodohan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka bodoh, tak faham, tak tahu, baru-baru ini soal isu pengampunan Najib Razak. Sebuah kerajaan perlu bertanggungjawab, bila Perdana Menteri ditanya (isu) titah adendum, dia kata dia tak tahu.

“Apa hal Perdana Menteri Malaysia tak tahu, apa maknanya? Dia memang betul-betul bodoh dan tak tahu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri tidak mahu terlibat dengan perbincangan membabitkan titah tambahan berhubung tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar berkata ini kerana perkara itu merupakan di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan juga melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kemenangan PN dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu penting untuk membebaskan negara daripada tindakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

“Tatakelola sekarang pun sudah ke laut, rakyat pula dalam keadaan susah dan papa kedana. Ini satu PRK untuk beri kesempatan kepada rakyat untuk beri peringatan kepada kerajaan madanon.

“Banyak janji diumum tapi tidak ditunaikan, buka mulut sahaja bohong,” katanya.

Menurutnya, ramai Jemaah Menteri terlibat dalam membuat pengumuman mengenai proses pengampunan Najib sebelum ini.

“Lebih baik Zahid Hamidi jadi Perdana menteri, kita pun tak setuju, yang boleh jadi kerajaan ialah PN. PRK adalah sebuah referendum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Isu 6 MP: Bersatu kuat kuasa pindaan Perlembagaan dalam tempoh seminggu – Muhyiddin

Presiden Bersatu, Tan Seri Muhyiddin Yassin bercakap pada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 BERSATU di Fraser Valley Kuala kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 APRIL 2024.


HULU SELANGOR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menguatkuasakan pindaan Perlembagaan parti itu mengenai wakil rakyatnya yang menyokong parti lawan dalam tempoh seminggu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin setelah parti itu membuat keputusan berhubung tindakan itu.

“Kita akan ambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh seminggu ini. Kita serahkan kepada pihak Setiausaha Agung untuk melaksanakannya.

“Jadi, tunggu sahajalah (tindakan lanjut),” katanya pada sidang media di sini hari

Terdahulu Muhyiddin hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu.

Pada 2 April lalu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengesahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu pada 2 Mac.

Pindaan itu membolehkan Bersatu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sebelum ini, Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Muhyiddin dilaporkan berkata, jika enam ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Enam ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Melaka tak pertimbang bantuan kepada ADUN pembangkang – Ab Rauf



JASIN – Kerajaan negeri tidak pernah membincangkan keperluan memberikan peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu juga tidak akan dipertimbangkan untuk mereka menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, ini kerana dua DUN pembangkang iaitu Sungai Udang dan Bemban berjaya diurus dengan baik oleh Penyelaras DUN yang dilantik di bawah pentadbiran negeri membolehkan nasib rakyat di kawasan itu juga terbela bersama 26 DUN lain.

“Saya rasa di Melaka ini dalam suasana politik sekarang, biar Melaka macam ini sahajalah. Itu federal (Kerajaan Persekutuan hak federal (salur peruntukan kepada pembangkang), state (kerajaan negeri) hak state.

“Kerajaan Melaka tak memutuskan apa-apa bentuk bantuan nak beri kepada pembangkang, tak ada dibincangkan langsung,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di di sini malam tadi.

Ab Rauf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan langkah sama dibuat kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada semua ahli parlimen pembangkang.

Dr Yadzil yang juga ADUN Bemban merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berharap peruntukan disalurkan sewajarnya kepada semua wakil rakyat pembangkang daripada PN di setiap negeri.

Media pada Khamis lalu melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan mennyalur peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat di Sri Perdana, Putrajaya, 17 April lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Parti derita’ anjur makan malam Jubli Perak 25 tahun berkapasiti 10,000 tetamu

Antara perwakilan yang hadir pada berucap Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.




SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadual menganjurkan majlis makan malam sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhannya pada 11 Mei ini.

Pengarah Sambutan Jubli Perak PKR, Wong Chen berkata, ia akan dianjurkan secara dua sesi di Sentul Depot di Kuala Lumpur dengan kapasiti kira-kira 10,000 tetamu.

Katanya, sesi pertama majlis bertemakan ‘Teruskan Perjuangan Reformasi’ itu akan dibuka kepada orang ramai antara pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Sesi kedua akan diteruskan antara 6.30 petang hingga 10 malam membabitkan 3,500 undangan antaranya kepemimpinan PKR, pemimpin parti komponen Kerajaan Madani dan duta.

“Majlis ini akan menampilkan pameran 25 tahun sejarah PKR yang dilakarkan pada dinding seluas 30.48 meter selain turut menempatkan reruai barangan PKR, gerai makanan, lokasi deklamasi puisi dan penghibur jalanan.

“Sambutan sesi malam mengetengahkan konsep hampir sama tetapi dengan kehadiran kepemimpinan PKR dan pemimpin parti komponen Kerajaan Madani, duta dan tetamu kenamaan.

“Selain itu, akan ada ucapan rasmi dan persembahan, termasuk daripada artis terkenal,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di sini hari ini.

Menurut Wong Chen, pameran sejarah penubuhan PKR itu akan dikendalikan kartunis Zunar berpandukan arkib parti sejak era permulaan reformasi hingga kini.

Apa yang lebih penting, katanya, adalah peringatan mengenai kesukaran jatuh bangun perjuangan parti hingga berjaya menawan Putrajaya.

“Justeru, marilah beramai-ramai meraikan sambutan Jubli Perak PKR.

“Jika Setiausaha Agung selaku Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beri kelulusan, kita mungkin ada persembahan bunga api dengan dana bagi tujuan itu perlu dicari oleh menteri daripada blok PKR.

“Kita cuba birukan langit malam 25 tahun kita selain turut memperingati jasa pemimpin terdahulu termasuk Azmin (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan semualah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Subang. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Gagal Reformasi: Ahli PKR perlu belajar sejarah kegagalan reformasi negara lain – Saifuddin

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.


SHAH ALAM – Ahli-ahli PKR diingatkan supaya belajar daripada sejarah mengenai kegagalan reformasi yang digerakkan di banyak negara di seluruh dunia selepas mendapat mandat memimpin kerajaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, reformasi di Afrika mahu pun Eropah gagal diterjemahkan selepas mendapat amanah dalam memimpin kerajaan seperti yang dijanjikan untuk membawa  perubahan.

“Mereka ini apabila sudah menggapai mandat itu, di tengah pengharapan rakyat yang begitu tinggi, bukan sedikit perjuangan yang mengangkat tema reformasi ini kecundang.

“Satunya, mereka gagal memenuhi jangkaan rakyat yang begitu tinggi, kemudiannya jatuh. Yang kedua, adalah kerana tahap keupayaan untuk mengisi makna perjuangan itu, tak sampai,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen IdeaL di sini hari ini.

Saifuddin turut mengingatkan mengenai faktor kegagalan reformasi adalah disebabkan terpesona dan lupa diri selepas diuji dengan nikmat menjadi kerajaan.

“Sebelum jadi pembangkang, hidup penuh derita, kemudian diuji dengan nikmat kerajaan dan kepimpinan. Waktu itu semua asas perjuangan semakin dilupakan.

“Yang mahu dibuat adalah menimbul dan menghimpun kekayaan. Itu antara ciri-ciri yang tidak membawa kepada kemenangan sebuah cerita perjuangan reformasi, mengambil contoh daripada perjuangan lampau,” ujarnya.


Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, kejayaan reformasi akan diukur berdasarkan dasar dan program yang diterjemahkan sehingga rakyat memperoleh manfaatnya.

“Itu ukurannya. Ukurannya bukan berapa ramai menteri daripada blok Keadilan, berapa negeri menteri besar daripada Keadilan, berapa banyak exco yang diwakili oleh Keadilan, berapa ramai ahli Parlimen, berapa jumlah ADUN.

“Ukuran yang sebenar bila kita memegang tampuk kuasa, kita berjaya menterjemahkan, faham reformasi itu dalam bentuk dasar kerajaan yang kemudian kita laksanakan, rakyat dapat manfaatnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette.






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK KKB: Pemuda MCA tak berkempen jika BN tak bertanding



KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda MCA mengambil pendirian untuk tidak menyertai kempen menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, pihaknya tidak akan membantu kempen PRK di Kuala Kubu Bharu sekiranya calon daripada Barisan Nasional (BN) tidak diketengahkan di kawasan tersebut.

“Hari ini Jawatankuasa Eksekutif Pemuda MCA telah membincangkan perkara ini secara lebih teliti dan kami secara sebulat suara menyokong keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA untuk tidak berkempen sekiranya BN tidak bertanding di DUN Kuala Kubu Bharu kali ini.

“Ini ketetapan yang kami ambil sejajar dengan pendirian pucuk pimpinan tertinggi parti kami peringkat Pusat dalam isu PRK DUN Kuala Kubu Bharu kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, kata Tian Soon lagi, sayap pemuda juga telah membincangkan isu berkaitan kebajikan awam dan akan terus fokus terhadap isu pembangunan nasional yang menjejaskan awam termasuk pencerahan jalan dan lain-lain seperti disarankan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Fokus utama kementerian pada tahun ini adalah dalam isu jalan yang selesa, lampu cerah, sistem perparitan yang bersih serta tandas yang bersih dan selamat.

“Sayap kami juga akan memantau secara rapat sistem penyampaian kementerian-kementerian di bawah kerajaan Perpaduan Malaysia Madani untuk memastikan mereka merealisasikan tugas dan janji mereka kepada rakyat secara berkesan dan sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Lebih baik bersama kami, PN beritahu MCA, MIC

Muhyiddin Yassin pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Baharu.


HULU SELANGOR: Keputusan MCA dan MIC tidak berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu berkata, walaupun pihaknya yakin menang PRK 11 Mei ini, lebih baik parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menyokong calon PN.

“Apa pun (keputusan) sama ada MCA (atau MIC) tidak bertanding (membantu kempen) tak kisah. Sokong atau boikot, lagi bagus.

“Kalau boikot, kalau (MCA dan MIC) tak sokong baik, lebih baik sokong kita…(tetapi) kita tak nak campur apa mereka kata, dalam erti kata lain (tindakan mereka itu) membantu kami,” katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Baharu.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MCA dan MIC enggan berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu jika calon bertanding bukan daripada komponen BN.

Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan calon PN bagi PRK tersebut akan dimuktamadkan esok walaupun komponennya, Gerakan menyatakan hasrat bertanding.

“Gerakan nyatakan hasrat (bertanding) tak salah, tapi keputusan muktamad Majlis Tertinggi PN, kita ada senarai nama. Tak susah sangat (pilih calon),” katanya.

Katanya, keputusan PRK DUN itu perlu menjadi referendum untuk kerajaan pusat dan PN akan jadikan ia platform penjelasan buat rakyat.

“(Keputusan PRK) ia tak ubah kerajaan Selangor hanya dengan satu kerusi…tak ubah status quo, tapi ia akan beri isyarat kepada kerajaan.

“Bagaimana perasaan rakyat, kerana di mana-mana sahaja kos sara hidup, tekanan harga barang melambung, ringgit jatuh, cukai tambah, elektrik, air naik, jadi masalah bebanan besar, kita akan guna kesempatan ini untuk jelaskan apa PN boleh lakukan,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan selepas penyandang tiga penggal daripada Pakatan Harapan (PH) Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac akibat barah.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kamu tak boleh ‘lepas tangan’, Muhyiddin beritahu Anwar

Muhyiddin Yassin berkata kenyataan Anwar Ibrahim agak membimbangkan kerana ada anggota Jemaah Menteri turut mengeluarkan kenyataan berkait tahanan rumah Najib Razak.


HULU SELANGOR: Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim seolah-olah mahu “lepas tangan” apabila enggan terlibat dalam pertikaian “perintah tambahan” tahanan rumah Najib Razak.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Anwar perlu memberikan penjelasan dan membetulkan keadaan kerana isu itu menunjukkan pemimpin kerajaan tidak mempunyai pendirian yang sama.

“(Parti gabungan kerajaan) dah retak, ini retak menanti belah…bila tanya perdana menteri dia kata tidak tahu, maksudnya apa, nak lepas tangan atau apa?

“Ini (menunjukkan) ketidaksatuan pemimpin kerajaan, sikap tidak bertanggungjawab. Dalam apa situasi pun perdana menteri tidak boleh lepas tangan…kena betulkan keadaan,” katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Baharu.

Beliau mengulas kenyataan Anwar sebelum ini, enggan terlibat pertikaian berkait afidavit difailkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang mendakwa melihat “perintah tambahan” supaya Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Presiden Bersatu berkata, kenyataan Anwar agak membimbangkan kerana ada anggota Jemaah Menteri turut mengeluarkan kenyataan berkait perkara itu, antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz yang akan memohon kepada mahkamah untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Zahid.

“Yang diumumkan ini dalam afidavit, ke mahkamah tak boleh main-main, perdana menteri boleh kata tak tahu sedangkan rakyat mesti diberi maklumat tepat di mana kedudukannya, siapa bertanggungjawab…soal isu tatakelola ini ‘tatakelaut’.

“Isu Integriti, soal menjunjung titah, saya hanya sebut secara umum. Bagi kami ini perkara besar, malang sekali…tapi Jemaah Menteri atau perdana menteri tak ambil pendirian, apa yang berlaku kami pun tidak tahu,” kata Ahli Parlimen Pagoh.

Kerajaan tak ikhlas?

Sementara itu, Muhyiddin mempersoalkan keikhlasan kerajaan membabitkan peruntukan wakil rakyat pembangkang kerana masih tertakluk kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang dibimbangi akan mengikat mereka.

Katanya, ketika PN mentadbir Putrajaya semua Ahli Parlimen diberikan peruntukan untuk membantu rakyat di kawasan mereka tanpa syarat.

“Dia (kerajaan) tak kata setuju…dia kata setuju nak mempertimbangkan. Beza nak kata setuju untuk bagi, kalau kelulusan daripada Jemaah Menteri lain.

“Ada MoU, kalau dia ikhlas tak payah buat MoU, waktu PN tadbir dulu…Covid-19 kita beri peruntukan mereka tak perlu mohon. Tiada MoU, tiada perjanjian kerana zaman susah wakil rakyat boleh tolong kurangkan bebanan rakyat,” katanya.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo